Aktiviti Kebajikan

Tan Sri SUA PERKIM Agih 240 Kurma Kepada Masyarakat Di UTC Sentul

KUALA LUMPUR, 6 MEI 2021 – Sebanyak 240 kotak kurma telah diagihkan kepada orang ramai oleh Setiausaha Agung Kehormat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor di perkarangan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sentul, Bandar Baru Sentul pagi tadi.

Turut hadir ialah Setiausaha Kerja Pentadbiran dan Program, YBhg Tuan Haji Mamat Che Chik; Setiausaha Kerja PERKIM Bahagian dan Cawangan, Encik Zulkefli Arifin; Pegawai Unit Perancangan Penyelarasan dan Pelaksanaan PERKIM, YBrs Ustaz Muhammad Jais Mariappan Abdullah; Pembantu Pegawai Unit Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan PERKIM, Siti Fatimah Ladda Abdullah dan beberapa orang kakitangan PERKIM.

27 April lalu, kakitangan PERKIM telah mengedar sebanyak 200 kotak kurma di tempat yang sama dan kerana melihat sambutan masyarakat di situ menggalakkan, YBhg Tan Sri SUA PERKIM ingin menunaikan hasratnya untuk mengedarkan kurma kepada orang ramai di situ.

Dengan slogan yang tertera di kotak kurma, ‘Mensyukuri Nikmat Allah SWT’, PERKIM telah  mengagihkan ke beberapa kawasan di sekitar ibu kota seperti di perkarangan Bangunan PERKIM, Jalan Chow Kit, pusat membeli belah Sogo, Stesen LRT Masjid Jamek, Masjid India, Tasputra PERKIM, PPR Laksmana Jalan Peel, PPR Taman Wahyu di sepanjang bulan Ramadan yang penuh barakah ini kepada orang ramai tanpa mengira bangsa dan agama.

Di samping itu, PERKIM turut mengagihkan sebanyak 200 bungkus bubur setiap hari kepada orang ramai serta petugas sektor kerajaan dan swasta yang bekerja di Bangunan PERKIM.

PERKIM juga turut mengadakan aktiviti gotong-royong memasak dan mengagihkan bubur lambuk dan bubur PERKIM kepada orang ramai beberapa minggu lalu.

Amalan bersedekah lebih-lebih lagi di bulan mulia ini tidak akan mengurangkan harta, sebaliknya menambah harta dan menjauhkan kefakiran, kekurangan dan kesempitan malah Allah SWT akan menggantikan dengan yang lebih baik.

Ia bertepatan dengan Hadis Riwayat Imam Al-Bukhari yang bermaksud, Daripada Adiyie Hatim Radiallahuanhu berkata: Saya mendengar Rasulullah saw bersabda: “Takutlah kamu akan api neraka walaupun dengan (bersedekah) separuh buah kurma.”

Hadis ini menunjukkan amalan bersedekah walaupun hanya separuh buah kurma boleh menyelamatkan kita daripada api neraka.

Sandaran Hadis Riwayat Imam Ahmad pula, daripada Aisyah RA pula, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Jauhilah api neraka, walau hanya dengan bersedekah sebiji kurma.”

Kita telah mengetahui betapa besarnya pahala puasa Ramadhan. Bayangkan jika kita dapat menambah pahala puasa kita dengan pahala puasa orang lain, maka pahala yang kita raih akan berlipat ganda dan ia terlaksana dengan amalan bersedekah dengan memberikan hidangan berbuka puasa untuk orang lain yang berpuasa.

Rasulullah SAW bersabda:

“Orang yang memberikan hidangan berbuka puasa kepada orang lain yang berpuasa, ia akan mendapatkan pahala orang tersebut tanpa sedikitpun mengurangi pahalanya.” (Hadis Riwayat At-Tirmidzi)

Related Articles

Back to top button