Aktiviti Wanita PERKIM

Semarak Kasih Menjelang Syawal: 118 Anak-Anak Mualaf, Asnaf Disantuni

oleh: SRZ

KUALA LUMPUR, 26 MAC 2025 – “Saya amat berbesar hati kerana dapat bertemu dan menyantuni seramai 118 orang anak-anak mualaf, asnaf serta anak-anak barisan hadapan dan warga industri yang diraikan pada majlis penuh bermakna ini,” kata Tunku Noor Hayati.



YTM Tunku Puan Sri Dato’ Hajah Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj selaku Ketua Wanita Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan
berucap ketika menyampaikan ucapannya di Program Semarak Kasih Menjelang Syawal bertempat di Kompleks SOGO, Jalan Tunku Abdul Rahman dekat sini pada petang Rabu.

Turut hadir ialah Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia, YBhg Puan Sri Datuk Zainah Othman serta Ahli Majlis Wanita PERKIM Kebangsaan, Lembaga Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri FINAS, Kementerian Komunikasi dan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman).

Majlis dimulakan dengan ucapan pengerusi majlis disusuli bacaan doa disampaikan oleh Pengerusi Biro Agama Seniman merangkap pelakon sitcom komidi, Salman Al-Farisi.

Menurut Tunku Noor Hayati, program ini bukan sekadar menyampaikan sumbangan duit raya, tajaan baju raya, dan kotak makanan, tetapi lebih daripada itu kerana ia adalah simbol kasih sayang dan keprihatinan kami di Wanita PERKIM Kebangsaan terhadap 118 anak-anak yang memerlukan.

“Kami sedar bahawa perjalanan hidup anak-anak ini tidak mudah, namun ketahuilah bahawa kalian tidak bersendirian.

“Kehadiran kita semua hari ini adalah bukti bahawa masyarakat sentiasa bersama anda, memberikan sokongan moral dan kasih sayang tanpa berbelah bahagi.

“Saya amat berterima kasih kepada semua pihak yang telah bekerjasama menjayakan program ini, terutamanya Ahli Majlis Wanita PERKIM Kebangsaan, PERKEP, FINAS dan pihak pengurusan Kompleks Sogo yang telah memberikan ruang dan peluang untuk kita bersama-sama menceriakan anak-anak ini,” jelas Tunku Noor Hayati.

Ulas beliau, usaha sebegini amat penting kerana ia bukan sahaja membawa kegembiraan kepada mereka yang disantuni, malah mengeratkan lagi silaturahim dalam kalangan masyarakat.

“Kepada anak-anak yang diraikan, saya berharap agar sumbangan ini dapat menceriakan sambutan Aidilfitri anda.

“Anggaplah pemberian ini sebagai tanda kasih sayang kami dan semoga ia menjadi dorongan untuk anda terus berusaha mencapai kejayaan dalam kehidupan.

“Saya yakin bahawa dengan keazaman yang kuat serta doa yang berterusan, anak-anak semua mampu mengubah nasib diri dan keluarga ke arah yang lebih baik.

“Marilah kita bersama-sama menjadikan Ramadan ini sebagai bulan yang membawa keberkatan dan Syawal nanti sebagai detik yang menggembirakan buat semua,” kata Tunku Noor Hayati.

“Saya berharap semoga program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang agar lebih ramai yang dapat merasai nikmat kemeriahan Aidilfitri,” katanya mengakhiri ucapan.

Tunku Noor Hayati bersama Datuk Zainah Othman berkesempatan menyampaikan duit raya tajaan oleh YAM Tengku Puteri Seri Lela Manja, Tengku Dato’ Hajah Nong Fatimah kepada 118 anak-anak yang diraikan.

Seramai 68 anak-anak mualaf dan asnaf mendapat tajaan baju raya daripada Wanita PERKIM Kebangsaan, manakala 50 anak-anak lagi menerima tajaan baju raya daripada individu dan perseorangan.

Selain itu, FINAS menyumbangkan 65 kotak makanan, sementara Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Selangor, Ustaz Haji Muhammad Fitri Abdullah turut menyumbangkan 20 kotak makanan bagi memastikan keperluan asas anak-anak ini dapat dipenuhi.

Pengerusi Wanita PERKIM Bahagian Negeri Selangor, YBhg. Datin Patimah Ismail turut menyumbang RM2,000 bagi menampung sebarang kekurangan peruntukan.



Ahli Majlis Wanita PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Hajah Nurzarina Sepran
berkata, dalam usaha memastikan kelancaran program, turut menampung kos tambahan dan menyediakan sukarelawan bagi membantu perjalanan program ini.

