Aktiviti Dakwah

Lima Warga Filipina Ucap Syahadah Di Awal Ramadan

Foto: UMAG

KUALA LUMPUR, 15 MAC 2024 – Bercucuran air mata lima wanita warganegara Filipina setelah hasrat mereka yang telah lama terpendam untuk memeluk Islam akhirnya tercapai selepas melafazkan dua kalimah syahadah di pagi Jumaat Ramadan yang penuh barakah.

Kelima-lima wanita Filipina itu dibawa dari Serdang, Selangor oleh Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan (UDPI) Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan, Siti Munirah Sayed Mohd Hamdan ke Surau PERKIM, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah dekat sini.

Majlis pengislaman tersebut diraikan seramai 50 orang terdiri daripada warga PERKIM, saudara baharu dan Ahli Tadarus Al-Quran PERKIM.

Sebelum pengislaman, Pegawai UDPI PERKIM Kebangsaan, Ustaz Sulaiman Ding Yu Zhong telah menyampaikan khutbah pengislaman dan penerangan berkenaan Rukun Islam, Rukun Iman, halal serta haram di dalam Bahasa Inggeris kepada lima wanita saudara baharu iaitu Layla Dela Cruz, 31; Maya Culanag, 37; Fatimah Lanilyn, 38; Aliyah Telyn, 47 dan Aminah Morillo Abdullah, 47.

Majlis diserikan lagi dengan upacara pengislaman yang dipimpin masing-masing oleh Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun; Pengarah Kanan Dakwah PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin; Setiausaha Kerja Eksekutif PERKIM Kebangsaan, Zulkefli Arifin; Pegawai UDPI, Sulaiman Ding serta Siti Munirah Sayed Mohd Hamdan kepada kelima-lima wanita warganegara Filipina di dalam Bahasa Arab diikuti Bahasa Inggeris.

Lima wanita mualaf Filipina telah lama berhasrat ingin memeluk Islam, tetapi tidak tahu ke mana ingin ditujui sehinggalah mereka bertemu dengan Mantan Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Tuan Haji Yaakob Lazim untuk menunaikan impian mereka dan beliau meminta lima wanita tersebut untuk pergi ke Ibu Pejabat PERKIM Kebangsaan.

Kelima-lima mereka merupakan rakan karib dan bekerja sebagai pembantu rumah separuh masa  dan tukang cuci.

“Hati kami terdetik untuk memeluk Islam apabila melihat majikan mereka yang beragama Islam solat, mengaji, berpuasa dan mempunyai akhlak yang baik,” kata mereka sambil melengkapkan borang pengislaman beserta pengesahan passport dan visa.

Dato’ Abdul Hanif turut berkesempatan menyampaikan kit pengislaman yang mengandungi buku Asas Fardu Ain, Iqra, sejadah, telekung serta Al-Quran Edisi Khas Saudara Baharu kepada Layla, Maya, Fatimah, Aliyah dan Aminah.

Suasana gembira dan sayu ketika kelima-lima saudara baharu dipeluk dengan penuh kasih sayang sambil diberi ucapan tahniah oleh muslimat.

Majlis berakhir dengan bacaan doa kesyukuran dan penutup dipimpin oleh Sulaiman Ding.

Turut hadir ialah Pegawai UDPI, Muhammad Jais Mariappan Abdullah; Pegawai Kewangan PERKIM Kebangsaan, Hamidah Ismail serta Pegawai Wanita PERKIM Kebangsaan, Fatin Hamizah Ismail.


Lima warganegara Filipina diberi penerangan dan khutbah pengislaman ringkas.


Sulaiman Ding menyampaikan penerangan berkenaan Rukun Islam, Rukun Iman, halal dan haram kepada lima wanita mualaf.


Lima wanita warganegara Filipina dan hadirin mendengar taklimat dan penerangan pengislaman yang disampaikan.


Bendahari Kehormat, Dato’ Abdul Hanif (kiri) mensyahadahkan salah seorang wanita Filipina.


Pengarah Kanan Dakwah, Dato’ Razali (kanan) mempimpin bacaan syahadah kepada mualaf Filipina.


Setiausaha Kerja Eksekutif, Zulkefli mengikrarkan lafaz dua kalimah syahadah diikuti saudara baharu Filipina.


Siti Munirah (kiri) turut mengambil peluang untuk mensyahadahkan mualaf Filipina.


Wanita Filipina melafazkan kalimah tayyibah di hadapan Sulaiman Ding ketika majlis pengislaman.


Doa kesyukuran dibaca selepas selesai majlis pengislaman.


Lima wanita mualaf Filipina berasa terharu dan gembira setelah menjadi seorang Islam.


Dato’ Abdul Hanif menyampaikan beg mengandungi kit pengislaman kepada wanita mualaf Filipina.


Mualaf diraikan dengan pelukan dan ucapan tahniah.


Mualaf melengkapkan borang pengislaman.


Borang pengislaman perlu dilengkapkan untuk proses mendapatkan kad Islam.


Warga PERKIM Kebangsaan berkesempatan bergambar dengan lima mualaf Filipina.


Saudara baharu dan Ahli Tadarus PERKIM merakamkan kenangan manis bersama lima wanita mualaf Filipina.

Related Articles

Back to top button