Bendahari Kehormat PERKIM Terima Anugerah Khas Maal Hijrah SUA
KUALA LUMPUR, 22 Ogos 2022 – Bendahari Kehormat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun telah menerima Anugerah Khas Maal Hijrah daripada YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor, Setiausaha Agung Kehormat PERKIM Kebangsaan.
Penerima anugerah menerima wang tunai, sebuah plak Anugerah Khas Maal Hijrah beserta sijil penghargaan daripada Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.
Majlis tersebut berlangsung di Tingkat 23, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah, dekat sini.
Majlis itu dihadiri seramai lebih 60 orang terdiri daripada pegawai dan kakitangan PERKIM Kebangsaan, Wanita PERKIM, Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM – Kuala Lumpur (IDIP-KL) dan Pusat Pemulihan Komuniti Strok PERKIM (SCORE).
Turut hadir ialah YBhg Haji Mamat Che Chik, Setiausaha Kerja (Pentadbiran dan Program) PERKIM Kebangsaan; Encik Zulkefli Arifin, Setiausaha Kerja (Bahagian dan Cawangan) PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa, Pengarah Unit Pembangunan dan Aset PERKIM Kebangsaan; YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad, Pengarah IDIP-KL dan Encik Firdaus Lokman Tah, Penyelaras Unit Penerbitan dan Media Baru.
Penerima Anugerah Khas Maal Hijrah PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun dilahirkan pada 22 Oktober 1938 telah dikurniakan seramai tiga orang anak dan empat orang cucu.
Beliau merupakan kelulusan BA Hons Pendidikan dari Universiti Malaya pada 1973 serta berpengalaman kerjaya yang cukup luas di dalam bidang pendidikan.
Dato’ Abdul Hanif pernah menjadi guru di beberapa buah sekolah sehingga menjadi Pegawai Pelajaran Menengah di Kementerian Pelajaran Malaysia.
Beliau juga pernah menyandang jawatan Pegawai Khas kepada Ketua Setiauasaha Kementerian Pelajaran Malaysia dan Timbalan Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia – London.
Beliau juga banyak terlibat dengan program-program pengislaman, pendidikan, misi kemanusiaan, dakwah, kebajikan di dalam dan luar negara.
Di negara Kemboja terutamanya, beliau bersama pihak Mufti Kerajaan Kemboja dalam pembinaan lima buah masjid, pembinaan 136 perigi di pedalaman dan ibadah korban sejak tahun 2007.
Manakala di negara Vietnam, Thailand, Acheh, Sepanyol serta beberapa buah negara lain, beliau banyak melakukan ziarah dan misi kemanusiaan.
Dato’ Abdul Hanif juga banyak melakukan bantuan kebajikan di dalam dan luar negara serta dikenali sebagai insan yang begitu pemurah dan sangat prihatin dengan keadaan masyarakat.
Di dalam PERKIM Kebangsaan beliau pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Unit Dakwah, Pengarah IDIP-KL dan kini memegang jawatan sebagai Bendahari Kehormat PERKIM Kebangsaan.
Beliau juga memegang jawatan sebagai Naib Pengerusi PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan dan Pengerusi PERKIM Cawangan Bukit Damansara.
Dato’ Abdul Hanif Harun telah dikurniakan darjah kebesaran Datuk Paduka Mahkota Perak dengan membawa gelaran Dato’ dan dinobatkan sebagai Pendakwah Cemerlang Wilayah Persekutuan pada tahun 2008 serta dianugerahkan Ahli Mangku Negara pada tahun 1984.
Beliau dan isterinya, Datin Hajah Puteh Kalsom Shamsuddin telah diberi gelaran Tan Sri yang dikurniakan oleh kerajaan negara Kemboja.
Dengan gelaran dan sumbangan yang begitu besar serta mengharumkan nama PERKIM dari dalam dan luar negara, beliau telah menerima Anugerah Khas Maal Hijrah daripada Setiausaha Agung Kehormat PERKIM Kebangsaan, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.
Di awal majlis, Pasukan Koir PERKIM Kebangsaan memimpin bacaan selawat dan salam disusuli dengan nyanyian lagu Negaraku dan PERKIM Pacu Kemajuan.
Bacaan doa disampaikan pula oleh Pegawai Unit Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan PERKIM Kebangsaan, Muhammad Jais Mariappan Abdullah.
Majlis diserikan dengan ucapan Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.
Dr Mohd Yusof Noor dalam ucapannya berasa gembira dan bersyukur kerana dapat bertemu dengan kakitangan PERKIM di penghujung bulan Muharram sekali gus menaja secara peribadi penghargaan Anugerah Khas Maal Hijrah.
Beliau turut mengalu-alukan kehadiran Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM yang baharu, YBhg Dato’ Mohamad Nordin Ibrahim selaku mantan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Jelas Dr Yusof Noor, ketika beliau menyandang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), beliau telah memperkenalkan Sambutan dan Anugerah Maal Hijrah dan dipersetujui oleh Perdana Menteri Malaysia keempat, YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad.
Katanya, penerima Tokoh Maal Hijrah yang pertama merupakan bekas Yang Dipertua PERKIM yang pertama, Allahyarham Tan Sri SOK Ubaidullah.
Kata Dr Yusof Noor, dalam ucapan penerima Anugerah Maal Hijrah pertama itu, Allahyarham SOK Ubaidullah yang berasal dari keluarga susah itu berasa syukur ketika menerima penghargaan dan tawaduknya Allahyarham apabila beliau berkata tiada apa-apa sumbangan yang beliau berikan.
