Aktiviti Kebajikan

PERKIM Santuni Penghuni Pusat Jagaan Harmoni

ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ. ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ

𝗖𝗛𝗘𝗠𝗢𝗥, 𝟭𝟱 𝗠𝗘𝗜 𝟮𝟬𝟮𝟲 – Keprihatinan terhadap golongan memerlukan terus menjadi agenda utama , apabila Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menganjurkan program Ziarah Kebajikan ke Pusat Jagaan Harmoni hari ini.

Program yang berlangsung kira-kira pukul 11.30 pagi itu menjadi medan menyantuni penghuni pusat jagaan berkenaan yang terdiri daripada bekas pesakit mental, individu bermasalah sosial dan mereka yang memerlukan perlindungan serta pemulihan berterusan.

Kunjungan delegasi PERKIM Kebangsaan diketuai oleh 𝗘𝗸𝘀𝗲𝗸𝘂𝘁𝗶𝗳 𝗗𝗮𝗸𝘄𝗮𝗵 𝟭 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮𝗮𝗻, 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱 𝗝𝗮𝗶𝘀 𝗠𝗮𝗿𝗶𝗮𝗽𝗽𝗮𝗻 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵 yang mewakili Setiausaha Agung Kehormat PERKIM Kebangsaan, YBhg. Dato’ Haji Mohamad Marzuki Mohamad Omar.

Turut hadir Timbalan Eksekutif Kewangan PERKIM Kebangsaan, Azura Abdul Rahman, Mubaligh Islam Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Ustaz Mohamad Noor PK Osman; urus setia PERKIM Kebangsaan iaitu Fatin Akmal Aksah, Muhamad Fardly Johan, Nur Izzah Salimi dan Ummul Murshida Mat Shuqi serta warden pusat jagaan berkenaan, Meor Ahmad Syafiq dan Nurul Aini Ibrahim.


Dalam ucapannya, 𝗣𝗲𝗻𝘆𝗲𝗹𝗶𝗮 𝗣𝘂𝘀𝗮𝘁 𝗝𝗮𝗴𝗮𝗮𝗻 𝗛𝗮𝗿𝗺𝗼𝗻𝗶, 𝗛𝗮𝗷𝗮𝗵 𝗔𝘀𝗺𝗮𝗹𝗶𝗮𝗻𝗮 𝗝𝗮𝗺𝗮𝗹𝘂𝗱𝗱𝗶𝗻 menzahirkan penghargaan atas kesudian PERKIM Kebangsaan dan MAIWP menziarahi pusat tersebut yang kini menempatkan seramai 153 penghuni lelaki dan lebih 50 penghuni wanita.

Beliau berkata, sebahagian besar penghuni terdiri daripada individu yang berdepan masalah kesihatan mental termasuk skizofrenia, tekanan emosi kronik serta mereka yang pernah terjebak dengan penyalahgunaan dadah dan konflik keluarga.

Menurutnya, pengurusan pusat bukan sahaja memberi tumpuan kepada penjagaan fizikal, malah menitikberatkan rawatan kerohanian dan pembinaan jiwa melalui pendekatan kasih sayang, terapi rohani serta pendidikan agama.

“Setiap penghuni memerlukan perhatian dan kasih sayang yang berterusan. Ada antara mereka datang dalam keadaan sangat kritikal dan agresif, namun selepas diberi rawatan, bimbingan dan suasana harmoni, mereka berubah menjadi lebih tenang dan mampu berinteraksi dengan baik,” kata Hajah Asmaliana.

Suasana lawatan turut menyentuh hati rombongan PERKIM Kebangsaan apabila beberapa penghuni lelaki tampil memperdengarkan bacaan Surah Al-Mulk kepada ahli rombongan dengan penuh tertib dan penghayatan.

Selain itu, penghuni wanita pula bersama-sama mengalunkan zikir dan selawat secara beramai-ramai, sekali gus mewujudkan suasana penuh syahdu dan ketenangan di pusat jagaan tersebut.

Momen berkenaan nyata memberi kesan mendalam kepada para tetamu yang hadir apabila melihat penghuni bukan sahaja menerima rawatan dan perlindungan, malah turut dibimbing dengan pengisian kerohanian secara berterusan.


Sementara itu, 𝗣𝗲𝗻𝗴𝗮𝘀𝗮𝘀 𝗣𝘂𝘀𝗮𝘁 𝗝𝗮𝗴𝗮𝗮𝗻 𝗛𝗮𝗿𝗺𝗼𝗻𝗶, 𝗛𝗮𝗷𝗮𝗵 𝗦𝗮𝗮𝗱𝗶𝗮𝗵 𝗬𝗼𝗯 berkongsi perjalanan panjang membangunkan pusat kebajikan tersebut yang disifatkannya lahir daripada rasa tanggungjawab dan kasih terhadap insan kurang bernasib baik.

Menurut beliau, pengorbanan menjaga penghuni yang mempunyai pelbagai masalah kesihatan mental dan sosial bukan sesuatu yang mudah, namun keikhlasan dan keyakinan kepada pertolongan Allah SWT menjadi kekuatan utama untuk terus bertahan.

Katanya, beliau pernah melalui pelbagai kesukaran termasuk kekangan kewangan dan cabaran mengurus penghuni yang memerlukan pemantauan rapi, namun semuanya ditempuhi dengan sabar demi memastikan golongan terbabit tidak terabai.

