Berita PERKIM Bahagian & Cawangan

PERKIM Terengganu Anjur Program Wacana Remaja Islam Super (WARIS) 2023

PERKIM Terengganu telah menganjurkan sebuah Program Wacana Remaja Islam Super (WARIS) kepada pelajar Tingkatan Enam Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Lela Segara (SMKTLS) Marang pagi tadi.

Program yang diadakan di Surau Al-Muttaqim SMKTLS dimulai dengan perkongsian info berkenaan PERKIM dan juga tayangan video menceritakan latar belakang dan aktiviti PERKIM.

Selanjutnya, program diteruskan lagi dengan wacana yang disampaikan oleh Tuan Haji Abd Ghafar Mamat, Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan Komuniti) Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) merangkap Setiausaha Kehormat PERKIM Terengganu bertajuk “Remaja dan Permasalahan”.

Wacana ini bertujuan membahas isu-isu yang melibatkan remaja Islam serta mencari jalan penyelesaian yang terbaik.

Turut ditayangkan beberapa klip video era pemerintahan Islam yang menunjukkan Islam dan remaja Islam pada ketika dahulu ditakuti dan digeruni oleh musuh Islam.

Para pelajar juga diberi peluang untuk berkongsi dan memberikan pendapat berdasarkan soalan yang diajukan penceramah.

Tuan Haji Abd Ghafar Mamat juga turut mengemukakan beberapa cadangan. Beliau menggalakkan remaja Islam melibatkan diri dalam khidmat masyarakat dan menghayati semangat kesukarelawan bagi meningkatkan kualiti hidup khususnya dalam bermasyarakat.

Jutaan terima kasih diucapkan kepada pihak SMK Tengku Lela Segara kerana sudi menerima kunjungan kami. InshaAllah, program ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang.

Related Articles

Back to top button