Kunjungan Hormat PERKIM Kebangsaan Ke IPaQ
oleh: UMAG
susunan : SRZ
PETALING JAYA, 6 JULAI 2023 – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan telah membuat kunjungan hormat ke Institut Pengajian al-Quran (IPaQ) bertempat di Pusat Pembelajaran al-Quran (PPaQ), Akademi Al-Quran, Seksyen 14 di sini.
Kunjungan tersebut diketuai oleh Pengarah Kanan Dakwah PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin.
Turut serta ialah Pengarah Pembangunan Pendidikan dan Operasi, YBhg Dr. Suariza @ Hidayah Muhammad serta Pegawai Unit Pembangunan Dakwah dan Operasi, Muhammad Jais Mariappan Abdullah.
Kunjungan tersebut bertujuan menjalinkan kerjasama dua hala terutamanya dalam menyantuni golongan mualaf bagi menitik beratkan pembelajaran al-Quran kepada mereka.
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah IPaQ, YBhg Prof Dato’ Dr Zulkifli Haji Mohd Yusoff mengalu-alukan kunjungan rombongan PERKIM Kebangsaan ke IPaQ.
Cogan kata IPaQ ‘Bersama-sama memartabatkan al-Quran’ merupakan tunggak utama institut tersebut dalam melahirkan ramai di kalangan masyarakat yang celik al-Quran.
Katanya, kami mensasarkan pembelajaran, pengajian, pemahaman, penghayatan dan pengamalan ilmu al-Quran sebagai hidayah dan petunjuk kehidupan ummah dalam usaha Pembangunan dan Pengembangan ilmu al-Quran kepada masyarakat.
Menurut Dr Zulkifli, terdapat empat program besar yang dilaksanakan di IPaQ iaitu membasmi buta huruf al-Quran, memperbaiki bacaan al-Quran dengan hukum tajwid, memberi pemahaman terhadap ayat al-Quran dan Tahsin al-Quran.
Katanya lagi, terdapat pelbagai kelas yang disediakan mengikut kesesuaian umur dan peringkat pemahaman terhadap al-Quran. Fokus utama IPaQ adalah mendidik golongan yang buta al-Quran kepada celik al-Quran.
IPaQ bukan sahaja menjalankan kelas di semenanjung Malaysia malah di Sabah dan Sarawak serta di luar negara seperti Kemboja, Indonesia, Filipina dan Australia.
IPaQ telah bersama-sama beberapa badan-badan kerajaan, badan-badan akademik serta badan-badan korporat serta badan-badan bukan kerajaan (NGO-NGO) lain dalam melaksanakan jalinan strategik bagi pembangunan dan pengembangan ilmu al-Quran.
Dato’ Razali merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak IPaQ di atas kesudian menjemput pihak PERKIM untuk menjalinkan kerjasama.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pihak IPaQ di atas usaha-usaha terbaik yang telah dilaksanakan.
Dato Razali berhasrat agar IPaQ dapat membantu PERKIM Kebangsaan untuk mendidik para mualaf celik al-Quran melalui kaedah yang sedia ada.
Jais Mariappan turut memberikan penerangan berkenaan Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan (KPIPK) pada setiap hari Isnin hingga Ahad.
Beliau turut mencadangkan Kelas Celik al-Quran boleh diadakan khusus buat anak-anak di Pusat Muhajirin Rohingya PERKIM dibawah seliaannya.
Tenaga Pengajar IPaQ, Hafizah Md Yusof memaklumkan berkenaan kaedah-kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) al-Quran yang dijalankan di sini.
Antaranya ialah kaedah ABAHATA, kaedah TAUFIQI dan kaedah Sekejap Faham al-Quran (SFaQ).
Selain itu, aktiviti yang diadakan untuk membimbing guru al-Quran iaitu latihan bagi jurulatih (TOT)’ selama dua hari.
Hafizah mencadangkan agar kaedah ABAHATA diguna pakai terutamanya kepada golongan mualaf kerana kaedah tersebut paling sesuai untuk golongan yang baru mula berjinak-jinak dengan al-Quran.
Menerusi hasil perbincangan, PERKIM Kebangsaan akan menghantar lima orang tenaga pengajar subjek al-Quran KPIPK untuk menyertai kursus yang diadakan oleh pihak IPaQ.
Tenaga pengajar IPaQ akan hadir ke PERKIM untuk mengendalikan kelas celik al-Quran pada hujung minggu khusus buat pelajar mualaf terutamanya yang baru memeluk agama Islam dalam tempoh 30 jam kredit.
Selain itu, kem celik al-Quran akan diadakan semasa cuti sekolah dalam tempoh yang terdekat manakala Kelas Celik al-Quran bagi anak-anak di Pusat Muhajirin Rohingya PERKIM juga akan diadakan mengikut kesesuaian.
Kunjungan berakhir dengan penyampaian cenderahati sebuah buku ‘Warisan dan Wawasan PERKIM’ dan plak kepada IPaQ disampaikan oleh Dato’ Razali manakala Dr Zulkifli turut menyampaikan sebuah buku Biografi Muhammad bin Abdullah sebagai cenderahati balas serta bergambar kenang-kenangan.
Kunjungan hormat PERKIM ke IPaQ di Seksyen 14, Petaling Jaya.
Dr Zulkifli (kanan) mengalu-alukan kehadiran rombongan dari PERKIM Kebangsaan.
Dr Zulkifli memberi penerangan fungsi IPaQ kepada PERKIM.
Jais mencadangkan Kelas Celik al-Quran boleh diadakan khusus buat anak-anak di Pusat Muhajirin Rohingya PERKIM.
Dato Razali berharap IPaQ dapat membantu PERKIM untuk mendidik para mualaf celik al-Quran.
Dato’ Razali menyampaikan cenderahati sebuah buku Warisan dan Wawasan PERKIM dan sebuah plak kepada Dr Zulkifli.
Dr Zulkifli menyampaikan cenderahati balas iaitu sebuah buku Biografi Muhammad bin Abdullah kepada Dato’ Razali.
Di harap jalinan kerjasama dua hala terutamanya dalam menyantuni golongan mualaf dan menitik beratkan pembelajaran al-Quran dapat dilaksanakan.
Rombongan PERKIM bergambar kenang-kenangan bersama warga IPaQ.