Aktiviti Wanita PERKIM

Tunku Noor Hayati Pengerusikan Mesyuarat Agung Wanita PERKIM Ke-44

KANGAR, 5 MEI 2024Ketua Wanita Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan, YTM Tunku Puan Sri Dato’ Hajah Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj telah mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan Wanita PERKIM Kebangsaan kali ke-44 bertempat di Hotel Seri Malaysia Kangar pada pagi Ahad.

Persidangan mesyuarat itu dihadiri seramai 163 Wanita PERKIM terdiri daripada ahli majlis, perwakilan dan pemerhati dari seluruh negeri.

Mesyuarat dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran Surah Al-‘Alaq disampaikan oleh Pembantu Hal Ehwal Islam JAIPs, Ustazah Ku Suhailah Ku Ahmad disusuli bacaan doa disampaikan oleh Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs), Ustaz Muhammad Faris Shaharuddin.


Tunku Noor Hayati dalam ucapan aluannya mengucapkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat Allah SWT kerana dengan rahmat-Nya dapat berhimpun di persidangan mesyuarat agung demi tanggungjawab dalam mengerakkan usaha dan kerja dakwah.

Beliau juga mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin kepada pada semua delegasi serta berharap segala amal ibadah sepanjang bulan Ramadan yang lalu diterima Allah SWT.

Beliau dalam ucapannya berkata, sehingga Mei 2024, seluruh Wanita PERKIM Bahagian telah selesai melaksanakan Seminar Pembangunan Wanita Mualaf di mana melalui seminar tersebut, banyak kes-kes terpencil yang telah diluahkan oleh para peserta.

“Salah satu seminar yang telah saya hadiri di Pulau Pinang di mana terdapat satu kes, seorang peserta warganegara Indonesia yang telah bertahun-tahun ditinggalkan oleh suaminya dan beliau tidak dibenarkan berjumpa dengan anaknya serta tidak tahu keadaan terkini suami dan anaknya.

“Beliau sering kali ke pejabat agama Islam negeri untuk memohon bernikah dengan suami baru, namun tidak dilayan oleh kerana maklumat dan status terkini beliau tidak jelas.

“Melalui seminar tersebut, wakil jabatan agama Islam yang hadir dapat mengetahui realiti sebenar mengenai permasalahan peserta,” ujar Tunku Noor Hayati.

Antara penceramah yang hadir dari pelbagai agensi iaitu Peguam Syarie, Agensi Kewangan dan Pengurusan Kredit (AKPK), Jabatan Pembangunan Wanita, Kaunselor Berdaftar, Lembaga Zakat dan Majlis Bandaraya Negeri.

Selain itu, agensi-agensi tersebut turut memberikan sokongan dan kerjasama yang baik kepada Wanita PERKIM apabila mereka sendiri secara terbuka untuk berunding dan membantu secara terus bagi memudahkan mualaf wanita mendapatkan bantuan mengikut kepakaran mereka.

Menerusi respon yang baik daripada peserta seminar, ia akan diadakan lebih kerap lagi di setiap negeri.

Tambahnya, Wanita PERKIM Kebangsaan juga telah berjumpa dan berbincang dengan Menteri Agama pada tahun 2022 di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi membincangkan mengenai pelaksanaan Program Meja Bulat kedua di mana program tersebut diadakan dalam skala yang lebih besar.
Program Meja Bulat kedua tersebut diadakan dengan melibatkan mualaf lelaki dengan jumlah peserta yang lebih ramai.

“Bagi menjana pendapatan kepada Wanita PERKIM, kita telah mengambil inisiatif mengeluarkan produk Wanita PERKIM iaitu Kopi Capuccino dan Jus Delima Detoks yang telah dilancarkan dengan rasminya pada tahun lalu pada Mesyuarat Agung Tahunan Wanita PERKIM Kebangsaan kali ke-43 di Melaka.

“Saya berharap Wanita PERKIM di negeri-negeri dapat membantu kami dengan mempromosikan pasaran produk ini dengan lebih luas selain membantu sumber kewangan Wanita PERKIM di negeri-negeri, kita juga boleh memperoleh manfaat melalui khasiat produk tersebut kepada orang ramai,” ulas Tunku Noor Hayati.

Katanya lagi, Wanita PERKIM juga dalam usaha untuk merangka jawatankuasa untuk melaksanakan projek pertanian yang akan dimulakan di Negeri Selangor untuk membantu membangunkan kehidupan mualaf dan sebagai langkah menangani masalah “food security”.

