Aktiviti Wanita PERKIMBerita PERKIM Bahagian & Cawangan

Wanita PERKIM Kelantan Anjur Sambutan Maulidur Rasul

oleh: WAN ZUBAIDAH WAN YUSOF

KOTA BHARU, 25 OKTOBER 2022 – Seramai lebih 100 wanita menghadiri Majlis Sambutan Maulidur Rasul anjuran Wanita Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Negeri Kelantan bertempat di Masjid Khadijah, Kampung Surau Kota di sini.

Sambutan tersebut mendapat kerjasama Ahli Jawatankuasa Masjid Khadijah, Kampung Surau Kota.

Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pendidikan PERKIM Bahagian Negeri Kelantan merangkap Timbalan Pengerusi PERKIM Cawangan Wanita Negeri Kelantan, Puan Hajah Siti Aisyah Haji Abdul Rahman menyampaikan ucapan pembuka tirai di majlis tersebut.

Hajah Siti Aisyah dalam ucapannya melahirkan rasa syukur kerana dapat berkumpul bersama-sama dalam majlis tersebut.

Beliau berasa bangga dan teruja walaupun masing-masing dalam kesibukan urusan peribadi, tetapi masih dapat bersama-sama mengimarahkan majlis itu.

Hajah Siti Aisyah menyeru agar wanita terus berbakti kepada masyarakat terutamanya dalam menyebarkan dakwah, walau di mana berada.

Peranan wanita dalam berdakwah adalah amat besar sebagaimana isteri Rasulullah SAW, Siti Khadijah yang sanggup berkorban harta benda demi menyebarkan Islam.

Beliau juga menerangkan aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan oleh Wanita PERKIM Cawangan Negeri Kelantan dalam pendidikan kebajikan dan dakwah.

Hajah Siti Aisyah meluahkan rasa bersyukur dan berterima kasih kepada YABhg Datin Bentara Kanan Hajah Siti Zabidah Ab Hamid kerana sentiasa bersama-sama membantu menjayakan segala aktiviti yang dianjurkan serta mengucapkan terima kasih juga kepada hadirin yang menjayakan sambutan itu.

Ucapan perasmian pula disempurnakan oleh isteri Menteri Besar Negeri Kelantan merangkap Pengerusi Wanita PERKIM Cawangan Negeri Kelantan,YABhg Datin Bentara Kanan Hjh Siti Zabidah Ab Hamid.

Datin Siti Zabidah dalam ucapannya menyampaikan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada ahli jawatankuasa penganjur serta mereka yang terlibat secara langsung atau tidak dalam menjayakan sambutan tersebut.

Beliau turut merakamkan penghargaan terima kasih kepada Tokoh Hijratul Rasul Peringkat Negeri Kelantan 2021, Datuk Hajah Faridah Haji Mat Seman kerana hadir sekali gus mengimarahkan bersama-sama dalam majlis tersebut.

Datin Siti Zabidah mengajak warga PERKIM terutama wanita supaya sentiasa menambahkan ilmu agama Islam dan menjaga sesama kita demi kebaikan bersama.

Dengan lafaz  kalimah Bismillahirrahmaanirrahiim, beliau telah menyempurnakan perasmian Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1444H.

Turut diadakan bacaan ayat-ayat suci al-Quran yang dipimpin oleh Johan Musabaqoh al- Quran Peringkat Kebangsaan, YBhg Datuk Hajah Faridah Haji Mat Seman.

Datuk Hajah Faridah merupakan Johan Musabaqoh al-Quran Kebangsaan dan Antarabangsa sebanyak lapan kali iaitu pada tahun 1964 kemudian beliau menggondol kejuaraan lagi pada tahun 1965, 1972, 1976, 1977, 1989 dan 1990 serta terakhir pada tahun 1991.

Turut diadakan penyampaian cenderahati kepada Datin Siti Zabidah dan Datuk Hajah Faridah disampaikan oleh Hajah Siti Aisyah.

Majlis diakhiri dengan berzanji dan selawat oleh Kumpulan Usratul Faridah yang dipimpin oleh YBhg  Datuk Hajah Faridah Haji Mat Seman.


Peranan wanita dalam berdakwah adalah amat besar sebagaimana isteri Rasulullah SAW, kata Siti Aisyah dalam ucapannya.


Antara wanita yang menyertai sambutan tersebut.


Hajah Siti Aisyah (dua dari kanan) menyampaikan cenderahati kepada Datin Siti Zabidah (dua dari kiri).


Datuk Faridah (dua dari kiri) menerima cenderahati daripada Hajah Siti Aisyah (tengah).


Majlis bacaan ayat suci al-Quran dipimpin oleh kumpulan Usratul Faridah.


Datuk Faridah (tengah) merupakan Johan Musabaqoh Al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa.


Ahli Wanita PERKIM Cawangan Kelantan mendengar kelunakan bacaan al-Quran yang disampaikan.


Ahli PERKIM bersama-sama bergambar kenang-kenangan dengan Tokoh Hijratul Rasul 2021 Peringkat Negeri Kelantan, Datuk Faridah (tengah).


Kumpulan Usratul Faridah mempersembahankan berzanji dan selawat.


Hadirin turut berdiri untuk berselawat kepada Nabi Muhammad SAW.


Ahli Wanita PERKIM Kelantan dan Ahli Jawatankuasa Masjid Khadijah merakamkan gambar kenangan.

Related Articles

Back to top button