Program Dialog Harmoni Bersama Masyarakat Majmuk India Semarak Perpaduan Di Kg. Kongsi 6
𝐏𝐑𝐎𝐆𝐑𝐀𝐌 𝐃𝐈𝐀𝐋𝐎𝐆 𝐇𝐀𝐑𝐌𝐎𝐍𝐈 𝐁𝐄𝐑𝐒𝐀𝐌𝐀 𝐌𝐀𝐒𝐘𝐀𝐑𝐀𝐊𝐀𝐓 𝐌𝐀𝐉𝐌𝐔𝐊 𝐈𝐍𝐃𝐈𝐀 𝐒𝐄𝐌𝐀𝐑𝐀𝐊 𝐏𝐄𝐑𝐏𝐀𝐃𝐔𝐀𝐍 𝐃𝐈 𝐊𝐆 𝐊𝐎𝐍𝐆𝐒𝐈 𝟔
ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ
𝐒𝐔𝐍𝐆𝐀𝐈 𝐏𝐄𝐓𝐀𝐍𝐈, 𝟕 𝐒𝐄𝐏𝐓𝐄𝐌𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟓 – Program Dialog Harmoni dan Ziarah Bersama Masyarakat Majmuk India yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kampung Kongsi 6, Bedong berjaya menghimpunkan masyarakat setempat dalam suasana penuh mesra, hormat dan perpaduan.
Program dihadiri lebih daripada 150 masyarakat kampung dari bangsa India itu merupakan anjuran bersama oleh Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP)
Program yang penuh bermakna itu mendapat kerjasama daripada Persatuan Dakwah Islamiah & Kebajikan Saudara Baru India Se-Malaysia (AL-HIDAYAH) Cawangan Kedah dan PERKIM Cawangan Daerah Kuala Muda menyaksikan penglibatan pelbagai lapisan masyarakat, tanpa mengira agama dan kaum sekali gus menonjolkan wajah sebenar keharmonian Malaysia yang hidup dalam kepelbagaian.
Majlis dimulakan dengan sesi pendaftaran oleh urus setia PERKIM Kebangsaan dibantu sukarelawan PERKIM Kuala Muda.
Kehadiran masyarakat Kampung Kongsi 6 yang memenuhi ruang dewan serbaguna telah menambahkan seri majlis, mencerminkan semangat muhibbah dan keterbukaan penduduk setempat dalam menjayakan program harmoni ini.
Program tersebut telah diacarakan sepenuhnya oleh Bendahari AL-HIDAYAH Kedah, Ustazah Nurasiqin Abdullah.
𝐏𝐞𝐧𝐠𝐚𝐫𝐚𝐡 𝐏𝐞𝐧𝐝𝐢𝐝𝐢𝐤𝐚𝐧 𝐝𝐚𝐧 𝐏𝐞𝐦𝐛𝐚𝐧𝐠𝐮𝐧𝐚𝐧 𝐈𝐧𝐬𝐚𝐧 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌 𝐊𝐞𝐛𝐚𝐧𝐠𝐬𝐚𝐚𝐧, 𝐘𝐁𝐡𝐠. 𝐃𝐫. 𝐒𝐮𝐚𝐫𝐢𝐳𝐚 @ 𝐇𝐢𝐝𝐚𝐲𝐚𝐡 𝐌𝐮𝐡𝐚𝐦𝐦𝐚𝐝 dalam ucapan perasmian penutupnya menyampaikan salam hormat mewakili 𝐒𝐞𝐭𝐢𝐚𝐮𝐬𝐚𝐡𝐚 𝐀𝐠𝐮𝐧𝐠 𝐊𝐞𝐡𝐨𝐫𝐦𝐚𝐭 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌, 𝐘𝐁𝐡𝐠. 𝐃𝐚𝐭𝐨’ 𝐃𝐫. 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐌𝐨𝐡𝐚𝐦𝐚𝐝 𝐌𝐚𝐫𝐳𝐮𝐤𝐢 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐌𝐨𝐡𝐚𝐦𝐚𝐝 𝐎𝐦𝐚𝐫 serta penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program tersebut.

