Berita PERKIM Bahagian & Cawangan

PERKIM Sarawak bina masyarakat melalui tiga teras utama

Melalui pendidikan, dakwah, kebajikan, bina masyarakat berilmu, berakhlak, hidup harmoni dengan masyarakat lain

SIBU, 26 JANUARI 2025 : Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Sarawak akan terus melangkah ke hadapan untuk menyediakan latihan, dialog dan pendedahan melalui lawatan supaya masyarakat Islam Sarawak terus mempelajari dan mempertingkatkan ilmu mereka dalam semua bidang pengajian Islam.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, melalui tiga teras utama iaitu pendidikan, dakwah dan kebajikan, PERKIM Sarawak akan terus berusaha membina masyarakat Islam Sarawak yang kaya dengan ilmu pengetahuan, mempunyai akhlak yang baik serta hidup harmoni dengan masyarakat lain.

“PERKIM juga akan terus membantu masyarakat Islam Sarawak supaya berdikari dari segi ekonomi dan sosial serta dapat membantu memperkasa masyarakat Islam lain yang terpinggir dan kurang mampu.

“Semoga PERKIM Sarawak terus kekal relevan serta memberi impak yang besar dalam memajukan masyarakat Islam Sarawak,” ujarnya pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung PERKIM Cawangan Dalat /Oya di Kompleks Kebajikan Dalat, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat itu memberitahu, PERKIM telah berjaya menjadi organisasi yang kukuh melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan.

“Antaranya ialah program dakwah yang menyentuh hati dan minda, bantuan kebajikan yang memberi sinar harapan, pembangunan pendidikan yang melahirkan generasi cemerlang dan aktiviti komuniti yang mengukuhkan silaturahim,” katanya.

Beliau berkata, untuk memastikan PERKIM kekal relevan, beberapa langkah perlu diambil seperti pemerkasaan golongan muda agar kesinambungan perjuangan dapat diteruskan.

“Memanfaatkan media digital untuk menyampaikan dakwah dan maklumat, mengukuhkan hubungan dengan pihak luar untuk memperluas jaringan dan memberi peluang kepada ahli meningkatkan kemahiran melalui program latihan,” jelasnya.

Fatimah berkata, PERKIM juga akan terus membantu masyarakat Islam Sarawak berdikari dari segi ekonomi dan sosial serta dapat membantu memperkasa masyarakat Islam lain yang terpinggir dan kurang mampu.

“Semoga PERKIM Sarawak terus kekal relevan serta memberi impak yang besar dalam memajukan masyarakat Islam Sarawak,” ujarnya.

Turut hadir Setiausaha Politik Premier Sarawak dan Penyelaras PERKIM Cawangan Dalat/Oya Fridah Osman Adenan, Pegawai Daerah Dalat Mathew Hubert dan Pengerusi PERKIM Cawangan Dalat/Oya Kaunselor Fatimah Rambli.


Fatimah merakam kenangan bersama ahli-ahli PERKIM pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung PERKIM Cawangan Dalat/Oya di Kompleks Kebajikan Dalat, hari ini.

SUMBER: UTUSAN BORNEO

Related Articles

Back to top button