Dato’ Nurzarina yang juga Pengerusi PERKIM Wanita Permata Ampang turut mengulas bahawa, anak-anak ini menerima manfaat pulang dengan senyuman setelah mendapat pakaian raya baharu serta sumbangan yang akan meringankan beban mereka menyambut Syawal.

Beliau yang juga Jawatankuasa Kebajikan FINAS berkata, inisiatif seperti Semarak Kasih Menjelang Syawal ini mencerminkan keprihatinan Wanita PERKIM Kebangsaan dan para penyumbang terhadap golongan yang memerlukan.

Dato’ Nurzarina berharap program sebegini akan terus dilaksanakan bagi menyemai nilai kasih sayang dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat.

Hadir sama, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Selangor, YBrs LT. (PA) Tuan Ghazali bin Abd Rahman; Pengerusi Koperasi Al Najah dan JK Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan & Data Industri, YBhg Kolonel Bersekutu (PA) Dato’ Sri Prof. Ahmad Musa So; Setiausaha Politik Kementerian Komunikasi, YBrs Encik Abdullah Izhar Mohamed Yusof; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan & Data Industri, Rozaidi Abdul Jamil @ Zed Zaidi; Pegawai Khas dan Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri, YBhg Kolonel Kehormat (PA) Dato’ Fyzal Fauzy; Pengerusi PERKEP Kuala Lumpur, YBhg Datin Zuraini Abd Razak  serta Ahli Lembaga Finas, Pengarah Pembangunan Industri, Majlis Wanita PERKIM Kebangsaan, AJK Wanita PERKIM Permata Ampang, Barisan AJK PERKEP dan Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri Finas.


Tunku Noor Hayati bersalaman sambil mengusap wajah anak-anak mualaf ketika ketibaannya di majlis tersebut.


Salman Al-Farisi mengacarakan majlis Semarak Kasih Menjelang Syawal.


Seramai 118 anak-anak mualaf dan asnaf berhimpun di majlis Semarak Kasih Menjelang Syawal.


Dato’ Nurzarina menyampaikan ucapan aluannya kepada hadirin.


Tunku menyampaikan duit raya kepada anak-anak mualaf tajaan YAM Tengku Dato’ Hajah Nong Fatimah.


Tunku Noor Hayati bertanyakan khabar kepada salah seorang anak mualaf sambil menyampaikan duit raya.


Tunku Noor Hayati bersama Ahli Majlis Wanita PERKIM Kebangsaan bergambar bersama anak-anak mualaf.


Anak-anak asnaf menerima duit raya disampaikan oleh Tunku Noor Hayati.


Datuk Zainah berkesempatan menyampaikan duit raya tajaan oleh YAM Tengku Dato’ Hajah Nong Fatimah kepada anak-anak asnaf yang diraikan.


Zed Zaidi turut menyampaikan duit raya kepada anak-anak seniman sambil kepalanya diusap oleh Tunku Noor Hayati.


Tetamu kehormat bergambar bersama anak-anak yang diraikan.


Anak-anak asnaf beratur seorang demi seorang menerima duit raya.


Barisan urus setia dan Ahli Majlis Wanita PERKIM Kebangsaan berkesempatan bergambar bersama Tunku Noor Hayati.


Urus setia Wanita PERKIM Kebangsaan berkesempatan bergambar bersama selebriti tanah air.


Barisan AJK PERKEP berpeluang bergambar bersama Ketua Wanita PERKIM Kebangsaan.


Barisan urus setia bersama AJK PERKIM berpeluang bergambar bersama-sama.


Tunku Noor Hayati bertemu dan berbual mesra bersama penerima sumbangan.


Anak-anak asnaf beratur di kaunter pembayaran untuk penerimaan baju raya tajaan Wanita PERKIM Kebangsaan.


Anak-anak asnaf menerima baju raya yang dipilih di kaunter pembayaran Sogo.


Urus setia dan petugas Sogo mengira nilai baju raya yang dibeli oleh anak-anak asnaf.


Urus setia menyampaikan kotak makanan kepada asnaf.


Anak asnaf menerima kotak makanan daripada urus setia Wanita PERKIM Kebangsaan.


Setelah selesai memilih baju raya, anak-anak asnaf menerima kotak makanan yang ditaja.


118 anak-anak mualaf dan asnaf yang diraikan bergambar kenang-kenangan di akhir majlis.

Related Articles

Back to top button