“Kalau kita ikhlas membantu manusia, Allah akan bantu kita semula. Saya percaya keberkatan itu datang apabila kita menjaga amanah dengan penuh kasih sayang,” katanya penuh sebak.

Beliau turut memaklumkan pusat tersebut kini diuruskan bersama ahli keluarga dan para petugas yang sentiasa berganding bahu memastikan kebajikan penghuni terus terpelihara.

Tambahnya, ramai penghuni yang dihantar ke pusat berkenaan berada dalam keadaan kronik dan tidak diterima masyarakat, namun melalui pendekatan berhemah serta suasana kekeluargaan, sebahagian mereka menunjukkan perkembangan positif.


Dalam pada itu, Ustaz Muhammad Jais Mariappan Abdullah dalam ucapannya berkata, kunjungan tersebut merupakan amanah yang diberikan oleh MAIWP bagi menyampaikan sumbangan kit makanan kepada golongan yang memerlukan.

“Alhamdulillah, tujuan utama kami datang adalah untuk menyampaikan amanah daripada pihak MAIWP. Walaupun sumbangan ini tidak seberapa, kehadiran kami di sini atas dasar kasih sayang dan persaudaraan sesama insan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa setiap manusia adalah sama di sisi Allah SWT dan yang membezakan hanyalah ketakwaan.

Katanya, PERKIM Kebangsaan amat tersentuh melihat usaha murni pihak pengurusan pusat dalam mendidik serta membimbing penghuni dengan pendekatan agama dan tarbiah yang berterusan.

“Mungkin penghuni di sini lebih hebat daripada kami di sisi Allah SWT kerana mereka diuji dengan pelbagai cabaran hidup tetapi terus dibimbing dan disantuni dengan penuh kasih sayang,” ujarnya.

Beliau turut berharap hubungan antara PERKIM Kebangsaan dan Pusat Jagaan Harmoni dapat diteruskan melalui program dakwah serta ziarah susulan pada masa akan datang.

Menurutnya, pihak PERKIM Kebangsaan juga akan membantu mempromosikan usaha kebajikan pusat berkenaan menerusi platform media supaya lebih ramai pihak tampil menghulurkan bantuan.

“Saya cukup tersentuh dengan keikhlasan pihak pengurusan pusat ini. Mereka tidak mengharapkan pujian manusia, sebaliknya hanya mengharapkan keredaan Allah SWT. Mudah-mudahan Allah merahmati dan melimpahkan rezeki kepada pusat ini supaya terus kekal membantu masyarakat,” jelas Ustaz Jais.

Pusat Jagaan Harmoni merupakan sebuah pusat kebajikan swasta yang memberi fokus kepada penjagaan sepenuh masa bagi pesakit mental, bekas penagih dadah serta individu bermasalah sosial.

Pusat itu turut menerima sokongan pelbagai pihak termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), institusi zakat dan badan kebajikan bagi memastikan kebajikan penghuni sentiasa terbela selain menyediakan kemudahan mesra kerusi roda untuk penghuni yang memerlukan.

 


PERKIM Kebangsaan bersama MAIWP menganjurkan Program Ziarah Kebajikan ke Pusat Jagaan Harmoni di Jalan Buyong Mokhtar, Kampung Jasa Ulu, Chemor, Perak.

 


Hajah Asmaliana (kiri) memberi taklimat serta menunjukkan kawasan dalam asrama yang dikawal ketat di Pusat Jagaan Harmoni.

 


Hajah Asmaliana membawa ahli rombongan ke dewan makan di mana tempat dihimpunkan 153 penghuni lelaki yang sedang mengalunkan zikrullah beramai-ramai.

 


Sebahagian besar penghuni terdiri daripada individu yang berdepan masalah kesihatan mental termasuk skizofrenia, tekanan emosi kronik dan lain-lain.

 


Salah seorang penghuni mengalunkan dengan merdu bacaan Surah Al-Mulk di hadapan Ustaz Jais Mariappan.

 


Terdapat daripada mereka yang ditempatkan di sini mengalami tekanan emosi kronik serta mereka yang pernah terjebak dengan penyalahgunaan dadah dan konflik keluarga.

 


Keadaan dormitori penghuni wanita yang dilawat.

 


Ustaz Jais Mariappan bersama ahli rombongan PERKIM bertemu dengan penghuni wanita.

 


Ahli rombongan PERKIM wanita turut tidak melepaskan peluang bergambar bersama penghuni wanita Pusat Jagaan Harmoni.

 

 


Hajah Asmaliana dalam ucapannya berkata, pengurusan pusat bukan sahaja memberi tumpuan kepada penjagaan fizikal, malah menitikberatkan rawatan kerohanian dan pembinaan jiwa.

 


Ustaz Jais Mariappan yang mewakili Setiausaha Agung Kehormat PERKIM berkata, beliau amat tersentuh melihat usaha murni pihak pengurusan pusat dalam mendidik serta membimbing penghuni dengan pendekatan agama dan tarbiah yang berterusan.

 


Ustaz Jais Mariappan menyampaikan sumbangan barangan makanan tajaan MAIWP kepada Hajah Saadiah Yob untuk disampaikan kepada penghuni Pusat Jagaan Harmoni.

 


Ustaz Jais Mariappan menyampaikan plak cenderamata PERKIM kepada Pengasas Pusat Jagaan Harmoni, Hajah Saadiah Yob.


Rombongan PERKIM berkesempatan bergambar kenang-kenangan bersama penghuni Pusat Jagaan Harmoni.

 

Related Articles

Back to top button