Akhlak Terpuji Rasulullah, Ikon Saudara Muslim

Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI
“Tidak kami utuskan (Nabi Muhammad SAW) melainkan membawa rahmat untuk sekalian alam.” (al-Anbiya’: 107)
“Kelahiran Rasulullah SAW di muka bumi pada 12 Rabiul Awal Tahun Gajah bukan sahaja Allah memberi rahmat kepada semua manusia malah membawa rahmat kepada seluruh makhluk di pelusuk alam,” kata pendakwah.
Pendakwah lengkap berserban dikenali sebagai Mohd. Fadli Yusof berkata dalam ceramahnya, akhlak Nabi Muhammad SAW adalah seluruh kandungan al-Quran yang merupakan mukjizat terbesar kepada manusia yang teragung.
Beliau menyampaikan ceramah di Forum Perdana Sempena Sambutan Maulidur Rasul 1440H Bersama Saudara Muslim anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan bertempat di Surau Perkim, Kuala Lumpur pada 25 November 2018 lalu.
Forum tersebut dihadiri seramai lebih daripada 250 saudara Muslim berketurunan Cina, India, Iban, Kadazan, Bidayuh, Murut dan warga dari negara Indonesia, Filipina dan Thailand.
Mohd. Fadli selaku Pengasas Misi As-Syahadah bersama-sama rakan panel iaitu Kamarudin Abdullah dari Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI) dan Firdaus Wong Wai Hung dari Multiracial Reverted Muslim (MRM) menyampaikan forum bertajuk ‘Contohi Cara Hidup Harian dan Akhlak Rasulullah SAW’ serta ia dipengerusikan oleh Mohd. Meeftah Anuar dari Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar).
Turut hadir ialah pimpinan PERKIM, Bendahari Kehormat, Tan Sri Dato’ Dr. Muhammad Rais Abdul Karim; Penolong Setiausaha Agung Kehormat, Datuk Hj. Hasbullah L. Isa; Penyelaras Unit Komunikasi dan Media Baru, Datuk Hj. Idris Mamat; Pengarah Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIP-KL), Datuk Hj. Abdul Hanif Harun dan Setiausaha Kerja, Zulkefli Arifin.
Jelas Mohd. Fadli, Nabi Muhammad SAW adalah penutup bagi sekalian nabi dan baginda merupakan nabi akhir zaman dari 124,000 nabi, 312 Rasul dan termasuk dalam 25 Rasul pilihan yang disebut dalam al-Quran.
Jika kita hendak mencontohi akhlak Rasulullah, maka kita perlu tunjukkan kemuliaan Islam sebagai mana yang ditunjukkan oleh baginda kerana Islam adalah agama selamat dan mampu menyelamatkan.
Ulasnya, sebelum baginda dilantik menjadi Rasul, baginda telah mendapat gelaran al-Amin kerana kejujurannya dan dipercayai serta para sahabat adalah model ikutan akhlak nabi daripada setiap sudut.
“Rasulullah SAW mengajar kehidupan seharian dari sekecil-kecil perkara sehingga sebesar besar perkara dan itulah dinamakan sunnah,” ujar Mohd. Fadli.
Menurut Kamarudin Abdullah, Nabi Muhammad mempunyai akhlak yang tinggi dan tiada tolok bandingan sehinggakan pemikir-pemikir yang bukan Islam mengakui bahawa baginda seorang yang sangat pemaaf, menunjukkan kasih-sayang, suka tolong-menolong, bantu membantu, tidak berdendam dan bersama-sama umatnya ketika sakit.
Walau ditawarkan harta, pangkat, wanita dan darjat tetapi baginda tetap memilih untuk memperjuangkan Islam kerana Islam menjamin kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Baginda turut mendidik sahabat dan umatnya meninggalkan harta benda serta keluarga dengan menginfakkan ke jalan Allah semata-mata untuk mendapat kecintaan Allah SWT dan hari akhirat.
Jelas Kamarudin, sifat kemuliaan yang terdapat pada baginda adalah apabila baginda memaafkan ke semua manusia yang menzalimi, mencerca dan membunuh sahabat baginda sewaktu menawan Kota Mekah. Rasulullah memaafkan mereka seperti mana Nabi Yusof AS memaafkan adik-beradiknya.
Sumber kesatuan adalah di rumah Allah iaitu masjid tempat di mana kita berkumpul kerana agama tidak melihat kepada bangsa dan keturunan kerana agama yang menyatukan kita semua.
Tambahnya, Rasulullah SAW bersabda: “Aku telah tinggalkan pada kamu dua perkara nescaya kamu tidak akan sesat selama berpegang kepada keduanya iaitu kitabullah (al-Quran) dan sunahku (hadis).” (Hadis Riwayat Malik, al-Baihaqi)
Kamarudin turut menegaskan peserta, punca utama yang menyebabkan manusia tidak melakukan perkara sunah ialah kerana mereka memikirkan agama hanya sebagai ikut-ikutan dan perkara rasmi sahaja seperti kelahiran anak, perkahwinan atau kematian.
Mereka lebih memuliakan adat istiadat dan resam masyarakat berbanding agama sebagai cara hidup.
