Majlis Muhibbah PERKIM Kebangsaan Bersama PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan
oleh: UMAG
KUALA LUMPUR, 25 SEPTEMBER 2024 – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan menganjurkan Majlis Jamuan Muhibah bersama PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan bertempat di Ballroom 2, ‘Tamu Hotel and Suites’ dekat sini, pada petang Rabu.
Majlis itu dihadiri kira-kira 60 orang terdiri daripada kalangan Ahli Jawatankuasa PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan, wakil dari Cawangan-cawangan PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan serta Kepimpinan PERKIM Kebangsaan.
Majlis tersebut diacarakan oleh Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan (UDPI) PERKIM Kebangsaan, Muhammad Farhan Tee Abdullah.
Bacaan doa pembuka majlis dipimpin oleh Pegawai UDPI PERKIM Kebangsaan, Muhammad Jais Mariappan Abdullah.
Majlis itu diadakan bagi mengeratkan hubungan silaturahim di antara PERKIM Kebangsaan dengan PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan serta cawangan-cawangannya.
Selain itu, ia juga dapat merapatkan ukhuwah Islamiah di antara PERKIM Pusat, Bahagian dan cawangan.
Pengerusi PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan, YBhg Datuk Haji Mohd Nakhaie Ahmad menyampaikan ucapan aluan.
Ia disusuli dengan ucapan Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.
Turut diadakan Anugerah Tokoh Mualaf Wilayah Persekutuan yang disampaikan kepada dua orang mualaf yang terpilih di atas sumbangan bakti dan jasa mereka kerana telah membantu PERKIM menjalankan usaha-usaha dakwah, kebajikan dan pendidikan di Wilayah Persekutuan.
Anugerah Tokoh Mualaf Muslimin dianugerahkan kepada Muhammad Haikal Chan Hook Hin manakala Anugerah Tokoh Mualaf Muslimat dianugerahkan kepada Masyitah Choon Lee Kuen.
Kedua-dua tokoh tersebut telah bergiat aktif dalam kegiatan dakwah serta aktiviti kesukarelawanan melalui PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan sejak 24 tahun lalu.
Mereka juga giat aktif berdakwah kepada masyarakat Cina yang belum Islam menggunakan bahasa pertuturan ibunda mereka iaitu Bahasa Mandarin.
Majlis diakhiri dengan sesi bergambar secara beramai-ramai serta jamuan makan petang.
Turut hadir ialah Bendahari Kehormat PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun; Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM Kebangsaan, YBhg Datuk Mohamad Nordin Ibrahim; Setiausaha Kehormat PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan, Haji Mohamad Mathurudi Rejab; Pengarah Kanan Dakwah PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin; Pengarah Unit Pembangunan dan Aset PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa serta Setiausaha Kerja Eksekutif PERKIM Kebangsaan, Zulkefli Arifin.

Dr Yusof Noor (kiri) bermesra ketika bertemu dengan Pengerusi PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan, YBhg Datuk Haji Mohd Nakhaie Haji Ahmad (kanan).

Majlis muhibbah dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan PERKIM Pacu Kemajuan.

Farhan Tee mengacarakan majlis muhibbah.

Jais Mariappan memimpin bacaan doa pembuka majlis.

Hadirin menadah tangan dan mengaminkan doa yang dibaca.

Datuk Nakhaie menyampaikan ucapan aluan di majlis tersebut.

Hadirin mendengar pesanan yang disampaikan oleh Datuk Nakhaie.

Dr Yusof Noor menyampaikan ucaptamanya selaku Setiausaha Agung Kehormat PERKIM.

Hadirin mendengar pesanan dan amanat yang disampaikan oleh Dr Yusof Noor.

Dr Yusof Noor menyampaikan Sijil Anugerah Tokoh Mualaf Muslimin Wilayah Persekutuan kepada Muhammad Haikal Chan Hook Hin.

Masyitah Choon Lee Kuen menerima Sijil Anugerah Tokoh Mualaf Muslimat Wilayah Persekutuan daripada Dr Yusof Noor.

Dr Yusof Noor turut menyampaikan cenderahati plak PERKIM kepada Datuk Nakhaie.

Majlis berakhir dengan sesi bergambar disusuli dengan jamuan makan.