Dari seorang penjual kain, Allahyarham SOK Ubaidullah tidak lupa tanggungjawab beliau sebagai seorang Muslim dalam menyebarkan agama Islam kepada umat Islam.
Kehebatan Allahyarham apabila pada ketika itu beliau dilantik oleh kaum India bagi menggalas jawatan penasihat sebuah parti politik India di Malaysia.
Keperibadian mulia Allahyarham disanjung tinggi apabila beliau memulangkan semula hadiah Anugerah Maal Hijrah sebanyak RM70,000 kepada Institut Dakwah dan Latihan Islam (INDAH) di bawah Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) yang kini telah dinaiktaraf kepada JAKIM bagi tujuan kerja-kerja dakwah.
Menurut sejarah, tanggal 1 Muharram merupakan cuti umum di Malaysia, yang terkenal dengan tradisi memasak bubur asyura untuk diagihkan kepada mereka yang susah dan miskin sempena memperingati peristiwa kedukacitaan Karbala.
“Bila saya lihat tradisi ini di Malaysia, beliau bersama pegawai-pegawai kanan di BAHEIS bermesyuarat bagi menamakan satu nama sempena perayaan Islam pada 1 Muharram dan beliau mencadangkan nama Maal Hijrah sekali gus disokong oleh Perdana Menteri,” ulas Dr Yusof Noor.
Perdana Menteri kemudiannya memaklumkan kepada kabinet bahawa perayaan Islam pada 1 Muharram dinamakan Maal Hijrah yang boleh dihadiri oleh pelbagai kaum.
Menurut Dr Yusof Noor, Maal Hijrah merupakan peristiwa yang dekat di hati umat Islam dan tidak boleh dipisahkan dengan Islam kerana ia memperingati pengorbanan, perjuangan serta penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari kota Mekah ke kota Madinah.
“Saya memaklumkan kepada kakitangan bahawa saya ingin memberikan penghargaan Anugerah Maal Hijrah secara peribadi kepada warga PERKIM yang berkhidmat di sini,” tambahnya.
Jika ditakdirkan semua umat di dunia beragama Islam, apakah fungsi PERKIM dan mungkin tiada PERKIM di dunia atau di Malaysia, kata Tan Sri SUA sambil memetik surah Hud, ayat 18 bermaksud: “Jikalau Tuhanmu menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu.”
Ujarnya, Allah SWT itu mempunyai nama-Nya iaitu Al-Hakim bermaksud Yang Maha Bijaksana. Maka dengan itu, Allah SWT memberikan kita peluang untuk merebut pahala dengan menyebar luaskan dan menyampaikan dakwah kepada sekalian umat manusia.
“Apa yang akan kita bawa, adalah apa yang kita beri seperti pertolongan, sedekah atau nasihat tetapi yang lain semua akan tinggalkan kita,” kata beliau.
Beliau turut berterima kasih kepada Pasukan Koir PERKIM Kebangsaan kerana menyampaikan lagu dengan penuh bersemangat serta mempunyai maksud lirik yang baik kerana ia mempunyai unsur-unsur dakwah, kebajikan, pengorbanan dan kesukarelaan.
Katanya, beliau akan mengusahakan mencari tajaan bagi pakaian Pasukan Koir PERKIM Kebangsaan kerana mereka telah berusaha bersungguh-sungguh dalam menyampaikan lagu yang penuh bermakna.
YBhg Dato’ Mohamad Nordin Ibrahim akan membantunya bermula pada 1 September 2022 sebagai Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM Kebangsaan yang baharu walaupun sibuk dengan urusan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM),” kata Dr Yusof Noor di akhir ucapannya.
Pegawai dan kakitangan PERKIM Kebangsaan menikmati jamuan makan tengah hari di akhir majlis.
Ketibaan Kepimpinan Tertinggi PERKIM Kebangsaan (dari kiri:) Abdul Hanif, Dr Yusof Noor, Nordin Ibrahim, Mamat Che Chik dan Dr Suariza.
Farhan Tee selaku pengacara majlis di Majlis Penyampaian Anugerah Khas Maal Hijrah.
Pasukan Koir PERKIM Kebangsaan menyampaikan lagu selawat, Negaraku dan PERKIM Pacu Kemajuan.
Jais Mariappan memimpin bacaan doa pembuka majlis.
Abdul Hanif, Dr Yusof Noor dan Nordin Ibrahim menadah tangan ketika doa dibacakan.
Tan Sri SUA PERKIM menyampaikan ucapannya di Majlis Anugerah Khas Maal Hijrah.
Sambutan Maal Hijrah merupakan idea dan cetusan Dr Yusof Noor ketika beliau menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Pegawai dan kakitangan PERKIM mendengar ucapan yang disampaikan oleh Setiausaha Agung Kehormat.
Dato’ Abdul Hanif (kanan) menerima wang tunai dan plak anugerah ketika diumumkan penerima Anugerah Khas Maal Hijrah daripada Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor (kiri).
Dr Yusof Noor (kiri) menyampaikan sijil penghargaan Anugerah Khas Maal Hijrah kepada Abdul Hanif Harun.
Pegawai dan kakitangan PERKIM Kebangsaan menikmati jamuan makan tengah hari di akhir majlis.