Aktiviti Dakwah

Setiausaha Agung Kehormat PERKIM Beri Anugerah Pelajar Cemerlang KPIPK 2021

oleh: SRZ

KUALA LUMPUR, 10 OKTOBER 2022 – Bagi menghargai kejayaan dan kecemerlangan pelajar kelas pengajian Islam, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan menganjurkan Majlis Penganugerahan Pelajar Cemerlang Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan (KPIPK) 2021 bertempat di Dewan Al-‘Ilm, Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM – Kuala Lumpur (IDIP-KL), Jalan Sultan Azlan Shah pagi tadi.

Majlis dimulakan dengan persembahan Nasyid PERKIM Kebangsaan memimpin Lagu Negaraku, PERKIM Pacu Kemajuan dan Selawat ‘Thola Al Badru Alaina‘.

Pegawai Unit Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan PERKIM Kebangsaan, Muhammad Jais Mariappan Abdullah mengetuai majlis bacaan doa.

Majlis diserikan lagi dengan Amanat Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.


Dr Yusof Noor dalam amanatnya berkata, berkemungkinan terdapat di kalangan pelajar belum begitu mahir dalam memahami Bahasa Melayu yang diajar dan lebih gemar berkomunikasi dengan bahasa ibunda mereka sendiri.

Katanya, KPIPK akan meneliti sejauh mana keberkesanan pelajar di kalangan saudara baru mahir dalam mendengar dan bertutur sekali gus memahami Bahasa Kebangsaan.

“Majlis itu diadakan untuk memberi penghargaan kepada pelajar yang baik, terbaik dan cemerlang di dalam peperiksaan KPIPK tahun lalu serta penghargaan kepada tenaga pengajar,” jelas beliau.

“PERKIM adalah pertubuhan yang dekat dengan saudara baru bagi memberi kefahaman tentang agama Islam.

“PERKIM juga sebuah pertubuhan yang telah berusia lebih 60 tahun, maka sebab itu eloklah kita daripada semasa ke semasa mencari jalan kerana pada masa ini mereka yang menganut agama Islam bukan sahaja orang Melayu tetapi mempunyai latar belakang yang berbeza daripada segi keturunan, budaya dan bahasa.

Mengulas lanjut, satu tinjauan atau kaji selidik akan dibuat bagi memperbaiki keadaan itu supaya maksud PERKIM ini tercapai.

Tambah Dr Yusof Noor lagi, Islam yang kita anuti bukanlah agama yang direka tetapi ianya datang setelah peristiwa Al-Quran diturunkan oleh Pencipta kita kepada Nabi Muhammad SAW melalui malaikat Jibril AS.

“Peristiwa tersebut menjadi pertikaian oleh musuh Islam dengan mengatakan bahawa tidak ada sesiapa yang menyampaikan Al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW.

“Al-Quran yang diturunkan sehingga ke tahun 1444H itu menggunakan bahasa, perkataan dan ayat yang sama dan tidak pernah berubah atau ditambah,” kata beliau.

Al-Quran dipelihara kesuciannya oleh Allah SWT seperti mana dibuktikan di dalam firmanNya di dalam Surah Al-Hijr, ayat 9 bermaksud: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-zikr (Al-Quran), dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya”.

“Di dalam dunia ini ada atau tidak satu buku yang berusia lebih daripada seribu tahun yang mempunyai isi kandungan dan perkataan yang sama? Kata beliau sambil menyoal kepada pelajar.

Jawabnya, sudah tentu tidak kerana setiap buku tertentu akan ditokok tambah bahasa dan isi kandungannya.

Katanya, kitab suci adalah kitab yang asli menggunakan bahasa asal diturunkan oleh Allah SWT melalui malaikat Jibril kepada nabi-nabiNya iaitu kitab Zabur kepada Nabi Daud, kitab Taurat kepada Nabi Musa, kitab Injil kepada Nabi Isa dan Kitab Al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW.

“Al-Quran merupakan satu mukjizat kalimah asal daripada Allah SWT wahyukan kepada Nabi Muhammad SAW yang berusia lebih daripada 1,000 tahun yang mengandungi bahasa, perkataan dan isi kandungan yang sama.

“Walaupun Nabi Muhammad sudah wafat, tetapi mukjizat Al-Qurannya masih kekal sehingga ke hari ini hinggalah ke hari kiamat,” ujar Dr Yusof Noor.

“Kita bersyukur kehadrat Allah SWT kerana mengurniakan agama yang sebenar iaitu agama Islam kepada kita dan Kitab Al-Quran menjadi pedoman serta panduan kepada kita walau di mana negara kita berada.

“Kita berusaha untuk memahami Al-Quran dengan lebih mendalam dari semasa ke semasa.

“Tetapi ada pihak yang mendakwa manusia berasal daripada monyet. Jika monyet akan berubah menjadi manusia, manusia akan berubah menjadi apa dan tuduhan manusia berasal menjadi monyet adalah tidak benar dan sama sekali ditolak,” ulas Dr Yusof Noor.

Kejadian manusia dirakamkan Allah SWT di dalam surah Az-Zumar, ayat 6; “Dia menjadikan kamu di dalam rahim ibu mu kejadian demi kejadian dalam tiga kegelapan.”

Beliau turut memetik firman Allah SWT di dalam Surah Al-Hujurat ayat 13 bermaksud: “Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal.”

Dr Yusof Noor turut memaklumkan bahawa umat Islam baru sahaja meraikan sambutan Maulidur Rasul SAW pada 12 Rabiul Awal di seluruh negara.

“Al-Quran merupakan kitab suci yang diturunkan daripada Allah melalui malaikat Jibril AS kepada Nabi Muhammad SAW yang menjadi panduan umat manusia.

