Aktiviti Dakwah

Amal Sikap Senyum, Budi Bahasa Ketika Layani Tetamu – SUA PERKIM

oleh: SRZ

KUALA LUMPUR, 7 JULAI 2023 – “Kita hendaklah menceriakan bangunan ini dengan menjadikannya pusat perkembangan Islam, pusat perkhidmatan dan hal-hal berkaitan dengan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan selepas Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berpindah secara keseluruhan,” kata Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.

Beliau berkata ketika menyampaikan amanatnya di Majlis Perhimpunan Bulanan Warga PERKIM Kebangsaan diadakan di Ruang Legar, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah, di sini.

Seramai lebih 40 orang hadir terdiri daripada pegawai dan kakitangan PERKIM Kebangsaan, Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIP-KL) dan Pusat Pemulihan Komuniti Strok PERKIM (SCORE).

Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Penolong Pegawai IDIP-KL, Abdul Qawi Navine Abdullah.

Majlis tersebut diacarakan oleh Pegawai Unit Pembangunan Dakwah dan Operasi (UPDO), Muhammad Farhan Tee Abdullah.


Dr Yusof Noor mengajak warganya berfikir bagaimanakah cara untuk menjadikan Bangunan PERKIM diminati oleh mereka yang berkunjung di situ.

Katanya, kita akan adakan pelbagai aktiviti PERKIM bagi menambahkan lagi keceriaan para pengunjung di sini.

“Jika kita tidak mempamerkan akhlak mulia, senyuman manis dan budi bahasa berkemungkinan sukar untuk menarik mereka memeluk Islam.

“Kita perlu memberikan layanan dengan sambutan yang terbaik ketika mereka melangkah ke pintu masuk bangunan ini sekali gus memberikan perkhidmatan terbaik,” jelas beliau.

Menurutnya, hasrat Pengasas PERKIM, YTM Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ialah supaya Islam menjadi agama yang diminati dan baik.

Kata Dr Yusof Noor, terdapat pihak yang membuat tinjauan bagaimana organisasi seperti PERKIM melayani tetamu.

PERKIM bukan untuk orang Melayu dan bukan selama-lamanya akan menggunakan Bahasa Melayu sahaja, tetapi untuk mengembangkan Islam kita mesti mempunyai kemahiran dalam pelbagai bahasa.

Sekurang-kurangnya kita belajar menggunakan bahasa-bahasa lain kerana Islam untuk semua bangsa dan berbagai-bagai bahasa digunakan.

Kata beliau, pada zaman dahulu tidak ada kemudahan untuk belajar pelbagai bahasa kerana sewaktu awal kemerdekaan dahulu kita tertumpu kepada bahasa sendiri sahaja.

Apabila zaman berubah, masyarakat kita menjadi masyarakat kosmopolitan maka sudah tentu ada keperluan.

“Saya tidak tahu bahasa apakah yang boleh ditutur oleh warga PERKIM selain daripada Bahasa Melayu?

Kita memikirkan jika mereka berkebolehan dalam menguasai pelbagai bahasa, mereka akan diberikan keistimewaan dalam berbagai-bagai bentuk ganjaran atau insentif.

Kata Dr Yusof Noor, kebijaksanaan Almarhum Tunku di awal penubuhan PERKIM ialah membawa masuk pemimpin yang mempunyai latar belakang bangsa dan bahasa yang berbeza dengan satu tujuan berdakwah supaya Islam berkembang dengan cepat.

Antara pemimpin yang boleh berkomunikasi dalam bahasa yang lain ialah Yang Dipertua PERKIM yang pertama, Allahyarham Tan Sri SOK Ubaidullah yang mempunyai kemahiran bertutur dalam Bahasa Tamil atau Malayalam selain Bahasa Inggeris atau Bahasa Melayu.

Begitu juga Setiausaha Agung Kehormat PERKIM yang pertama iaitu Allahyarham Tan Sri Datuk Haji Dr Abdul Mubin Sheppard yang berkemahiran bertutur dalam Bahasa Inggeris atau Bahasa Belanda selain berbahasa Melayu.

