Berita PERKIM Bahagian & Cawangan

Wanita PERKIM Alor Setar Serah Zakat, Beras Fidyah Kepada 81 Asnaf, Mualaf

oleh: ZAATIL HIDAYAH AHMAD BUSTAMAN

ALOR SETAR, 14 MAC 2024 – Sempena bulan Ramadan Al-Mubarak 1445 Hijrah, Wanita Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Alor Setar telah mengadakan penyerahan sumbangan zakat dan beras fidyah kepada mualaf dan asnaf di sekitar kawasan Alor Setar Kedah bertempat di Dewan DATAR, PERKIM Bahagian Negeri Kedah.

Seramai 81 orang yang terdiri daripada 57 orang mualaf dan 24 orang asnaf telah disantuni dengan menerima beras, buah kurma, air kordial, bihun dan sumbangan wang tunai RM100.

Program ini bertujuan sebagai persiapan awal untuk menjalani ibadah puasa sebulan di bulan Ramadan bagi meraih ganjaran yang berlipat ganda dan keredhaan Allah SWT seterusnya dapat memberikan kesedaran dan pengajaran dalam penghayatan Ramadan.

Majlis turut diisikan dengan tazkirah ringkas yang bertajuk ‘Fadhilat Ramadan’ disampaikan oleh Pengerusi Wanita PERKIM Bahagian Negeri Kedah, Datin Hajah Mariah  Haji Hitam.

Antara kupasan tazkirah beliau adalah mengenai bulan Ramadan merupakan sebuah bulan yang penuh dengan pelbagai manfaat yang seharusnya kita rebuti.

Janganlah kita alpa dan leka dibuai dengan kesibukan dunia hingga kita lalai untuk menyedari bahawa adanya sebuah bulan yang hebat seperti ini.

Kehebatan bulan Ramadhan ini hanya dapat dirasai oleh umat Nabi Muhammad SAW sahaja, maka perolehilah setiap kelebihan yang ada di dalamnya.

Justeru, raikanlah Ramadan dengan membuka lembaran baru yang bersih disamping ruang pengibadatan sudah dibuka seluasnya kepada kita.

Perbanyakkan istigfar dan pohonkanlah keampunan dari Allah SWT agar segala kekhilafan kita sebelum ini segera diampunkan oleh-Nya.

Jagalah hubungan yang baik antara manusia, bermaafanlah antara satu sama lain dan janganlah lupa untuk berpesan-pesan kepada ahli keluarga dan saudara mara supaya tidak akan ada yang tertinggal dari rahmat Allah S.W.T. Semoga ramadan kali ini akan lebih baik dari sebelumnya, Insya-Allah.

Majlis penyampaian sumbangan telah disempurnakan oleh Pengerusi Wanita PERKIM Cawangan Alor Setar, Hajah Rokiah Saad.

Majlis penyerahan bantuan tersebut sedikit sebanyak meringankan bebanan yang dihadapi oleh asnaf dan membantu golongan tersebut membuat persiapan awal menyambut kedatangan bulan Ramadan pada tahun ini.


Wanita PERKIM Cawangan Alor Setar bergambar bersama 81 asnaf dan mualaf.


Majlis anjuran Wanita PERKIM Cawangan Alor Setar.


Muslimat menadah tangan ketika doa pembuka majlis dibacakan.


Pengerusi Wanita PERKIM Cawangan Alor Setar, Hajah Rokiah Saad menyampaikan ucapan di majlis tersebut.


Tazkirah ringkas bertajuk “Fadhilat Ramadan” disampaikan oleh Pengerusi Wanita PERKIM Bahagian Negeri Kedah, Datin Hajah Mariah  Haji Hitam.


Barangan makanan yang akan diagihkan kepada asnaf dan saudara baharu.


Hajah Rokiah Saad menyampaikan sumbangan kepada asnaf.


Mualaf menerima sumbangan daripada Hajah Rokiah Saad.


Datin Hajah Mariah menyampaikan sumbangan kepada mualaf.

Related Articles

Back to top button