“Saya mewakili seluruh warga PERKIM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada MAIWP atas sokongan dan sumbangan kewangan yang memungkinkan program ini terlaksana,” kata Dr Suariza.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua pihak terlibat, khususnya jawatankuasa pelaksana kerana berjaya menganjurkan aktiviti gotong-royong, ziarah rumah ke rumah, serta menjalin hubungan erat dengan masyarakat setempat.
“Walaupun berlainan bangsa dan agama, penduduk kampung tetap menyambut kedatangan para sukarelawan dengan mesra, penuh sopan santun dan rasa kekeluargaan. Inilah wajah sebenar Malaysia iaitu sebuah negara yang majmuk tetapi tetap bersatu hati,” jelas beliau.
Menurutnya, tujuan program ini bukan sekadar ziarah, sebaliknya untuk merapatkan jurang antara kaum dan agama, menyemai semangat muhibah serta mengukuhkan pertalian darah.
Tambah Dr Suariza lagi, program ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan antara penganjur dan masyarakat tempatan, malah membuktikan bahawa rakyat Malaysia mampu hidup dalam suasana aman, damai dan saling menghormati walaupun berbeza agama dan budaya.
Program berlangsung dalam suasana penuh harmoni, sekali gus menzahirkan mesej bahawa perpaduan sejati bukan hanya terletak pada persamaan tetapi pada kemampuan untuk meraikan perbezaan dalam semangat kasih sayang dan persaudaraan sejagat.
Sesi Dialog Harmoni yang berlangsung sepenuhnya dalam Bahasa Tamil sebelum itu disampaikan oleh 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇 𝗠𝗼𝗵𝗱 𝗡𝗮𝗶𝗺 𝗜𝘀𝗹𝗮𝗺 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵, 𝗣𝗲𝗻𝗴𝗲𝗿𝘂𝘀𝗶 𝗔𝗟-𝗛𝗜𝗗𝗔𝗬𝗔𝗛 𝗖𝗮𝘄𝗮𝗻𝗴𝗮𝗻 𝗞𝗲𝗱𝗮𝗵 bersama 𝗣𝗲𝗻𝗱𝗮𝗸𝘄𝗮𝗵 𝗕𝗲𝗯𝗮𝘀, 𝗗𝗿. 𝗔𝗺𝗲𝗲𝗿 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵.

Dalam bicaranya, Ustaz Naim yang juga Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Negeri Kedah 1447H dalam perkongsiannya menjelaskan bahawa Nabi Muhammad SAW adalah insan yang paling dihormati dan dipuji di dunia, malah nama Baginda sendiri bermaksud “yang terpuji”.
Katanya lagi, sifat mulia Nabi diakui bukan sahaja oleh umat Islam tetapi juga oleh musuh Islam sendiri.

Dr. Ameer pula mengupas ramalan mengenai kedatangan Nabi Muhammad SAW yang turut disebut dalam pelbagai kitab agama lain, termasuk tradisi Hindu, Buddha, Parsi dan Kristian.
Beliau menekankan bahawa mesej Islam dapat disampaikan dengan hikmah, adab serta kasih sayang melalui rujukan budaya mereka.
Beliau menjelaskan, tokoh Buddha Maitreya diramalkan sebagai pembimbing akhir zaman, sementara dalam kitab Parsi kuno Dasatir, dinyatakan seorang nabi dari Arab akan mengalahkan empayar Parsi. Bahkan, dalam Bible Kristian, nama dan sifat Nabi Muhammad turut dirujuk dalam Songs of Solomon dan Injil Yohanes.
“Tokoh-tokoh dunia juga mengakui keagungan Rasulullah SAW. George Bernard Shaw melihat Baginda sebagai penyelesai masalah dunia, Mahatma Gandhi menolak dakwaan Islam tersebar dengan pedang, manakala sejarawan Barat seperti William Muir dan Dr. William Draper mengakui kepimpinan Nabi sebagai pemacu tamadun manusia,” katanya.
Ustaz Naim menutup bicara dengan menegaskan bahawa pengiktirafan terhadap Nabi Muhammad SAW bukan hanya wujud dalam Islam, tetapi turut diakui oleh agama-agama lain dan tokoh dunia, bukti bahawa Baginda adalah rahmat bagi seluruh alam.
Dialog harmoni itu turut diserikan dengan kuiz kemerdekaan, pengetahuan am dan sejarah melibatkan anak-anak dan masyarkat kampung.
Penolong Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Kongsi 6, Muniandy A/L Subramaniam, dalam ucapannya menyambut baik penganjuran program dan mengalu-alukan kehadiran para tetamu.
Katanya, bermula petang semalam, urus setia PERKIM dan AL-HIDAYAH bersama masyarakat kampung bertungkus lumus dan bergotong-royong membersihkan kawasan dewan bagi memastikan program dapat berjalan dengan lancar.
Sejurus itu, mereka dibawa ziarah rumah ke rumah untuk menjemput masyarakat kampung hadir ke program pada hari ini.
Majlis turut menyaksikan penyampaian plak cenderahati PERKIM oleh Dr. Suariza kepada Muniandy.
Sebagai tanda penghormatan, masyarakat kampung mengalungkan bunga malai kepada Dr. Suariza, Ustaz Naim dan Dr. Ameer melambangkan penghargaan mereka terhadap usaha penganjur.
Dr Suariza turut menyampaikan sumbangan set barangan makanan kepada 55 keluarga.
Setiap keluarga menerima set barangan makanan asasi seperti beras, mi segera, sardin, susu tin, minyak, bihun dan lain-lain.
Majlis berakhir dengan sesi fotografi bersama masyarakat kampung dan jamuan makan tengah hari.
Antara urus setia PERKIM Kebangsaan yang terlibat ialah Ustaz Muhammad Jais Mariappan Abdullah, Azura Abdul Rahman, Norlailialpin Suratman, dan Mualish Shah Haji Mohd Anuar bersama sukarelawan Mohd Firdaus Pompeyo Abdullah.
Turut hadir memeriahkan program ialah Pengerusi PERKIM Cawangan Daerah Kuala Muda, Ustaz Imron Kochem Haji Ahmad; Penolong Setiausaha Kehormat, Ustazah Juhana Halimah Johari.
Hadir sama ialah Pengerusi AL-HIDAYAH Pusat, Ustaz Muhammad Nasrul Haq Abdul Latif; Timbalan Pengerusi AL-HIDAYAH Pusat, Ustaz Haji Muhammad Rafee Rahman; Pendakwah Mualaf Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Ustazah Nazirah Nantha Kumari Abdullah; Setiausaha AL-HIDAYAH Kedah, Ustaz Mohd Firdaus Abdullah dan serta sukarelawan PERKIM Kuala Muda dan AL-HIDAYAH yang banyak membantu menjayakan program ini.

