Aktiviti Wanita PERKIM

Menteri Besar Kelantan Rasmi Makan Malam Sempena AGM Wanita PERKIM Ke-45

ᵒˡᵉʰ: ˢᴿᶻ

𝐊𝐎𝐓𝐀 𝐁𝐇𝐀𝐑𝐔, 𝟐𝟔 𝐀𝐏𝐑𝐈𝐋 𝟐𝟎𝟐𝟓 – 𝐘𝐀𝐁 𝐃𝐚𝐭𝐨’ 𝐏𝐚𝐧𝐠𝐥𝐢𝐦𝐚 𝐏𝐞𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐔𝐬𝐭𝐚𝐳 𝐃𝐚𝐭𝐨’ 𝐌𝐨𝐡𝐝 𝐍𝐚𝐬𝐬𝐮𝐫𝐮𝐝𝐝𝐢𝐧 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐃𝐚𝐮𝐝, 𝐌𝐞𝐧𝐭𝐞𝐫𝐢 𝐁𝐞𝐬𝐚𝐫 𝐊𝐞𝐥𝐚𝐧𝐭𝐚𝐧 telah menyempurnakan Majlis Makan Malam Sempena Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Wanita Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan Kali Ke-45 pada malam Sabtu.

Seramai lebih 300 tetamu yang hadir terdiri daripada perwakilan dan pemerhati Wanita PERKIM dari seluruh Malaysia berlangsung di Hotel H Elite Design, Tunjong, dekat sini.


YAB Menteri Besar Kelantan dalam ucapan perasmiannya menzahirkan rasa bangga dengan penganjuran mesyuarat agung yang bersidang pada esok hari disifatkan sebagai manifestasi kepada kematangan organisasi Wanita PERKIM sepanjang 45 tahun penubuhannya.

“Usia 45 tahun memberi satu gambaran kepada tahap kematangan seseorang dalam perjalanan kehidupannya.

Begitulah juga perspektif yang boleh saya gambarkan kepada kematangan gerak kerja dakwah dan tadbir urus organisasi Wanita PERKIM,” ujar beliau.

Beliau menambah, semakin bertambah usia, pengalaman yang diperoleh daripada menghadapi pelbagai cabaran menjadi bekalan berharga untuk membawa organisasi ke tahap yang lebih membanggakan.

YAB Menteri Besar turut menekankan bahawa gerak kerja dakwah tidak boleh dijalankan secara individu semata-mata, sebaliknya perlu digerakkan secara berjemaah dan berorganisasi, sebagaimana yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW.

Beliau turut memetik firman Allah dalam surah Ali Imran, ayat 104 dan surah An-Nahl, ayat 97 yang menekankan kepentingan menyeru kepada kebaikan dan beramal soleh dengan penuh keimanan, menjanjikan ganjaran kehidupan yang baik serta pahala yang berlipat ganda.

Sebagai simbolik penghargaan, beliau turut menyampaikan pantun:

“Jarum hilang di tengah jerami,

Kain kebaya di dalam peti,

Selamat datang ke negeri kami,

Semoga bahagia melekat di hati.”

YAB Dato’ Panglima Perang mengakhiri ucapannya mengucapkan tahniah kepada seluruh kepimpinan dan ahli Wanita PERKIM atas komitmen mereka dalam memperkasa gerakan dakwah dan peranan wanita dalam pembangunan masyarakat.

Beliau berharap mesyuarat tersebut menjadi medan terbaik untuk menyusun gerak kerja yang lebih strategik dan memberi manfaat besar kepada umat, khususnya di Kelantan dan di seluruh negara.

Turut berangkat hadir ialah Tengku Temenggong Kelantan, YBM Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.

Hadir sama ialah Naib Yang Dipertua PERKIM, YBhg Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, YBhg Prof Dr Ramle Abdullah; Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun.

