Aktiviti Dakwah

Pemuda Cina Jalan Kaki 3KM Ke PERKIM Untuk Peluk Islam

KUALA LUMPUR, 7 JULAI 2023 – Berjalan kaki seorang diri sejauh tiga kilometer dari hostelnya semata-mata untuk melafazkan dua kalimah syahadah di Ibu Pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan, Jalan Sultan Azlan Shah di sini.

Adam mengikrarkan kalimah toyyibah dalam Bahasa Arab disusuli Bahasa Mandarin dengan mengikut lafaz yang dituturkan oleh Pegawai Unit Pembangunan Dakwah dan Operasi, Ustaz Sulaiman Ding Yu Zhong.

Adam yang berasal dari Sabah berkata, hasratnya untuk mendaftarkan Islam telah lama terpendam setelah diberitahu oleh rakannya terdapat sebuah organisasi yang mendaftarkan Islam tidak jauh dari hostel.

Beliau yang merupakan pelajar semester satu sebuah kolej swasta di Jalan Pudu telah berjinak-jinak dengan Islam sejak usia 13 tahun lagi di Tawau, Sabah.

Adam Yong Wee Chung atau lebih mesra disapa Adam telah mengamalkan dan mendalami Islam dengan mempelajari fardu ain, solat, mengenal huruf al-Quran melalui rakan-rakannya sejak lima tahun lalu dan beliau memeluk Islam pada tahun 2020.

Melihat akhlak dan budi baik yang dipamerkan Adam, Allah SWT memberikan hidayah pada tahun 2022 kepada ibu bapanya dari bangsa campuran Cina-Hakka untuk memeluk Islam diikuti kakaknya pada tahun yang sama.

Adam yang fasih berbahasa Melayu, Mandarin, Kantonis dan Hakka sebelum ini tidak mendaftarkan lagi pengislamannya di mana-mana jabatan agama Islam kerana masih di bawah usia 18 tahun.

Keazaman dan kecekalan Adam dikagumi kerana beliau boleh berdikari seorang diri di ibu negara demi melanjutkan pelajarannya sejak awal tahun lalu.

Memandangkan kehidupan keluarga beliau menyara hidup dengan hasil pertanian dan berkebun, Adam terpaksa mengikat perut demi kelangsungan hidup.

Adam kadang kala berkongsi makanan dengan rakannya kerana tidak mencukupi wang untuk membeli makanan.

Sulaiman Ding telah memberi penerangan berkenaan Rukun Islam, Rukun Iman serta tugas dan kewajipan sebagai seorang Islam kepada Adam dalam Bahasa Mandarin.

Adam juga diberi penerangan berkenaan kesan-kesan selepas pengislaman iaitu larangan menyembah selain Allah SWT dan larangan membuat perkara yang ditegah dalam Islam.

Sulaiman Ding juga menegaskan kepada Adam bahawa tidak ada jalan keluar dari agama Islam kerana memeluk Islam adalah kekal hingga ke akhir hayat.

Di akhir pertemuan, Sulaiman Ding turut menyampaikan wang saguhati serta beg Majlis Agama Islam Islam Selangor (MAIS) yang mengandungi kit pengislaman seperti buku fardu ain, al-Quran, Iqra’, sejadah, risalah Islam dan lain-lain kepada Adam.

Turut menyaksikan pengislaman, Pegawai UPDO, Muhammad Farhan Tee Abdullah dan Nur Syahirah Musa.


Adam melafazkan dua kalimah syahadah di hadapan Sulaiman Ding dalam Bahasa Arab diikuti Bahasa Mandarin.


Adam berjalan kaki sejauh tiga kilometer seorang diri untuk menunaikan impiannya menjadi seorang Islam yang berdaftar setelah usianya mencecah 18 tahun.


Adam mendengar penerangan memeluk Islam daripada Sulaiman Ding.


Sulaiman Ding memberi penerangan mengenai tugas dan tanggungjawab sebagai seorang Islam.


Pegawai UPDO, Farhan Tee dan Nur Syahirah turut menjadi saksi pengislaman Adam.


Sulaiman Ding menyampaikan beg yang mengandungi kit pengislaman kepada Adam.

Related Articles

Back to top button