Wanita PERKIM Gariskan Hala Tuju Baharu, Tegas Peranan Wanita Perkasa Dakwah dan Kebajikan
ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ. ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ
𝐊𝐔𝐀𝐋𝐀 𝐋𝐔𝐌𝐏𝐔𝐑, 𝟖 𝐎𝐊𝐓𝐎𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟓 – Lebih 50 orang peserta terdiri daripada Ahli Majlis Wanita Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan dan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Wanita PERKIM Bahagian seluruh negara termasuk Majlis Tertinggi Wanita Persatuan Islam Seluruh Sabah (USIA) berhimpun di Dewan Seminar, Aras 1, Bangunan PERKIM Kebangsaan di Jalan Sultan Azlan Shah, dekat sini pada pagi Rabu bagi menjayakan 𝑩𝒆𝒏𝒈𝒌𝒆𝒍 𝑯𝒂𝒍𝒂 𝑻𝒖𝒋𝒖 𝑾𝒂𝒏𝒊𝒕𝒂 𝑷𝑬𝑹𝑲𝑰𝑴 2025.
Bengkel sehari itu dianjurkan khusus untuk merangka strategi, memperkukuh pentadbiran serta menyusun semula pelan dakwah dan kebajikan Wanita PERKIM selaras dengan cabaran semasa.
Majlis membuka tirai dengan ucapan pengacara majlis disampaikan oleh Eksekutif Dakwah PERKIM Kebangsaan, Ustaz Muhammad Farhan Tee Abdullah disusuli bacaan doa oleh Eksekutif Kewangan PERKIM Kebangsaan, Mohd Aizat Rosli.
Peserta turut menjalani sesi taaruf dan ‘ice breaking’ yang dikendalikan Ustaz Farhan Tee bagi mengeratkan ukhuwah serta membina semangat kerja berpasukan sebelum bengkel bermula.

