Berita PERKIM Bahagian & Cawangan

PERKIM Kelantan Santuni Orang Asli Pos Pulat

oleh: WAN ZUBAIDAH WAN YUSOF

GUA MUSANG, 21 OKTOBER 2022 – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Bahagian Negeri Kelantan telah menganjurkan Program Ziarah Kasih Masyarakat Orang Asli Pos Pulat dekat sini.

Program tersebut mendapat kerjasama Persatuan Infaq Maktab Sultan Ismail (SIC) Kota Bharu dan Maktab Sultan Ismail (SIC) Kota Bharu.

Program tersebut disertai seramai 16  orang dan diketuai oleh Setiausaha Kehormat PERKIM Bahagian Negeri Kelantan, Tuan Haji Mohd Nazir Che Ibrahim manakala Tuan Haji Zulkifli Yusof pula mengetuai Persatuan Infaq SIC.

Perjalanan rombongan dari Kota Bharu ke Pos Pulat memakan masa selama lebih empat jam dan rombongan singgah ke Sekolah Kebangsaan Paloh 3 Gua Musang untuk memberikan sebanyak sumbangan 50  naskah al-Quran, 50 buah rehal serta 50 pasang telekung kepada murid-murid sekolah.

Infak tersebut merupakan sumbangan daripada PERKIM Bahagian Negeri Kelantan yang disampaikan oleh setiausahanya, Nazir Che Ibrahim.

Setibanya di Pos Pulat, rombongan ziarah disambut oleh Mualim Pos Pulat, Ustaz Basri Abdullah bersama masyarakat kampung.

Kampung tersebut merupakan kampung angkat PERKIM Bahagian Negeri Kelantan.

Basri merupakan bekas pelajar Insitut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP),  Pengkalan Chepa Kota Bharu Kelantan.

Kehadiran rombongan PERKIM membuatkan Basri berasa gembira dan terharu kerana selama 11 tahun lamanya beliau menunggu kehadiran rombongan PERKIM Kelantan untuk berkunjung ke kampungnya tercapai juga.

Kini, Basri menghidap penyakit lumpuh, sungguh pun begitu beliau tetap dan terus menjalankan misi dakwah yang telah diamanahkan oleh Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Pada tahun 1990 hingga 2015, 90 peratus penduduk Orang Asli pada masa itu telah diislamkan oleh Mantan Menteri Besar Kelantan merangkap Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Kelantan, Allahyarham Tuan Guru Dato Bentara Setia, Dato Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sebanyak 80 bakul makanan telah diagihkan kepada 80 buah keluarga Orang Asli dari rumah ke rumah tajaan MAIK.

Selain itu, rombongan berkesempatan bergotong royong mengecat, membersihkan surau dan kawasan persekitarannya.

Turut diadakan sukaneka kepada kanak-kanak kampung serta tazkirah kepada penduduk kampung disampaikan oleh Nazir Che Ibrahim manakala kuliah subuh pula disampaikan oleh Penolong Pegawai Kerja dan Dakwah PERKIM Bahagian Negeri Kelantan, Ustaz Nordin Abdullah.

Saudara Baru Muiz Yahya Abdullah juga merupaakan salah seorang ahli rombongan turut diberi peluang  untuk berkongsi pengalaman penghijrahan Islam beliau kepada orang Kampung Pos Pulat.

Saudara Muiz juga menyampaikan cara berdakwah kepada non-Muslim dengan kaedah ASARA- PK (kaedah mudah sampaikan Islam).

Di sebelah petang, rombongan bertolak pulang dengan doa dan harapan Pos Pulat akan terus diziarahi demi agama dan ukhuwah sesama Islam.

PERKIM Bahagian Negeri Kelantan turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung di dalam program tersebut serta berharap semoga Allah memberkati dan merahmati amal bakti kita untuk agama Islam yang dicintai.


Rombongan ziarah singgah sebentar di SK Paloh Tiga.


Rombongan ziarah menyampaikan sumbangan sebanyak 50 naskah al-Quran, rehal dan telekung.


Rombongan ziarah menulis butir-butir dan menandatangani buku pelawat.


Al-Quran yang disumbangkan kepada SK Paloh 3.


Rombongan ziarah bergambar di hadapan Sekolah Kebangsaan Pulat, Gua Musang.


Setibanya rombongan ziarah di dewan Masyarakat Orang Asli Pos Pulat, Gua Musang.


Rombongan menyampaikan bakul makanan tajaan MAIK kepada masyarakat Pos Pulai.


Nazir (tengah) menyampaikan sumbangan bakul makanan tajaan MAIK kepada penduduk kampung.


Setiausaha Kehormat PERKIM Kelantan bersama ahli rombongan menziarahi penduduk kampung.


Ahli rombongan bersama masyarakat kampung di dalam dewan.


Makanan turut diagihkan kepada penduduk kampung.


Nazir Che Ibrahim menyampaikan hadiah kepada pemenang sukaneka.


Nazir Che Ibrahim mempimpin solat berjemaah bersama ahli rombongan dan penduduk kampung.


Mengecat surau merupakan salah satu aktiviti program ziarah.


Surau dan kawasan persekitarannya turut dibersihkan oleh ahli rombongan bersama penduduk kampung.

Related Articles

Back to top button