“Tidak salah kita meraikan hari kelahiran Nabi Muhammad SAW dengan berselawat, nasyid bagi memperingati Baginda seperti mana kita menyambut hari lahir orang yang kita sayangi,” katanya.

Dr Yusof Noor mengajak hadirin memperbanyakkan selawat kepada Nabi Muhammad SAW kerana ia merupakan satu kemuliaan dan Allah SWT dan para malaikat juga turut berselawat kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Beliau juga mengajak hadirin berselawat dengan bacaan Allahumma Solli ‘Ala Sayyidina Muhammad kerana sesungguhnya Allah dan juga para malaikatNya juga berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

Tambahnya, Allah berselawat bermaksud Allah SWT merahmati Nabi Muhammad SAW manakala malaikat berselawat bermaksud malaikat memohon pengampunan khusus kepada Nabi Muhammad SAW walaupun Baginda seorang yang maksum dan kita berselawat bermaksud kita bermohon kepada Allah supaya mengurniakan rahmat kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Berselawatlah kepada Nabi Muhammad SAW kerana dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Barangsiapa yang berselawat kepada aku sekali, maka Allah akan berselawat kepadanya sepuluh kali.” (Hadis Riwayat Muslim)

Dr Yusof Noor diiringi Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun; Setiausaha Kerja (Pentadbiran dan Program), YBhg Tuan Haji Mamat Che Chik menyampaikan Anugerah Yang Dipertua PERKIM kepada Ros Annurleeana Chong Abdullah manakala Muhammad Firdaus Andi Abdullah pula merangkul Anugerah Setiausaha Agung Kehormat PERKIM.

Beliau turut menyampaikan Anugerah Pelajar Cemerlang Tahap Pra Asas, Asas, Pertengahan, Lanjutan dan Tahsin kepada pelajar KPIPK.

Selain itu, Dr Yusof Noor turut menyampaikan Aktiviti Cemerlang kepada pelajar KPIPK yang cemerlang di dalam kategori tilawah Al-Quran, hafazan, laungan azan dan pengetahuan Islam.

Bagi Anugerah Guru Cemerlang pula diraih oleh Muhammad Farhan Tee Abdullah bagi tahap asas, YBhg Haji Amran Anbarasu Abdullah bagi tahap pertengahan, Muhammad Jais Mariappan Abdullah bagi tahap lanjutan dan tahap tahsin dianugerahkan kepada Siti Munirah Sayed Mohd Hamdan.

Majlis berakhir dengan bacaan Al-Quran dari Johan Tilawah Al-Quran kategori Saudara Muslim, Nur Aliya Pingo.

Turut hadir ialah Pengarah Unit Aset dan Pembangunan PERKIM, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa; Pengarah IDIP-KL, Dr Suariza @ Hidayah Muhammad serta Pegawai Hal Ehwal Islam Bahagian Pembangunan Insan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Umie Zaitun Junoh bagi mewakili Timbalan Pegawai Eksekutif MAIWP.


Antara tetamu kehormat yang hadir bersama guru dan pelajar di Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang KPIPK 2021.


Jais Mariappan memimpin bacaan doa pembuka majlis.


Hadirin mengaminkan doa yang dibacakan.


Dr Yusof Noor berpesan menghargai jasa dan pengorbanan Nabi Muhammad SAW di dalam amanatnya.


Antara pelajar KPIPK lelaki yang hadir di majlis penganugerahan tersebut.


Pelajar mendengar amanat yang disampaikan oleh Setiausaha Agung Kehormat PERKIM.


Muhammad Firdaus Andi Abdullah menerima Anugerah Setiausaha Agung Kehormat PERKIM.


Dr Yusof Noor menyampaikan Anugerah Yang Dipertua PERKIM kepada Ros Annurleeana Chong Abdullah.


Guru Cemerlang Tahap Pra Asas KPIPK disandang oleh Muhammad Farhan Tee Abdullah.


Amran Anbarasu Abdullah dinobatkan sebagai Guru Cemerlang Tahap Pertengahan KPIPK.


Guru Cemerlang Tahap Lanjutan KPIPK dianugerahkan kepada Muhammad Jais Mariappan Abdullah.


Siti Munirah Sayed Mohd Hamdan meraih Anugerah Guru Cemerlang Tahap Tahsin.


Dr Yusof Noor menyampaikan anugerah kepada johan Pertandingan Membaca Al-Quran kategori Saudara Muslim kepada Nur Alya Pingo.


Darma Sari Andayani pula dinobatkan Johan Pertandingan Membaca Al-Quran kategori Muslim.


Johan Pertandingan Pengetahuan Islam disandang oleh Muhammad Amin Sim Abdullah.


Muhammad Awsam Sadial Abdullah mewakili Adnan Lee Chong Fatt Abdullah bagi Johan Pertandingan Laungan Azan


Johan Pertandingan Hafazan Al-Quran diterima oleh Erna Uluk Abdullah.


Anugerah Pelajar Cemerlang Tahap Pra Asas diterima oleh Syam Syafika mewakili Salina Wong Abdullah.


Nurul Husna Renadeth Martinez menerima Anugerah Pelajar Cemerlang Tahap Asas KPIPK daripada Dr Yusof Noor.


Anugerah Pelajar Cemerlang Tahap Pertengahan KPIPK disandang oleh Siti Nurmaisarah Abdullah.


Nur Alya Pingo dianugerahkan Pelajar Cemerlang Tahap Lanjutan KPIPK oleh Dr Yusof Noor.


Pelajar Cemerlang Tahap Tahsin KPIPK dianugerahkan oleh Muhammad Firdaus Andi Abdullah.


Nur Aliya Pingo selaku johan Tilawah Al-Quran kategori Saudara Muslim menyampaikan bacaannya kepada hadirin.

Related Articles

Back to top button