Berita PERKIM Bahagian & Cawangan

Tautan Kasih PERKIM Terengganu Bersama Iskandar Ravi

DUNGUN, 16 NOVEMBER 2022 – Lanjutan daripada Program Santuni Saudara Kita di Daerah Dungun, Skuad Cakna Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Bahagian Negeri Terengganu meneruskan lagi aktiviti kebajikan tersebut dengan mengunjungi seorang mualaf istimewa iaitu saudara Muhammad Iskandar Ravi Abdullah.

Iskandar Ravi yang menetap di Gong Pasir dekat sini adalah saudara kita berbangsa India merupakan orang kurang upaya (OKU) yang sangat rajin dan komited mencari ilmu dan mencari rezeki.

Beliau bekerja di sebuah stesen minyak berdekatan sebagai seorang tukang sapu. Di samping itu, Iskandar Ravi menambah pendapatannya dengan mengambil upah menyapu di kedai makan dan pembantu di kedai surat khabar.

Sebelum itu, beliau menetap di Pasir Panjang, Kuala Terengganu dan juga pernah menghuni di Rumah Perlindungan PERKIM – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) di Kampung Ladang.

Di sebalik kekurangan beliau, beliau mampu menghayati ajaran Islam dengan baik, mampu bertugas sebagai bilal pada program Ihya Ramadhan sebelum ini. Beliau juga mampu menghafaz sebahagian besar surah-surah di dalam Al-Quran.

Berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan oleh negara disebabkan wabak COVID-19 dua tahun lalu, beliau terputus hubungan dengan PERKIM dan akhirnya pada hari ini, Skuad Cakna PERKIM Terengganu berjaya  menjejaki Iskandar Ravi semula.

Beliau kini menetap bersama keluarganya di kediaman yang disumbangkan oleh kerajaan melalui Projek Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS).

Dalam kunjungan tersebut, Pengerusi PERKIM Cawangan Dungun, YM Raja Ibrahim Raja Manis dan Setiausaha PERKIM Cawangan Dungun, YBrs Ustaz Muhammad Zaki Yusof telah menyampaikan sumbangan makanan kering kepada Iskandar Ravi.

Turut hadir ialah Pegawai Eksekutif PERKIM Bahagian Negeri Terengganu, YBhg Tuan Haji Subri Jaafar dan Ahli Jawatankuasa PERKIM Cawangan Dungun, YBrs Ustaz Fadly Yusof dan Encik Che Wan Hamishan Che Wan Rani; Penolong Pegawai Kerja PERKIM Bahagian Negeri Terengganu, Rosnaliza Ahmadiah, Aishah Abdul Wahab serta Nurfadhilah Alias.

Skuad Cakna PERKIM Terengganu mengucapkan ribuan terima kasih kepada pimpinan PERKIM Cawangan Dungun yang membantu menjayakan kunjungan ini dan mendoakan agar saudara Iskandar Ravi dipermudahkan segala urusan.


Zaki Yusof (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan makanan kering manakala Raja Ibrahim (kanan) menyampaikan wang tunai kepada Iskandar Ravi.


Iskandar Ravi seorang yang sangat rajin belajar dan rajin mencari rezeki.


Skuad Cakna PERKIM Terengganu dan PERKIM Cawangan Dungun di perkarangan luar rumah Iskandar Ravi.


Skuad Cakna PERKIM Terengganu bersyukur dapat ditemukan semula dengan Iskandar Ravi sejak dua tahun berpisah.


Wajah ceria dan gembira terukir di wajah Iskandar Ravi di saat rombongan ziarah bertandang ke rumahnya.

Related Articles

Back to top button