𝐊𝐞𝐭𝐮𝐚 𝐖𝐚𝐧𝐢𝐭𝐚 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌 𝐊𝐞𝐛𝐚𝐧𝐠𝐬𝐚𝐚𝐧, 𝐘𝐓𝐌 𝐓𝐮𝐧𝐤𝐮 𝐏𝐮𝐚𝐧 𝐒𝐫𝐢 𝐃𝐚𝐭𝐨’ 𝐇𝐚𝐣𝐚𝐡 𝐍𝐨𝐨𝐫 𝐇𝐚𝐲𝐚𝐭𝐢 𝐓𝐮𝐧𝐤𝐮 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥 𝐑𝐚𝐡𝐦𝐚𝐧 𝐏𝐮𝐭𝐫𝐚 𝐀𝐥-𝐇𝐚𝐣 dalam ucapan amanatnya menegaskan bahawa bengkel ini amat signifikan untuk menilai kembali agenda serta hala tuju Wanita PERKIM setelah beberapa tahun tertinggal dalam perancangan.
Beliau menekankan keperluan suara wanita didengar dengan lebih lantang kerana wanita merupakan tulang belakang pelaksanaan program di lapangan, namun sering berhadapan kekangan dana dan dasar.
Sehubungan itu, beliau menyeru Wanita PERKIM supaya merangka dasar yang jelas, praktikal dan mampan dengan mengambil kira cabaran berbeza di setiap negeri.
Menurut beliau, kekuatan pertubuhan tidak hanya diukur melalui jumlah ahli seramai lebih 22,000 orang, tetapi melalui komitmen, sinergi dan kerjasama erat di semua peringkat organisasi.
Beliau juga menegaskan perlunya pembabitan generasi muda serta institusi pendidikan bagi menjamin kesinambungan kepimpinan di masa hadapan.
Bengkel diteruskan dengan taklimat pentadbiran oleh 𝐒𝐞𝐭𝐢𝐚𝐮𝐬𝐚𝐡𝐚 𝐊𝐞𝐡𝐨𝐫𝐦𝐚𝐭 𝐖𝐚𝐧𝐢𝐭𝐚 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌 𝐊𝐞𝐛𝐚𝐧𝐠𝐬𝐚𝐚𝐧, 𝐘𝐁𝐡𝐠. 𝐃𝐚𝐭𝐨’ 𝐇𝐚𝐣𝐚𝐡 𝐌𝐚𝐳𝐧𝐚𝐡 𝐃𝐚𝐬𝐦𝐢 yang menekankan kepentingan memahami Akta Pertubuhan 1966, Perlembagaan PERKIM serta konsep ultra vires agar setiap keputusan mematuhi landasan undang-undang.
Beliau turut menegaskan kepentingan pengurusan mesyuarat yang sistematik dan penubuhan pejabat Wanita PERKIM di setiap bahagian bagi memastikan urusan pentadbiran lebih tersusun dan berkesan.
Manakala dalam taklimat kewangan, 𝐁𝐞𝐧𝐝𝐚𝐡𝐚𝐫𝐢 𝐊𝐞𝐡𝐨𝐫𝐦𝐚𝐭 𝐖𝐚𝐧𝐢𝐭𝐚 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌 𝐊𝐞𝐛𝐚𝐧𝐠𝐬𝐚𝐚𝐧, 𝐘𝐁𝐡𝐠. 𝐏𝐫𝐨𝐟. 𝐌𝐚𝐝𝐲𝐚 𝐃𝐫. 𝐍𝐮𝐫’𝐚𝐳𝐚𝐡 𝐃𝐚𝐭𝐨’ 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥 𝐌𝐚𝐧𝐚𝐟 menggariskan tanggungjawab bendahari termasuk penyediaan laporan kewangan bulanan dan tahunan, kawalan akaun yang telus serta penyimpanan dokumen kewangan rasmi.
Beliau menekankan peranan juruaudit dalaman bagi memantau risiko penyelewengan, memastikan pematuhan kepada dasar pertubuhan dan meningkatkan kecekapan pengurusan kewangan di semua peringkat.
Bengkel turut diserikan dengan taklimat ekonomi dan keusahawanan daripada 𝐊𝐞𝐭𝐮𝐚 𝐏𝐞𝐠𝐚𝐰𝐚𝐢 𝐏𝐞𝐦𝐚𝐬𝐚𝐫𝐚𝐧 𝐒𝐮𝐝𝐞𝐞 𝐇𝐨𝐥𝐝𝐢𝐧𝐠𝐬, 𝐀𝐧𝐧 𝐙𝐚𝐡𝐢𝐝.
Beliau memperkenalkan potensi program Sudee Brand Affiliate yang memberi peluang kepada orang ramai menjana pendapatan pasif melalui Shopee dan TikTok Shop dengan mempromosikan produk makanan halal keluaran Sudee Holdings.
Program ini, jelas beliau, mampu membantu Wanita PERKIM memperkukuh kewangan melalui kaedah pemasaran digital tanpa perlu menyimpan stok atau mengurus penghantaran produk.