“PERKIM sedang dalam usaha untuk menggalakkan lebih ramai lagi wanita mualaf sebagai Ahli PERKIM terutamanya golongan muda, melalui pelaksanaan seminar wanita mualaf sepanjang tahun 2023, ramai wanita mualaf telah mendaftar menjadi ahli PERKIM dan diharapkan lebih ramai lagi berminat untuk menjadi ahli PERKIM pada masa akan datang.

“Saya juga ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Naib Ketua Wanita 2, YBhg Datin Seri Dato’ Hajah Shamsiah Haji Md. Yassin dan Wanita Perlis kerana sudi menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat Agung pada tahun ini.

“Sesuai dengan slogan “Perlis Damai & Menawan” sempena Tahun Melawat Malaysia 2024, saya yakin hadirin semua berpuas hati dan gembira dengan lawatan ke beberapa tempat menarik seperti Muzium Almarham Kayang, Kampung Warna Warni, Gua Kelam, Bukit Bintang, Rimba Herba, Jambatan Tuanku Syed Putra, Galeri Harumanis, Nyiru Klasik dan lain-lain,” jelasnya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Ahli Majlis Wanita PERKIM Kebangsaan, Hajah Faiza Buwumi Sayed Ahmad di atas penajaan cenderahati jenama Faiza kepada semua ahli perwakilan dan pemerhati serta hamper Faiza kepada tetamu kenamaan.

Tunku Noor Hayati mengakhiri ucapannya dengan memetik firman Allah SWT di dalam Surah Al-Baqarah ayat 177 yang bermaksud: “Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintaiNya kepada kerabatNya, anak-anak yatim orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta dan (memerdekakan) hamba sahaya, mendirikan shalat dan menunaikan zakat dan orang-orang yang menepati janjinya apabila ia berjanji dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar (imannya)dan mereka itu lah orang-orang yang bertakwa”.

Mesyuarat agung tahunan kali ke-44 itu membincangkan beberapa agenda antaranya meluluskan Minit Mesyuarat Agung Tahunan Wanita PERKIM Kebangsaan kali ke-43; menerima Laporan Tahunan Wanita PERKIM Kebangsaan dibentangkan oleh Setiausaha Kehormat, YBhg Dato’ Hajah Maznah Dasmi manakala Bendahari Kehormat, YBhg Dr Nur’azah Dato’ Abdul Manaf pula membentangkan Akaun bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023 serta Anggaran Pendapatan dan Perbelanjaan bagi tahun 2024.

Persidangan turut memilih perwakilan dari setiap negeri untuk ke Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan kali ke-63.

Setiap perwakilan Wanita PERKIM Bahagian negeri-negeri turut menyampaikan ucapan penangguhan dan diakhiri dengan ucapan penggulungan oleh Tunku Noor Hayati.

Mesyuarat ditangguhkan dengan bacaan doa Qunut Nazilah disampaikan oleh Tunku Noor Hayati ditujukan khususnya kepada para mujahidin dan pejuang Islam yang sedang berjuang di Palestin serta bacaan al-Fatihah kepada saudara Muslim kita yang syahid Semenanjung Gaza, Palestin, Yaman, Lubnan dan Syria.

Turut hadir ialah kepimpinan Wanita PERKIM Kebangsaan iaitu  Pengerusi Tetap, Hajah Hasnah Mohamed; Timbalan Pengerusi Tetap, YBhg Datin Hajah Mazlin Darus; Ahli Majlis, YBhg Datin Mawanchik Che Jais, YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad, YBhg Datin Paduka Hajah Norsiah Haji Haron, YBhg Hajah Faiza Bawumi Sayed Ahmad, YBhg Datin Hajah Normala Mohmad Zin, Hajah Norizan Ismail, Ustazah Maizura Shamsuddin, YBhg Dato’ Dr Hajah Munirah Mohd Hassan, YBhg Dato’ Hajah Nurzarina Haji Sepran, Azlifa Md. Idris, Norliza Haji Md. Yamin serta YBhg Datin Hajah Asmah Md. Rashid.


Sesi pendaftaran ahli majlis, perwakilan dan pemerhati untuk menghadiri mesyuarat agung.


Urus setia sedang mengisi borang salah seorang perwakilan menggunakan imbasan kod QR.


Ahli Majlis Wanita PERKIM Kebangsaan menyanyikan lagu ‘Wanita PERKIM’ setelah mesyuarat bermula.


Farhan Tee selaku pengacara majlis bagi mesyuarat agung Wanita PERKIM ke-44.


