MB harap IDIP PERKIM terus kembang syiar Islam
KOTA BHARU, 8 JANUARI 2025 : Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud hari ini menerima kunjungan Pengarah Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP), Prof Dr Ramle Abdullah.
Dalam satu hantaran di Facebook rasminya hari ini beliau menghargai peranan dimainkan IDIP yang memberi tumpuan khusus pendidikan Islam kepada saudara baru atau mualaf.
Malah bukan itu sahaja katanya, institusi di bawah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) turut melahirkan pendakwah berketerampilan dari golongan tersebut sejak empat dekad lalu.
“IDIP memainkan peranan strategik sebagai satu-satu institusi terbiah di Malaysia yang memberi fokus khusus kepada pendidikan Islam untuk saudara baharu serta melahirkan pendakwah.
“Selain memberi bimbingan agama, IDIP turut melengkapkan mereka dengan kemahiran hidup yang holistik bagi memastikan mereka mampu berdikari dan menyumbang kepada masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti itu turut menyampaikan sedikit sumbangan sebagai tanda sokongan kerajaan negeri terhadap usaha yang dijalankan IDIP.
Beliau berkata, menjadi komitmen kerajaan negeri melalui dasar Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) menyokong sepenuhnya kerja dakwah dan tarbiah dalam masyarakat hari ini.
Menurutnya, beliau menaruh harapan kepada institusi tersebut supaya dapat memperkukuhkan lagi usaha itu bagi melahirkan lebih ramai pendakwah serta mengembangkan syiar Islam di rantau ini.
“Sokongan ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkasakan institusi dakwah yang menjadi tunjang kepada usaha pembentukan ummah Rabbani.
“Adalah menjadi harapan agar sumbangan ini dapat memperkukuh keupayaan untuk terus melahirkan generasi pendakwah yang cemerlang, sekali gus memperhebat penyebaran syiar Islam,” katanya.