Kunjungan Hormat WICS Perkukuh Kerjasama Dakwah Antarabangsa Bersama PERKIM
ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ. ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ
𝐊𝐔𝐀𝐋𝐀 𝐋𝐔𝐌𝐏𝐔𝐑, 𝟏𝟏 𝐃𝐈𝐒𝐄𝐌𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟓 – Pertemuan dua hala antara World Islamic Call Society (WICS) dan PERKIM Kebangsaan membuka lembaran baharu dalam memperkasa jaringan dakwah, pendidikan dan kebajikan apabila wakil delegasi antarabangsa dari Libya mengadakan kunjungan hormat di Bilik Mesyuarat Aras 6, Bangunan PERKIM, petang tadi.
Kunjungan bermula jam 2.30 petang itu disambut mesra oleh 𝐒𝐞𝐭𝐢𝐚𝐮𝐬𝐚𝐡𝐚 𝐀𝐠𝐮𝐧𝐠 𝐊𝐞𝐡𝐨𝐫𝐦𝐚𝐭 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌, 𝐘𝐁𝐡𝐠 𝐃𝐚𝐭𝐨’ 𝐃𝐫 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐌𝐨𝐡𝐚𝐦𝐚𝐝 𝐌𝐚𝐫𝐳𝐮𝐤𝐢 𝐌𝐨𝐡𝐚𝐦𝐚𝐝 𝐎𝐦𝐚𝐫 yang mengalu-alukan kehadiran delegasi WICS serta menzahirkan harapan agar hubungan erat antara kedua-dua pihak terus dipertingkat sebagai pemangkin kepada usaha dakwah global.
Turut bersama mengiringi pertemuan ialah 𝐍𝐚𝐢𝐛 𝐘𝐚𝐧𝐠 𝐃𝐢𝐩𝐞𝐫𝐭𝐮𝐚 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌, 𝐘𝐁𝐡𝐠 𝐃𝐫 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐌𝐨𝐡𝐝 𝐑𝐢𝐝𝐡𝐮𝐚𝐧 𝐓𝐞𝐞 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥𝐥𝐚𝐡, 𝐘𝐁𝐡𝐠 𝐔𝐬𝐭𝐚𝐳 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐌𝐮𝐡𝐚𝐦𝐦𝐚𝐝 𝐅𝐢𝐭𝐫𝐢 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥𝐥𝐚𝐡 serta 𝐘𝐁𝐡𝐠 𝐃𝐚𝐭𝐮𝐤 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐌𝐨𝐡𝐝 𝐍𝐚𝐤𝐡𝐚𝐢𝐞 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐀𝐡𝐦𝐚𝐝.
Rombongan WICS diketuai oleh 𝐃𝐫 𝐀𝐛𝐨𝐛𝐚𝐤𝐚𝐫 𝐀.𝐋. 𝐓𝐫𝐚𝐛𝐨𝐥𝐬𝐬𝐢, bersama 𝐃𝐫 𝐉𝐚𝐦𝐚𝐥 𝐀𝐡𝐦𝐞𝐝 𝐁𝐚𝐬𝐡𝐢𝐞𝐫 𝐁𝐚𝐝𝐢 dan 𝐃𝐫 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥 𝐊𝐚𝐫𝐢𝐦 𝐌𝐢𝐬𝐛𝐚𝐡 yang semuanya merupakan tokoh berpengalaman dalam bidang dakwah dan pembangunan masyarakat Islam di Libya.
Dalam sesi perbincangan, kedua-dua pihak sependapat bahawa kerjasama strategik perlu diperkukuh melalui program berfokus kepada pembangunan mualaf, pendidikan Islam dan kebajikan masyarakat pelbagai latar belakang.
Idea-idea baharu turut dikemukakan termasuk cadangan menghidupkan semula kerjasama Libya Malaysia Development Investment Foundation Resources (LMDIFR) serta penyusunan pelan joint venture antara PERKIM dan WICS bagi tahun-tahun mendatang.
Salah satu cadangan utama ialah penganjuran Konferens Dakwah Antarabangsa Malaysia–Libya, yang dijangka menjadi platform penting untuk perkongsian ilmu, strategi dakwah serta pembentukan jaringan ilmuan serantau.
Menurut Dr Jamal, WICS bersedia meneraju bersama penganjuran konferens tersebut dan mencadangkan supaya kertas cadangan rasmi disediakan untuk dibentang dalam sesi seterusnya.
Turut dibincangkan ialah kerjasama dalam bidang pendidikan termasuk penghantaran pelajar Malaysia menyambung pelbagai bidang pengajian di Libya khususnya dalam bahasa Arab dan pengajian dakwah.
WICS turut menyatakan kesediaan menaja imam-imam tarawih yang bertugas di Malaysia pada bulan Ramadan sebagai salah satu usaha dakwah.
Delegasi WICS juga berkongsi perkembangan operasi institusi dakwah mereka termasuk Da’wah Institute di Turkiye, yang kini menjadi pusat rujukan antarabangsa.
PERKIM pula menzahirkan minat untuk meneroka peluang latihan dan pertukaran kepakaran melalui institusi tersebut bagi memperkukuh kompetensi pendakwah tempatan.
WICS juga menyatakan hasrat untuk memperkukuh kehadiran mereka di Malaysia melalui penubuhan unit operasi, pengaktifan laman sesawang rasmi serta penyebaran bahan dakwah dalam bahasa Arab dan Inggeris.
Delegasi Libya turut menzahirkan jemputan rasmi kepada PERKIM untuk melawat Libya bagi meninjau pusat dakwah dan kemudahan pendidikan yang sedang beroperasi di negara tersebut.
Pertemuan yang berlangsung hampir dua jam itu menyaksikan pertukaran pelbagai pandangan berkaitan strategi jangka panjang, pelaksanaan projek berimpak tinggi dan usaha menggiatkan kolaborasi dakwah rentas negara seiring dengan cabaran masyarakat Islam global masa kini.
Sebagai penutup, kedua-dua pihak sepakat bahawa hubungan erat ini akan menjadi pemangkin utama kepada kerjasama yang lebih kukuh menjelang tahun 2026 khususnya dalam memperluas program dakwah, kebajikan dan pendidikan kepada mualaf serta masyarakat Islam di Malaysia dan Libya.
Hadir sama, Pengarah Pentadbiran PERKIM Kebangsaan, YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad; Eksekutif Pentadbiran PERKIM Kebangsaan, Ahmad Hasaidi Said dan Timbalan Eksekutif Kewangan 1, Rahman Ismail.

