Aktiviti Dakwah

Istana Cantik Di Langit Dorong Abdul Rashid Peluk Islam

oleh: SRZ

KUALA LUMPUR, 28 OGOS 2023 – “Waktu setengah jam lagi hendak masuk Maghrib, saya terlihat satu keajaiban yang ada di langit iaitu sebuah istana cantik dan lebih indah lagi daripada warna emas,” kata Abdul Rashid Abdullah.

Abdul Rashid berkata sewaktu menceritakan kisah tersebut ketika beliau dibuka hijab untuk memperlihatkan sebuah mahligai istana yang mempunyai pintu yang panjang dan terindah di langit dunia serta warnanya tidak pernah dilihat.

Istana indah di langit itu merupakan di antara salah satu perkara yang membuatkan beliau ingin mendekati Islam.

Beliau merupakan seorang gelandangan yang hidup mencari rezeki dengan membantu orang mendapatkan sewa lori, mengambil upah membersihkan surau dan lain-lain pekerjaan yang membolehkan beliau untuk mencari sesuap nasi.

Abdul Rashid, 50 atau nama asalnya Paramasivam Rengan telah hadir ke Ibu Pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan untuk melafazkan dua kalimah syahadah kerana telah mendapat petunjuk dan hidayah daripada Allah SWT.

Beliau mengikrarkan dua kalimah syahadah di hadapan Pengerusi PERKIM Cawangan Datuk Keramat, Ustaz Mohamad Suhaimi Abd Aziz dan disaksikan oleh Ustaz Amran Anbarasu Abdullah selaku Pembantu Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan PERKIM Kebangsaan.

Menurut Abdul Rashid, dalam aksi kejar mengejar dalam satu pergaduhan di antara beliau dengan empat orang berketurunan Cina, beliau menyelamatkan dirinya dengan menerjunkan diri di dalam Sungai Klang berhampiran Bangunan PERKIM.

Keadaan semakin cemas ketika beliau tenggelam di dalam sungai keadaan tercungap-cungap merasakan mahu mati kerana air sungai melebihi paras hidung, mata tidak nampak dan telinga tidak lagi mendengar serta kaki dan tangannya tidak lagi bergerak.

Sedang Abdul Rashid di bawa arus sungai yang dalam itu, tiba-tiba beliau menyebut kalimah Allahuakbar sebanyak tiga kali, lalu kaki dan tangannya mulai bergerak lantas terdetik hati untuk memeluk Islam kerana kalimah tersebut menyelamatkannya.

Sewaktu beliau mencari tempat untuk memeluk Islam, pelbagai ujian dan halangan menimpa Abdul Rashid sehingga beliau menangguhkan hasratnya untuk menjadi Muslim.

Tambahnya lagi, ketika beliau sedang membersihkan kawasan dan papan tanda di Surau Balai Islam, Jalan Tun Razak dengan menyapu serta mengelap, beliau merasakan tidak berpuas hati dengan pekerjaan yang dilaksanakan lantas melihat semula kawasan yang dibersihkan sebanyak lima hingga enam kali.

Sebaik sahaja memeriksa kawasan, Allah SWT memberikan Abdul Rashid petunjuk di mana di atas papan tanda yang tertera kalimah al-Quran itu terdapat selipar dan barang-barang buruk yang perlu dibuang dan dibersihkan.

Katanya, selipar atau barang-barang buruk tidak boleh diletakkan di atas kalimah al-Quran yang suci.

Beliau berhasrat untuk mempelajari Islam dengan lebih mendalam dengan mengikuti Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan dan belajar dengan rakan-rakan Muslim di Surau Balai Islam.

Suhaimi turut memberi penerangan mengenai Rukun Islam, Rukun Iman dan kewajipan sebagai seorang Islam kepada Abdul Rashid.

Selain itu, Abdul Rashid juga diberi penerangan mengenai tanggungjawab terhadap keluarga bukan Islam serta larangan menyembah selain Allah dan larangan membuat perkara yang ditegah dalam Islam.

Di akhir pertemuan itu, Amran turut menyampaikan Beg Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang mengandungi kit pengislaman seperti buku asas fardu ain, buku asas solat, buku iqra’, al-Quran, kain pelekat dan lain-lain kepada Abdul Rashid.


Paramasivam (kiri) berkongsi kisahnya sebelum memeluk Islam kepada Suhaimi.


Abdul Rashid merupakan nama yang dipilih Paramasivam selepas mengikrarkan dua kalimah syahadah.


Suhaimi membacakan doa kesyukuran selepas upacara pengislaman.


Suhaimi memberi penerangan Islam kepada Abdul Rashid.


Melihat istana tersergam indah di langit merupakan satu keajaiban yang diberikan oleh Allah SWT kepada Abdul Rashid.


Amran menyampaikan beg MAIS mengandungi kit pengislaman kepada Abdul Rashid.

Related Articles

Back to top button