Menurut Firdaus Wong Wai Hung pula, perjalanan hidup Rasulullah SAW hanya menjadi suri teladan yang terbaik untuk diikuti tetapi umat Islam kini hanya menceritakan sahaja tanpa mengikutinya.
Jika sayang kepada nabi bukan hanya sekadar di mulut kerana bapa saudara nabi, Abu Lahab yang menentang Islam pun mengakui menyayangi nabi.
Menurut Firdaus, Perlembagaan Madinah yang terdapat di zaman baginda merupakan perlembagaan pertama di dunia yang mengandungi hak beragama untuk orang yang bukan Islam.
Jelasnya lagi, yang terbaik di kalangan kamu adalah takwa, bukan kemuliaan keturunan dan pangkat kerana takwa itu terletak di dalam hati.
Tambahnya, berdakwahlah di jalan Allah dengan berhikmah, perkataan ‘hikmah’ itu bukan soal lemah lembut dalam berdakwah, tetapi ‘hikmah’ itu adalah perkataan sesuai pada masa yang sesuai untuk orang yang sesuai dengan mengetahui fiqh keutamaan.
Beliau mengajak peserta berjihad dengan harta dan nyawa seperti yang disebut Rasulullah SAW kerana sekiranya berjihad dengan harta pun sudah tidak sanggup untuk diinfakkan dan ditinggalkan apatah lagi nyawa yang hanya ada satu untuk dijihad.
Forum tersebut dirasmikan oleh Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor.
Dr. Yusof Noor dalam ucapannya mengharapkan peserta mendapat ilmu dan menjadikan akhlak terpuji baginda sebagai contoh ikutan terbaik dari penghayatan forum tersebut.
Jelasnya, tujuan himpunan ini ialah semata-mata untuk memperingati baginda Nabi Muhammad SAW bersempena hari Maulidur Rasul.
“Tidak ada seorang Islam pun di dunia ini menyatakan tidak sayang kepada Nabi Muhammad SAW.
“Kita semua perlu mengetahui walaupun kita tidak pernah bertemu baginda tetapi kerana ajarannya yang membuatkan lahirnya kasih sayang kepada baginda walaupun baginda telah wafat.
Beliau memetik berfirman Allah yang bermaksud : Katakanlah wahai Muhammad! “Jika kamu mengasihi Allah, maka hendaklah kamu mengikut aku, nescaya Allah mengasihi kamu dan mengampuni dosa kamu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Penyayang.” (Ali-Imran: 31)
Selain daripada kita semua mencintai Nabi Muhammad SAW, hati kita juga mestilah mengasihi sesama Muslim ini adalah kerana menurut firman Allah dalam Surah al-Hujurat, ayat 10 bermaksud: “Sesungguhnya orang yang beriman itu bersaudara.”
Menurut Dr. Yusof Noor lagi, Perkim yang telah diasaskan pada tahun 1960 bukan sahaja untuk melaksanakan aktiviti Islam semata-mata tetapi juga untuk bukan Islam dan beliau turut mengalu-alukan yang masih belum Islam untuk menyertai pelbagai program Perkim.
Katanya, melalui program atau aktiviti tersebut berkemungkinan mereka mendapat hidayah dari Allah SWT dan yang belum Islam kita akan menerangkan kepada mereka tentang Islam.
Beliau turut menyampaikan hadiah cabutan nombor bertuah kepada peserta.
Majlis berakhir dengan acara berselawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW serta persembahan nasyid daripada kumpulan Safiya.
‘Contohi Cara Hidup Harian dan Akhlak Rasulullah SAW’ merupakan tajuk yang disampaikan oleh (dari kiri:) Mohd. Meeftah, Mohd. Fadli, Kamarudin dan Firdaus Wong dalam forum perdana sempena Maulidur Rasul anjuran PERKIM baru-baru ini.
Peserta yang terdiri daripada saudara Muslim pelbagai keturunan menghadiri forum tersebut.
Peserta hadir mendengar majlis ilmu yang disampaikan oleh ahli panel.
Peserta turut terhibur dengan celoteh disampaikan penceramah.
Terdapat peserta mencatat ilmu-ilmu yang disampaikan dalam forum tersebut.
Dr. Muhammad Rais (kiri) turut menyampaikan hadiah cabutan nombor bertuah kepada peserta.
Mualaf turut menerima hadiah cabutan nombor bertuah disampaikan oleh Hasbullah (kiri).
Abdul Hanif (kiri) menyampaikan hamper cabutan nombor bertuah kepada mualaf.
Peserta berselawat beramai-ramai bagi memuji baginda Nabi Muhammad SAW.
Farhan Tee mengacarakan majlis perasmian.
Jais Mariappan membacakan doa perasmian majlis.
Peserta mengaminkan ketika doa dibacakan.
Dr. Yusof Noor menyampaikan ucapan perasmian sempena majlis sambutan Maulidur Rasul di Surau PERKIM.
Peserta mualaf menerima hadiah bertuah daripada Dr. Yusof Noor (kiri).
Kumpulan Safiya mempersembahkan beberapa buah lagu bersempena Maulidur Rasul di akhir majlis.