Duit Raya Aidilfitri Bank Rakyat Cawangan Jalan Ipoh Buat Mualaf PERKIM
KUALA LUMPUR, 6 MEI 2021 – Setiausaha Agung Kehormat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor menyampaikan sumbangan Aidilfitri Bank Rakyat kepada asnaf saudara baru bertempat di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat PERKIM Kebangsaan, Jalan Sultan Azlan Shah dekat sini.
Tan Sri Dr Yusof Noor dalam ucapannya mengucapkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana bekerjasama melaksanakan salah satu daripada ajaran agama Islam iaitu membantu atau memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan daripada yang ditakdirkan oleh Allah mendapat kemudahan.
Katanya, sebahagian hasil atau pendapatan yang kita perolehi sebenarnya dipunyai oleh orang lain, contohnya kita dapat RM1.00 tetapi 10 sen daripadanya adalah kepunyaan orang lain.
Beliau mengucapkan ucapan terima kasih kepada Bank Rakyat Cawangan Jalan Ipoh kerana memberi sumbangan Aidilfitri kepada asnaf khususnya saudara baru PERKIM.
Katanya, Bank Rakyat ini adalah satu usaha yang dibuat oleh Kerajaan Malaysia dan satu inisiatif yang perlu di buat untuk menubuhkan badan kewangan yang aktif dalam hal ehwal pengurusan kewangan.
Tambahnya, Bank Rakyat merupakan bank yang berjiwa rakyat, maka akhirnya walaupun penubuhan badan tersebut susah pada peringkat awalnya, ia mendapat sokongan daripada masyarakat yang membantu bank dengan menyimpan, melabur dan sebagainya.
Beliau mengucapkan tahniah kepada pihak pengurusan atasan hingga peringkat bawahan kerana telah berjaya berkembang dengan maju.
Tan Sri berharap Bank Rakyat Cawangan Jalan Ipoh menjadikan program sumbangan ini sebagai acara tahunan secara konsisten khususnya buat saudara baru.
Jelas beliau, harta yang ada pada mereka itu sebahagiannya dipunyai oleh orang yang lebih memerlukan.
Ujarnya, tidak ada satu kitab suci yang huruf dan perkataannya sama dengan Nabinya sebut kecuali Al-Quran Al-Karim.
Ia mempunyai kalimah, perkataan, sebutan dan lafaz yang sama seperti 1400 tahun yang dahulu.
Al-Quran tidak akan berubah meskipun 5,000 tahun kerana ia adalah satu mukjizat yang kekal hingga akhir zaman.
Di akhir ucapnnya, beliau mengucapkan Selamat Berbuka Puasa dan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada hadirin.
Turut hadir ialah Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Haji Hasbullah L. Isa; Pengarah Unit Perhubungan Dalam dan Luar Negara, YBhg Datuk Haji Abdul Hanif Harun; Setiausaha Kerja Pentabiran dan Program, YBhg Tuan Haji Mamat Che Chik; Setiausaha Kerja PERKIM Bahagian dan Cawangan; Encik Zulkefli Arifin dan Staf Bank Rakyat Cawangan Jalan Ipoh, Encik Zulkefli Abdul Wahab.
Sebelum itu, Pengurus Bank Rakyat Cawangan Jalan Ipoh, Encik Hamzah Ali menyampaikan ucapan.
Bacaan doa pembuka majlis dibaca oleh Pegawai Unit Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan PERKIM Kebangsaan, YBrs Ustaz Muhammad Jais Mariappan Abdullah.
Hamzah dalam ucapannya berkata, program itu adalah satu tanggungjawab sosial Bank Rakyat untuk membantu asnaf mualaf dan golongan yang memerlukan terutama yang terkesan dengan pandemik COVID-19
Katanya, sumbangan Aidilfitri sebanyak RM100 tunai itu diberikan kepada 50 orang mualaf.
Jelas Hamzah, beliau menamakan program ini sebagai Jangkauan Komuniti Jalinan Ramadan kerana ia adalah inisiatif hasil kutipan daripada sumbangan warga kerja Bank Rakyat dan orang ramai menerusi jalinan kerjasama antara Bank Rakyat dan Surau Al-Barakah Menara Kembar Bank Rakyat yang mensasarkan untuk mengumpulkan sebanyak RM100,000 bagi membantu 1,000 warga pada tahun ini.
Katanya, pihak Bank Rakyat sentiasa berusaha untuk membantu dengan memperkukuhkan jalinan bersama masyarakat supaya kehidupan mereka yang lebih bermakna.
Di harap bantuan dapat meringankan beban yang dihadapi oleh penerima dalam menyambut Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.
Tan Sri Dr Yusof Noor berkesempatan menyampaikan sumbangan Aidilfitri Bank Rakyat kepada 20 orang saudara baru sambil disaksikan oleh Hamzah Ali dan Zulkefli Abdul Wahab.
Pegawai Unit Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan PERKIM Kebangsaan, YBrs Ustaz Muhammad Farhan Tee Abdullah turut menyampaikan 30 sumbangan Aidilfitri Bank Rakyat kepada saudara baru di Tingkat 23, Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan (KPIPK).