Setiausaha Agung Kehormat PERKIM Rasmi KOPTER PERKIM Centre
Foto: KOPTER
KUALA TERENGGANU, 2 OKTOBER 2022 – Setiausaha Agung Kehormat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor menandatangani plak Koperasi PERKIM Terengganu Berhad (KOPTER) ketika merasmikan pejabat baharu KOPTER PERKIM Centre (KPC) di Kampung Ladang Tok Pelam, Jalan Sultan Zainal Abidin dekat sini.
Dr Yusof Noor dalam ucapan perasmiannya berkata, PERKIM adalah satu warisan yang telah ditubuhkan pada tahun 1960 diasaskan oleh Perdana Menteri pertama, YTM Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Katanya kini, PERKIM menjadi aset di negara ini kerana ia merupakan jentera yang boleh memberikan kesejahteraan kepada anggota warga Malaysia sekali gus memajukan pembangunan keluarga Malaysia.
Malaysia terdiri daripada penduduk berlatarkan pelbagai kaum dan oleh kerana PERKIM merupakan pertubuhan yang menumpukan perhatian kepada kehidupan keluarga berbilang bangsa yang harmoni di kalangan penganut agama Islam.
Jelas Dr Yusof Noor, sudah tentu PERKIM dapat diterima dengan baik oleh penganut Islam tanpa mengira kaum dan tentulah ia lebih berkesan daripada badan-badan yang lain yang tidak memberi fokus kepada kepelbagaian kaum.
Tambah beliau, perbezaan di antara PERKIM dengan badan-badan dakwah yang lain di Malaysia ini ialah badan dakwah lain tidak memfokuskan kepada pembangunan, warga atau keluarga pelbagai kaum, tetapi PERKIM pada asal lagi terdiri daripada warga Malaysia yang kerja di pelbagai sektor dan mereka merupakan penganut agama Islam berasal dari keturunan yang lain.
“Kalau kita mengatakan bahawa Malaysia adalah sebuah masyarakat yang hidup dalam keadaan harmoni, maka sebenarnya itulah terdapat di dalam semangat penubuhan PERKIM iaitu penganut yang berlatar belakangkan bangsa yang berlainan tetapi mereka dapat hidup sejahtera dalam keluarga masing-masing dengan menghayati semangat PERKIM kerana itulah yang hendak dicapai oleh agama kita yang suci ini.
“Saya harapkan kalau PERKIM boleh diterima baik oleh semua pihak, saya yakin dan percaya kerajaan Malaysia akan menggunakan PERKIM sebagai satu kaedah yang dapat memajukan Keluarga Malaysia yang diuar-uarkan oleh kerajaan pada hari ini,” kata Dr Yusof Noor.
Tambah beliau, KOPTER merupakan sebuah koperasi badan bukan kerajaan di bawah PERKIM Bahagian Negeri Terengganu yang bertanggungjawab menerajui pembangunan dan pertumbuhan ekonomi.
Seramai 100 saudara baharu akan memulakan kursus keusahawanan anjuran PERKIM pada Mac tahun depan.
Buat permulaan, ke semua mereka akan menjalani latihan itu di Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP) di Kelantan.
“Usaha ini memerlukan kerjasama erat dengan pakar-pakar yang berkaitan keusahawanan untuk mencadangkan bentuk latihan sesuai buat mereka berdasarkan minat dan kemahiran yang sesuai.
“Kita juga sedang berusaha untuk menjalin kerjasama dengan Kolej Komuniti atau Pusat Giat MARA untuk menawarkan latihan keusahawanan yang sesuai seperti bidang pembuatan roti, kek dan pastri atau pertukangan.
“Projek perintis ini akan dimulakan di bandar-bandar besar dahulu dan PERKIM sendiri akan membantu mereka untuk menjadi usahawan sebaik sahaja tamat latihan tersebut.
Menurutnya, latihan keusahawanan itu adalah antara inisiatif PERKIM agar saudara baharu dapat memulakan perniagaan sendiri sekali gus membuang imej kemiskinan yang sering dikaitkan dengan mereka sebaik sahaja keluar dari agama asal untuk memeluk Islam.
Mengulas lanjut, beliau berkata koperasi milik PERKIM itu bertujuan mewujudkan komuniti perniagaan yang boleh dipercayai berlandaskan prinsip Islam demi kesejahteraan ummah.
“Koperasi dapat menggalakkan aktiviti komersial, mewujudkan peluang pekerjaan di samping membantu menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kerjasama antara sektor kerajaan dengan sektor swasta serta masyarakat.
“PERKIM Terengganu juga bersedia untuk menawarkan perkhidmatan yang baik dan produk berkualiti melalui koperasi ini antaranya pelancongan, bidang pertanian dan industri asas tani melibatkan usahawan kecil dan sederhana (IKS),” katanya.
Dr Yusof Noor berharap KOPTER akan menjadi pemacu gerakan dalam memartabatkan kepentingan ummah.
Turut hadir Naib Yang Dipertua PERKIM Kebangsaan merangkap Pengerusi PERKIM Negeri Terengganu, YBhg Prof Dr Ramle Abdullah; Pengerusi KOPTER, YBhg Dato’ Haji Mohd Jafri Abd Razak dan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Terengganu, YBhg Tuan Haji Awang Rusli Mohammad.
Turut diadakan Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama di antara KOPTER dengan Koperasi Kayu Kelat Juara Jerteh Berhad (KKKJJ) bagi usahasama bidang pelancongan agro.
Majlis tandangan perjanjian kerjasama tersebut disaksikan oleh lebih 60 orang di antara Pengerusi KOPTER, Jafri Abd Razak dan Pengerusi KKKJJ, Yusof Bidi.
Selain itu, Pengarah Eksekutif AMWAJ Travel and Tours, YBhg Dato’ Zaidi Zainal menandatangni perjanjian kerjasama dengan KOPTER bagi bidang pelancongan khas bagi pakej haji, umrah dan pelancongan Islam.
Manakala Aweena Mohd Arshad selaku Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Ekonomi Padang Besar (YEPB) turut menandatangani perjanjian kerjasama dengan KOPTER bagi bidang telekomunikasi, multimedia dan kerjaya belia.
Dr Yusof Noor menandatangani plak perasmian pejabat baharu KOPTER PERKIM Centre di Kg Ladang Tok Pelam, Kuala Terengganu.
Plak perasmian KOPTER PERKIM Centre
Dr Yusof Noor menyampaikan ucapan perasmiannya di majlis tersebut.
Dr Ramle turut menyampaikan ucapan selaku Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Terengganu.
Pengerusi KOPTER, YBhg Dato’ Haji Mohd Jafri Abd Razak berucap di majlis tersebut.
Pengarah Eksekutif AMWAJ, Dato’ Zaidi (dua dari kiri) bersalaman bersama Dato’ Mohd Jafri selepas menandatangani perjanjian kerjasama.
Aweena Mohd Arshad (dua dari kiri) selaku Ketua Pegawai Eksekutif YEPB menandatangani perjanjian kerjasama dengan KOPTER.
Perjanjian kerjasama di antara YEPB dan KOPTER.
Pengerusi KKKJJ, Yusof Bidi menurunkan tandatangan perjanjian kerjasama dengan KOPTER.
Kepimpinan PERKIM Kebangsaan, PERKIM Terengganu dan KOPTER.
Berganding bahu dan kerjasama antara pimpinan PERKIM Terengganu dengan KOPTER.