Sementara itu, 𝐍𝐚𝐢𝐛 𝐘𝐚𝐧𝐠 𝐃𝐢𝐩𝐞𝐫𝐭𝐮𝐚 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌, 𝐘𝐁𝐡𝐠. 𝐃𝐫. 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐌𝐨𝐡𝐝 𝐑𝐢𝐝𝐡𝐮𝐚𝐧 𝐓𝐞𝐞 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥𝐥𝐚𝐡 dalam ucapannya menegaskan kepentingan memperkukuh hubungan PERKIM dengan institusi masjid sebagai pusat dakwah dan kebajikan.
Beliau mencontohkan inisiatif PERKIM Bagan Datoh yang bekerjasama dengan pihak masjid mendapatkan sebahagian kutipan Jumaat untuk kegiatan dakwah.
Kata Dr Ridhuan Tee lagi, persepsi masyarakat bahawa PERKIM sebuah NGO kaya tidak menggambarkan realiti sebenar, justeru sumber kewangan perlu diurus dengan bijaksana dan diagih kepada program yang memberi impak tinggi.
Beliau turut menyarankan agar program dakwah diperluas kepada golongan bukan Islam, penggunaan media sosial dimanfaatkan secara maksimum serta identiti PERKIM lebih ditonjolkan melalui inisiatif seperti pemakaian rompi khas ketika menyertai operasi bantuan.
“Dakwah kepada bukan Islam adalah misi sebenar PERKIM dan perlu diberi keutamaan,” tegas Dr Ridhuan Tee sambil mengingatkan perlunya kerjasama erat dengan agensi agama serta sinergi bersama belia dalam memperkasa gerakan dakwah.
Peserta kemudiannya dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk diberikan tugasan bagi merangka cadangan Hala Tuju Wanita PERKIM (2.0) 2025 yang menumpukan aspek perancangan, kerjasama dan kewangan.
Seusai solat Zohor dan jamuan tengah hari, setiap kumpulan membentangkan cadangan masing-masing sebagai asas kepada pelan tindakan Wanita PERKIM selepas ini.
Tunku Noor Hayati dalam ucapan penggulungannya menekankan usaha berterusan Wanita PERKIM dalam menangani isu sosial termasuk kes mualaf, keluarga bermasalah, dadah, buli, kesihatan dan mental.
Beliau menegaskan perlunya program ‘training of trainers’ untuk melahirkan lebih ramai kaunselor serta kerjasama rapat dengan agensi kerajaan seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) bagi membendung gejala sosial.
Beliau turut memberi perhatian kepada keperluan khas di Sabah yang berdepan cabaran sosial dan dakwah unik berikutan kedudukan geografinya yang strategik.
Beliau mengingatkan bahawa perjuangan Wanita PERKIM perlu bergerak seiring dalam aspek dakwah, kebajikan dan pendidikan, di samping memastikan kesinambungan penglibatan generasi muda.
Tunku Noor Hayati juga menyeru agar semua ahli Wanita PERKIM memperkukuh kerjasama di peringkat bahagian dan cawangan serta terus melaksanakan program yang memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara.
Majlis diakhiri dengan sesi fotografi kenangan dan jamuan minum petang.
Turut hadir, 𝐀𝐡𝐥𝐢 𝐌𝐚𝐣𝐥𝐢𝐬 𝐖𝐚𝐧𝐢𝐭𝐚 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌 𝐊𝐞𝐛𝐚𝐧𝐠𝐬𝐚𝐚𝐧 𝐢𝐚𝐢𝐭𝐮 𝐏𝐞𝐧𝐠𝐞𝐫𝐮𝐬𝐢 𝐓𝐞𝐭𝐚𝐩, 𝐇𝐚𝐣𝐚𝐡 𝐇𝐚𝐬𝐧𝐚𝐡 𝐌𝐨𝐡𝐚𝐦𝐞𝐝; 𝐓𝐢𝐦𝐛𝐚𝐥𝐚𝐧 𝐏𝐞𝐧𝐠𝐞𝐫𝐮𝐬𝐢 𝐓𝐞𝐭𝐚𝐩, 𝐘𝐁𝐡𝐠. 𝐃𝐚𝐭𝐢𝐧 𝐇𝐚𝐣𝐚𝐡 𝐌𝐚𝐳𝐥𝐢𝐧 𝐃𝐚𝐫𝐮𝐬 serta ahli majlis lain termasuk 𝐘𝐁𝐡𝐠. 𝐃𝐚𝐭𝐢𝐧 𝐇𝐚𝐣𝐚𝐡 𝐌𝐚𝐰𝐚𝐧𝐜𝐡𝐢𝐤 𝐂𝐡𝐞 𝐉𝐚𝐢𝐬, 𝐘𝐁𝐡𝐠. 𝐃𝐚𝐭𝐨’ 𝐍𝐮𝐫𝐳𝐚𝐫𝐢𝐧𝐚 𝐒𝐞𝐩𝐫𝐚𝐧, 𝐘𝐁𝐡𝐠. 𝐃𝐚𝐭𝐢𝐧 𝐇𝐚𝐣𝐚𝐡 𝐍𝐨𝐫𝐦𝐚𝐥𝐚 𝐌𝐨𝐡𝐚𝐦𝐚𝐝 𝐙𝐢𝐧, 𝐘𝐁𝐡𝐠. 𝐃𝐚𝐭𝐢𝐧 𝐏𝐚𝐝𝐮𝐤𝐚 𝐇𝐚𝐣𝐚𝐡 𝐍𝐨𝐫𝐬𝐢𝐚𝐡 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐇𝐚𝐫𝐨𝐧, 𝐀𝐳𝐥𝐢𝐟𝐚 𝐌𝐝. 𝐈𝐝𝐫𝐢𝐬 𝐝𝐚𝐧 𝐇𝐚𝐣𝐚𝐡 𝐍𝐨𝐫𝐢𝐳𝐚𝐧 𝐈𝐬𝐦𝐚𝐢𝐥.
Bengkel turut disokong oleh urus setia, Fatin Hamizah Ismail, Nur Syahirah Musa dan Masliana Ariffin.