Masyarakat kampung hadir dan mendaftarkan diri di hadapan dewan serbaguna.

Urus setia mendaftarkan nama penduduk kampung yang hadir ke Program Dialog Harmoni.

Ustaz Rafee turut bertanyakan khabar penduduk kampung ketika mereka bersarapan.

Urus setia bertanyakan nama dan bermesra bersama kanak-kanak kampung.

Sukarelawan PERKIM Kuala Muda turut terlibat dalam pendaftaran penduduk kampung.

Urus setia mendaftarkan penduduk kampung wanita.

Ustaz Naim Islam berbual mesra bersama kanak-kanak kampung sambil bertanyakan soalan kuiz.

Ustaz Nasrul Haq membantu mengangkat makanan untuk diagihkan kepada penduduk kampung.

Ustaz Naim Islam berkongsi kisah peribadinya mendalami Islam kepada penduduk kampung.

Antara masyarakat kampung yang hadir mendengar perkongsian daripada Ustaz Naim Islam.

Masyarakat Kampung Kongsi 6 mendengar syarahan yang disampaikan dalam Bahasa Tamil.

Dr Ameer dalam Dialog Harmoni menegaskan ramalan mengenai kedatangan Nabi Muhammad SAW turut disebut dalam pelbagai kitab agama lain.

Kanak-kanak kampung mengangkat tangan ketika menjawab soalan kuiz.

Salah seorang penduduk kampung menjawab soalan kuiz dari penceramah.

Penduduk kampung gembira menerima saguhati selepas menjawab soalan kuiz daripada Ustazah Nazirah Nanta Kumari.

Nurasiqin mengacarakan majlis penutup program.

Muniandy selaku JPKKP Kampung Kongsi 6 menyambut baik penganjuran program dan mengalu-alukan kehadiran rombongan.

Dr Suariza mewakili Setiausaha Agung Kehormat PERKIM menyampaikan ucapan perasmian penutup.

Menurut Dr Suariza, program ini bukan sekadar ziarah, sebaliknya untuk merapatkan jurang antara kaum dan agama serta menyemai semangat muhibah.

Hadirin menepuk tangan seusai perasmian penutupan program.

Panchavarnum A/P Mariappan mewakili ketua kampung memakaikan kain ponnadai sebagai tanda penghormatan kepada perasmi.

Dr Suariza menyampaikan plak cenderahati PERKIM kepada Muniandy sebagai tanda penghargaan.

Sebagai tanda penghormatan, penduduk kampung memakaikan kalung bunga malai kepada Dr Ameer.

Ustaz Nasrul Haq dan Ustaz Rafee memberi penghargaan memakaikan kain ponnadai kepada Ustaz Naim Islam sebagai tokoh Maulidur Rasul Peringkat Negeri Kedah.

Dr Suariza mengagihkan sumbangan makanan kepada penduduk kampung.

Antara 55 penduduk kampung yang menerima sumbangan makanan daripada Dr Suariza.

Dr Suariza bersama masyarakat kampung bergambar kenang-kenangan di akhir program.

Masyarakat kampung disajikan dengan jamuan makan tengah hari selepas berakhirnya program.

Penduduk kampung menjamu selera bersama-sama seusai Dialog Harmoni.

Barisan urus setia program berkesempatan bergambar bersama Dr Suariza di akhir program.