Sebelum itu, 𝐊𝐞𝐭𝐮𝐚 𝐖𝐚𝐧𝐢𝐭𝐚 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌 𝐊𝐞𝐛𝐚𝐧𝐠𝐬𝐚𝐚𝐧, 𝐘𝐓𝐌 𝐓𝐮𝐧𝐤𝐮 𝐏𝐮𝐚𝐧 𝐒𝐫𝐢 𝐃𝐚𝐭𝐨’ 𝐇𝐚𝐣𝐚𝐡 𝐍𝐨𝐨𝐫 𝐇𝐚𝐲𝐚𝐭𝐢 𝐓𝐮𝐧𝐤𝐮 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥 𝐑𝐚𝐡𝐦𝐚𝐧 telah menyampaikan ucapan aluannya.


Tunku Noor Hayati menyeru hadirin bersama-sama menghadiahkan bacaan Al-Fatihah kepada Rasulullah SAW, keluarga baginda, para sahabat, para pejuang terdahulu, tokoh-tokoh PERKIM dan Wanita PERKIM yang telah meninggal dunia, serta para mujahidin dan saudara Muslim di Gaza, Palestin, Yaman, Lebanon dan Syria.

Beliau yang juga Tengku Puan Temenggong Kelantan berkata, majlis makan malam ini bukan sekadar acara sosial, tetapi melambangkan usaha berterusan Wanita PERKIM dalam membina ukhuwah, memperkukuh semangat dakwah dan kebajikan serta menyemai kasih sayang.

Wanita PERKIM merupakan platform memperjuangkan hak dan kebajikan wanita mualaf, di samping memberi sokongan emosi, spiritual dan sosial.

Tambah Tunku Noor Hayati lagi, sehingga kini, Wanita PERKIM mempunyai 22,000 ahli di seluruh 14 negeri di Malaysia.

Perjuangan ini bermula sejak tahun 1980 atas pandangan dan wasiat Perdana Menteri Malaysia pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Ketua Wanita PERKIM pertama, Allahyarhamah Datuk Amar Puan Sri Dr. Hajjah Laila Taib.

Ujarnya lagi, Wanita PERKIM kini turut berusaha merancang lebih banyak aktiviti melibatkan golongan muda melalui program seperti Street Dakwah yang disertai oleh 60 pelajar dari tujuh IPTA dan IPTS.

Selain itu, Wanita PERKIM juga diberi kepercayaan oleh JAWI dan MAIWP dalam program mendekati dan menyantuni pemohon mualaf yang berisiko murtad, dengan kejayaan memujuk tiga daripada 20 kes setakat ini.

Beliau turut menyentuh cabaran di Kelantan, di mana Wanita PERKIM masih berada di bawah PERKIM Bahagian dan bukan sebagai bahagian wanita yang berasingan seperti di negeri lain.

Namun dengan sokongan Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa PERKIM Bahagian Kelantan yang aktif, diharapkan usaha memperkasakan wanita PERKIM di negeri itu akan berjaya.

Beliau mengajak semua untuk berdoa agar usaha dakwah ini diberkati Allah, negara terus aman, dan kesejahteraan umat Islam terpelihara.

Majlis diserikan lagi dengan penyampaian cenderamata Tunku Noor Hayati kepada Dato’ Mohd Nassuruddin.

Turut bersama dalam menyerikan majlis, Isteri Menteri Besar Kelantan merangkap Pengerusi Wanita PERKIM Negeri Kelantan, YABhg Datin Panglima Perang Wan Nor Hanita Wan Yaacob.

Sambil tetamu kehormat dan delegasi-delegasi menikmati hidangan jamuan makan malam tajaan Menteri Besar Kelantan, diadakan persembahan nasyid daripada Pelajar Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP) Kota Bharu dan persembahan dikir barat yang memukau dari Sirat Maharaja.

Turut hadir kepimpinan Wanita PERKIM Kebangsaan ialah Pengerusi Tetap, Hajah Hasnah Mohamed; Timbalan Pengerusi Tetap, YBhg Datin Hajah Mazlin Darus; Setiausaha Kehormat, YBhg Dato’ Hajah Maznah Dasmi; Bendahari Kehormat, YBhg Dr Nur’azah Dato’ Abdul Manaf serta Ahli Majlis, YBhg Datin Hajah Mawanchik Che Jais, Hajah Faiza Bawumi Sayed Ahmad, YBhg Datin Hajah Normala Mohmad Zin, Hajah Norizan Ismail, YBhg Dato’ Dr Hajah Munirah Mohd Hassan, YBhg Dato’ Hajah Nurzarina Haji Sepran, Hajah Sharifah Zubaidah Syed Mahdzar, Azlifa Md Idris, Norliza Haji Md Yamin dan YBhg Datin Hajah Asmah Md Rashid.