Ustaz Farhan Tee selaku juruacara majlis membuka tirai Bengkel Hala Tuju Wanita PERKIM.

Aizat Rosli memimpin bacaan doa pembuka majlis.

Wanita PERKIM menadah tangan ketika doa dibacakan.

Ustaz Farhan Tee mengendalikan sesi taaruf dan ‘ice breaking’ di permulaan bengkel tersebut.

Kumpulan Wanita PERKIM Kedah dan Melaka menyertai bengkel tersebut.

Tunku Noor Hayati menyampaikan ucapan amanatnya selaku Ketua Wanita PERKIM Kebangsaan.

Tunku Noor Hayati menekankan keperluan suara wanita didengar dengan lebih lantang kerana wanita merupakan tulang belakang pelaksanaan program.

Wanita PERKIM mendengar ucapan amanat yang disampaikan.

Tunku Noor Hayati juga menegaskan perlunya pembabitan generasi muda serta institusi pendidikan bagi menjamin kesinambungan kepimpinan di masa hadapan.

Dato’ Maznah menyampaikan taklimat pentadbiran kepada peserta bengkel.

Prof. Madya Nur’azah turut menyampaikan taklimat kewangan kepada peserta.

Peserta menulis dan mencatat taklimat yang disampaikan.

Sesi soal jawab bersama Setiausaha Kehormat dan Bendahari Kehormat Wanita PERKIM Kebangsaan.

Peserta menyampaikan pandangan dan buah fikiran di bengkel tersebut.

Ann Zahid dari Sudee Holdings menyampaikan taklimat keusahawanan kepada peserta.

Wakil Sudee Holdings mengedar produk-produk keluaran syarikatnya kepada peserta.

Dr Ridhuan Tee selaku Naib Yang Dipertua PERKIM menyampaikan ucapan dan pesanannya kepada peserta.

Dr Ridhuan Tee menyarankan agar program dakwah diperluas kepada golongan bukan Islam, penggunaan media sosial dimanfaatkan secara maksimum.

Tunku Noor Hayati beramah mesra bersama peserta ketika latihan dalam kumpulan.

Tunku Noor Hayati berkesempatan bergambar bersama Wanita PERKIM.

Tunku Noor Hayati membantu peserta menyiapkan tugasan yang diberikan.

Peserta kumpulan bertungkus lumus menyiapkan tugasan yang diberi.

Kumpulan Mutiara Manis bersama-sama menyiapkan tugasan yang diberikan.

Peserta kumpulan JDT Sinar Selatan membuat pembentangan mengenai Hala Tuju Wanita PERKIM (2.0) 2025.

Peserta kumpulan KT membentangkan perancangan, kerjasama dan kewangan bagi Hala Tuju Wanita PERKIM.

Hala Tuju Wanita PERKIM (2.0) 2025 dibentangkan oleh peserta kumpulan Mutiara Manis.

Dato’ Nurzarina Sepran dari kumpulan Melor Wangi membentangkan perancangan, kerjasama dan kewangan Hala Tuju Wanita PERKIM (2.0) 2025.

Hala Tuju Wanita PERKIM (2.0) 2025 dibentang oleh Azlifa Md Idris dari kumpulan Tuah Mahsuri.

Peserta kumpulan Royal Belum Pahang membuat pembentangan mengenai Hala Tuju Wanita PERKIM (2.0) 2025.

Hala Tuju Wanita PERKIM (2.0) 2025 dibentang peserta dari kumpulan Borneo.

Wanita PERKIM bergambar kenang-kenangan sambil menunjukkan isyarat bagus pada akhir bengkel.