Ustazah Ku Suhailah Ku Ahmad menyampaikan bacaan ayat suci al-Quran Surah Al-‘Alaq beserta terjemahan dan penerangan.


Delegasi Wanita PERKIM mendengar penerangan Surah Al-‘Alaq yang disampaikan Pembantu Hal Ehwal Islam JAIPs, Ustazah Ku Suhailah Ku Ahmad.


Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs), Ustaz Muhammad Faris Shaharuddin membaca doa pembuka majlis.


Wanita PERKIM menadah tangan ketika doa dibacakan.


Ahli Majlis Wanita PERKIM mengaminkan doa yang dibacakan oleh Pegawai JAIPs.


Pengerusi Tetap, Hajah Hasnah Mohamed (dua dari kiri) membuka tirai mesyuarat agung dengan ucapannya.


Tunku Noor Hayati selaku Ketua Wanita PERKIM Kebangsaan menyampaikan ucapan aluan.


Menurut Tunku Noor Hayati, seluruh Wanita PERKIM Bahagian telah selesai dan berjaya melaksanakan Seminar Pembangunan Wanita Mualaf.


Perwakilan Wanita PERKIM Negeri Selangor mendengar ucapan yang disampaikan.


Antara Perwakilan Wanita PERKIM Perak yang hadir di mesyuarat tersebut.


Perwakilan Wanita PERKIM Melaka di mesyuarat agung Wanita PERKIM ke-44 diadakan di Perlis.


Perwakilan Wanita PERKIM Sarawak diterbangkan dari Borneo demi menjayakan mesyuarat agung ke-44.


Wanita PERKIM Bahagian Negeri Terengganu mengikuti persidangan mesyuarat agung ke-44.


Wanita PERKIM Negeri Sembilan yang hadir di mesyuarat tersebut.


Antara wajah-wajah pemerhati Wanita PERKIM dari seluruh Malaysia mendengar ucapan dan perbahasan yang disampaikan.


Persidangan Mesyuarat Agung Tahunan Wanita PERKIM Kebangsaan kali ke-44 diadakan di Perlis.


Setiausaha Kehormat Wanita PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Hajah Maznah Dasmi membentangkan laporan Wanita PERKIM.


Perwakilan Wanita PERKIM Wilayah Persekutuan bersetuju dengan laporan yang dibentangkan.


Bendahari Kehormat Wanita PERKIM Kebangsaan, YBhg Dr Nur’azah Dato’ Abdul Manaf membentangkan Akaun bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023.


Perwakilan Wanita PERKIM Negeri Sembilan mencadangkan untuk menerima laporan yang dibentangkan.


Perwakilan Wanita PERKIM Negeri Perlis menyampaikan ucapan penangguhan.


Ucapan penangguhan dari Perwakilan Wanita PERKIM Negeri Melaka.


Dato’ Seri Hajah Rohani Abdul Karim selaku Perwakilan Wanita PERKIM Sarawak menyampaikan ucapan penangguhan.


Perwakilan Wanita PERKIM Johor turut menyampaikan nasihatnya dalam ucapan penangguhan.


Ahli Majlis Wanita PERKIM mendengar ucapan penangguhan yang disampaikan oleh perwakilan.


Pengerusi Wanita PERKIM Negeri Kelantan, YBhg Datin Panglima Perang Kelantan Hajah Wan Nor Hanita Wan Yaacob menyatakan hasrat dan pandangannya ketika menyampaikan ucapan penangguhan.


Ahli Majlis, Azlifa Md. Idris turut menyampaikan ucapan penangguhan.


Para hadirin mendengar ucapan penangguhan yang disampaikan.


Ahli Majlis, YBhg Dato’ Hajah Nurzarina Haji Sepran turut membuat ucapan penangguhan.


Ucapan penggulungan oleh Ketua Wanita PERKIM, YTM Tunku Puan Sri Dato’ Hajah Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj.


Tunku Noor Hayati menyampaikan bacaan doa Qunut Nazilah diakhir mesyuarat.


Wanita PERKIM menadah tangan dan mengaminkan doa yang dipanjatkan.


Naib Ketua Wanita 2, YBhg Datin Seri Dato’ Hajah Shamsiah Haji Md Yassin menyampaikan cenderamata kepada Tunku Noor Hayati.


Ahli Majlis, YBhg Hajah Faiza Bawumi Sayed Ahmad menyampaikan cenderamata hamper jenama Faiza kepada Tunku Noor Hayati.


Ahli Majlis Wanita PERKIM Kebangsaan sesi 2023 – 2025 menangguhkan mesyuarat agung tahunannya.

Related Articles

Back to top button