Turut sama hadir ialah Timbalan SUK Pengurusan, YDH Dato’ Haji Ab. Pattah Hasbullah; Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Kelantan, YABhg Dato’ Haji Mohd Anis Hussein serta Ahli-ahli Exco Negeri.


Para delegasi mendaftar diri di Majlis Makan Malam Sempena AGM Wanita PERKIM Kebangsaan Kali Ke-45 di Hotel H Elite Design, Kota Bharu.


Para delegasi Wanita PERKIM Johor berkempatan bergambar bersama Ketua Wanita PERKIM, Tunku Noor Hayati ketika keberangkatan tibanya di majlis itu.


Tetamu kehormat PERKIM mengiringi YAB Menteri Besar Kelantan ke majlis makan malam.


Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nasuruddin Haji Daud berkesempatan bergambar bersama-sama Ahli Majlis Wanita PERKIM dan Kepimpinan PERKIM Kebangsaan.


Tetamu kehormat bersama para delegasi berdiri tegak sambil menyanyikan Lagu Negaraku dengan penuh hormat.


Lagu Wanita PERKIM turut dinyanyikan dengan penuh semangat kewanitaan.


Tetamu Kehormat menadah tangan ketika doa dibacakan.


Ketua Wanita PERKIM bersama tetamu kehormat mengaminkan doa yang dibacakan.


Ketua Wanita PERKIM Kebangsaan, YTM Tunku Puan Sri Dato’ Hajah Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj berkenan menyampaikan ucapan aluannya.


Menurut Tunku, majlis tersebut bukan sekadar acara sosial, tetapi melambangkan usaha berterusan Wanita PERKIM dalam membina ukhuwah, memperkukuh semangat dakwah dan kebajikan serta menyemai kasih sayang.


YAB Menteri Besar Kelantan dalam ucapan perasmiannya menyifatkan Wanita PERKIM sebagai manifestasi kepada kematangan organisasi tersebut sepanjang 45 tahun penubuhannya.


YAB Dato’ Panglima Perang berkata, gerak kerja dakwah tidak boleh dijalankan secara individu semata-mata, sebaliknya perlu digerakkan secara berjemaah sebagaimana yang dianjurkan Nabi.


YAB Ustaz Dato’ Mohd Nasuruddin berharap mesyuarat yang diadakan esok menjadi medan terbaik untuk menyusun gerak kerja yang lebih strategik dan memberi manfaat besar kepada umat.


Seusai ucapan, Tunku Noor Hayati menyampaikan cendera kenangan kepada YAB Ustaz Dato’ Mohd Nasuruddin.


Turut berangkat hadir, Tengku Temenggong Kelantan, YBM Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.


Pelajar IDIP Kota Bharu menyampaikan beberapa buah lagu dalam persembahan nasyid.


Tetamu kehormat menyaksikan persembahan yang disajikan.


Para delegasi menikmati hidangan makan malam yang disediakan.


Persembahan dikir barat yang memukau para hadirin dari kumpulan Sirat Maharaja.


Antara urus setia yang bertungkus lumus menjayakan majlis tersebut.


Para perwakilan Wanita PERKIM Wilayah Persekutuan menikmati jamuan makan malam.


Delegasi bersama-sama menjamu selera di majlis makan malam.


Keberangkatan pulang Tunku Noor Hayati bersama Tengku Temenggong Kelantan dan Menteri Besar Kelantan serta tetamu.


Ahli Wanita PERKIM berkesempatan bersua foto bersama Tengku Puan Temenggong Kelantan.


Barisan urus setia berkesempatan bergambar bersama Tengku Temenggong Kelantan dan Menteri Besar Kelantan.


Delegasi PERKIM Bahagian Negeri Kelantan merakamkan kenangan bersama Isteri Menteri Besar Kelantan merangkap Pengerusi Wanita PERKIM Negeri Kelantan, YABhg Datin Panglima Perang Wan Nor Hanita Wan Yaacob.

Related Articles

Back to top button