Dato’ Marzuki mengalu-alukan kunjungan hormat WICS di Ibu Pejabat PERKIM, ibu negara pada petang Khamis.

Dr Marzuki mendengar pandangan dan buah fikiran yang dilontarkan oleh Dr Jamal.

Dr Ridhuan Tee turut menyumbangkan pandangan beliau pada kunjungan tersebut.

Dr Marzuki menzahirkan harapan agar hubungan erat antara kedua-dua pihak terus dipertingkat sebagai pemangkin kepada usaha dakwah global.

Delegasi WICS juga berkongsi perkembangan operasi institusi dakwah mereka termasuk Da’wah Institute di Turkiye, yang kini menjadi pusat rujukan antarabangsa.

Ustaz Fitri dan Dr Ridhuan Tee bersama ahli PERKIM turut diundang oleh Dr Jamal untuk melawat Libya bagi meninjau pusat dakwah dan kemudahan pendidikan.

Datuk Nakhaie turut memberi pendapat beliau kepada Delegasi WICS dalam Bahasa Arab.

Rahman dan Dr Suariza turut hadir meraikan tetamu jemputan.

PERKIM dan WICS bersepakat untuk menjalinkan kerjasama yang lebih kukuh menjelang tahun 2026 khususnya dalam memperluas program dakwah, kebajikan dan pendidikan.

Delegasi WICS dan PERKIM bergambar kenang-kenangan di hadapan Pejabat PERKIM sejurus kunjungan berakhir.



