Aktiviti Dakwah

Impian Gadis Iban Peluk Islam Tercapai

oleh: SRZ

KUALA LUMPUR, 6 JULAI 2023 – Impian yang tersemat sejak kecil lagi untuk memeluk Islam tercapai akhirnya apabila Julinica melafazkan dua kalimah syahadah bertempat di Bilik Pengislaman Ibu Pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah pagi tadi.

Julinica atau nama Islamnya, Nurul Julinica Ezra Nicholas berketurunan Iban mengikrarkan kalimah toyyibah di hadapan Pengerusi PERKIM Cawangan Datuk Keramat, Ustaz Mohd Suhaimi Abd Aziz dan staf Unit Pembangunan Dakwah dan Operasi, Ustaz Haji Amran Anbarasu Abdullah.

Upacara pengislaman itu disaksikan bersama oleh bapa saudara Julinica, Abdul Rahman Abdullah dan rakannya Muhammad Adib Daniel Mohamad Nasahruddin.

Menurut Julinica yang berusia 21 tahun berkata, beliau sebelum ini sering kali bertanyakan kepada Abdul Rahman yang juga bekas pelajar Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP) bagi memenuhi hasratnya untuk memeluk Islam apabila bertemu di rumah saudara mara mereka.

Perasaan gembira dan syukur terukir diraut wajah gadis berasal dari Sarawak itu apabila beliau kini telah menjadi seorang penganut Islam.

Sebelum itu, Suhaimi telah memberi penerangan berkenaan pengertian Rukun Iman, pengertian Rukun Islam, tugas dan kewajipan sebagai seorang Islam kepada Julinica.

Julinica juga diberi penerangan kesan-kesan selepas pengislaman iaitu larangan menyembah selain Allah dan larangan membuat perkara yang ditegah dalam Islam.

Amran turut membantu proses pendaftaran pengislaman dan menasihatkan Julinica supaya mendalami agama Islam dengan mengikuti Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan yang diadakan pada setiap hari.

Suhaimi menyampaikan beg yang mengandungi kit pengislaman kepada Julinica dan diakhiri dengan bacaan doa kesyukuran.


Julinica (kanan) melafazkan dua kalimah syahadah dengan mengikuti setiap patah perkataan yang diucapkan oleh Suhaimi (kiri) dalam Bahasa Arab dan Bahasa Melayu.


Bapa saudara, Abdul Rahman dan Julinica menadah tangan ketika doa kesyukuran dibacakan.


Suhaimi memimpin bacaan doa kesyukuran seusai pengislaman.


Bergambar sambil mengangkat isyarat dua kalimah syahadah selepas pengislaman.

Related Articles

Back to top button