Majlis Ramah Mesra Bersama Mualaf

oleh : ABDUL QAWI NAVINE ABDULLAH
KUALA LUMPUR, 24 SEPTEMBER 2023 – Seramai 70 pelajar mualaf telah dipertemukan bersama Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr. Mohd Yusof Noor dalam Majlis Ramah Mesra Bersama Mualaf bertempat di Dewan Al-Ilmi, Tingkat 1, Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIP-KL) pagi tadi.
Saudara baharu yang hadir merupakan Pelajar Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan (KPIPK) terdiri daripada pelbagai bangsa iaitu Cina, India, Kadazan, Bidayuh, Dusun, Murut, Iban, Sikh serta warga dari negara Filipina, Thailand, Indonesia dan Myanmar.
Majlis Ramah Mesra itu bertujuan mengeratkan silaturahim antara mualaf bersama kepimpinan PERKIM Kebangsaan sekaligus mendengar cadangan serta sebarang permasalahan yang dihadapi oleh para mualaf.
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan daripada Pengarah Kanan Dakwah PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin dan disusuli dengan perkongsian ilmu serta sesi soal jawab oleh Naib Yang Dipertua PERKIM merangkap Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Selangor, YBhg Ustaz Haji Muhammad Fitri Abdullah.
Majlis diserikan lagi dengan ucapan perasmian oleh Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr. Mohd Yusof Noor.
Dr Yusof Noor dalam ucapannya berkata, para mualaf merupakan insan yang beruntung kerana Allah SWT telah melapangkan dada mereka untuk menerima Islam.
Tambah beliau, jika kita menghadapi cabaran, ingatlah bahawa Nabi Muhammad SAW juga menghadapi cabaran yang lebih berat.
Dr Yusof Noor mengajak hadirin memperbanyakkan doa kepada Allah SWT dengan menggunakan apa jua bahasa kerana Allah SWT Maha Mengetahui.
Berdoalah kerana ketika berdoa itulah waktu antara kita dengan Allah SWT.
Dr. Yusof Noor memaklumkan bahawa PERKIM akan sedaya upaya membantu para mualaf dan sentiasa memenuhi keperluan mualaf terutama dalam pendidikan agar para mualaf dapat memahami dan menghayati Islam.
Di akhir majlis, Dr Yusof Noor berkesempatan menyampaikan cenderahati sebuah jam PERKIM kepada para mualaf.
Turut hadir ialah Bendahari Kehormat, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun, Setiausaha Kerja Eksekutif PERKIM Kebangsaan, Zulkefli Arifin serta Pengarah Pembangunan Pendidikan dan Operasi PERKIM Kebangsaan, YBhg Dr. Suariza @ Hidayah Muhammad.
Dato’ Razali menyampaikan ucapan aluannya.
Ustaz Fitri menyampaikan perkongsian ilmu dan pengalamannya sepanjang bergelar saudara baharu.
Dr Yusof Noor menyampaikan ucapan perasmiannya di Majlis Ramah Mesra Bersama Mualaf.
Antara saudara baharu yang hadir di majlis tersebut.
Lebih 60 mualaf hadir pertemuan bersama PERKIM.
Mualaf bertanyakan kemusykilannya dalam sesi soal jawab.
Saudara baharu mendengar perkongsian ilmu yang disampaikan.
Saudara baharu mengajukan soalan dalam sesi soal jawab.
Dr Yusof Noor menyampaikan cenderahati jam PERKIM kepada Iskandar Khoo.
Nurul Julinica menerima cenderahati jam PERKIM daripada Dr Yusof Noor.
Dato’ Razali menyampaikan cenderahati kepada Ustaz Fitri.
Pimpinan PERKIM Kebangsaan bergambar kenang-kenangan bersama mualaf di akhir majlis.