Katanya, faktor inilah yang menyebabkan PERKIM menjadi terkenal dikenali oleh bangsa lain atau di negara lain.

Almarhum Tunku juga telah menanamkan asas yang sangat baik untuk diteruskan misinya oleh warga PERKIM.

Fokus untuk menguasai bahasa berlainan walaupun kurang diberi perhatian, tetapi ia masih belum terlambat untuk kita merancang semula iaitu dengan cara menggalakkan orang-orang tertentu yang mempunyai bakat dengan membangunkan kemahiran mereka.

Tiga bahasa iaitu Bahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil berdasarkan bahasa komuniti di Malaysia menjadi keutamaan untuk PERKIM berikan tumpuan.

Kita akan menjadikan ruang yang bakal dikosongkan itu dijadikan tempat mendapat informasi bagi melayani tetamu dan memberikan perkhidmatan kepada mereka.

Maklumat dan informasi mengenai Islam di antara perkhidmatan yang akan disediakan di sini selain tempat untuk mengucapkan dua kalimah syahadah.

“Lebih satu juta keping risalah mengenai Islam dalam pelbagai bahasa telah PERKIM edarkan menerusi masjid-masjid, tempat tumpuan pelancong dan permintaan daripada organisasi Islam.

“PERKIM akan mencari inisiatif dan berusaha supaya sekurang-kurangnya sekeping risalah PERKIM atau maklumat mengenai Islam dapat diberikan ke tangan pengunjung sebelum mereka meninggalkan bangunan ini.

“Tinggallah sumbangan kita bukan sahaja seperti mana tugasan yang diberi, tetapi kerja-kerja berkaitan dengan dakwah.

“Kita juga akan mengadakan kursus-kursus kepada kakitangan bagi meningkatkan penanan dan minat dalam kemajuan dakwah di PERKIM.

“PERKIM akan berusaha untuk bermualamalah dengan kelas atasan kerana mereka akan menjadi pembuka minat kepada peringkat bawahan untuk masuk Islam.

“Kita bukan sahaja berdakwah atau mengembangkan Islam kepada peringkat bawahan dan golongan susah tetapi dari semasa ke semasa kita perlu menumpukan pendekatan kepada golongan atasan atau intelektual,” ujar Dr Yusof Noor.

Di akhir amanat, beliau berkesempatan merakamkan ucapan Salam Maalhijrah 1445H yang akan disambut pada 19 Julai 2023 kelak.

Turut hadir ialah Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun; Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Haji Mohamad Nordin Ibrahim; Pengarah Kanan Dakwah PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin; Setiausaha Kerja Eksekutif PERKIM Kebangsaan, Encik Zulkefli Arifin; Pengarah Unit Aset dan Pembangunan PERKIM, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa; Pengarah Pembangunan Pendidikan dan Operasi PERKIM Kebangsaan, YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad serta Pengarah Unit Penerbitan dan Media Baru PERKIM Kebangsaan, Encik Firdaus Lokman Tah.


Farhan Tee mengacarakan Majlis Perhimpunan Bulanan Warga PERKIM Kebangsaan pagi tadi.


Abdul Qawi memimpin bacaan doa pembuka majlis.


Warga PERKIM Kebangsaan menadah tangan ketika doa dibacakan.


Kepimpinan PERKIM mengaminkan doa yang dibaca.


Dr Yusof Noor menyampaikan amanat kepada warganya.


Dr Yusof Noor menyarankan warganya agar mempamerkan akhlak mulia, senyuman manis dan budi bahasa antara tarikan pengunjung untuk memeluk Islam.


Ganjaran atau insentif tersedia kepada warga yang mampu menguasai pelbagai bahasa.


Warga PERKIM mendengar amanat yang disampaikan oleh Tan Sri Setiausaha Agung Kehormat.


Dr Yusof Noor menegaskan warganya agar mengembangkan Islam bukan sahaja kepada peringkat bawahan malah memberi pendekatan kepada golongan atasan atau intelektual

Related Articles

Back to top button