Aktiviti DakwahBerita PERKIM Bahagian & Cawangan

Kepimpinan PERKIM Perkukuh Hala Tuju Dakwah dan Tadbir Urus Sempena Lawatan Sulung Di PERKIM Bahagian Negeri Kelantan

ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ. ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ

𝐊𝐎𝐓𝐀 𝐁𝐇𝐀𝐑𝐔, 𝟐𝟗 𝐉𝐀𝐍𝐔𝐀𝐑𝐈 𝟐𝟎𝟐𝟔 – 𝐒𝐞𝐭𝐢𝐚𝐮𝐬𝐚𝐡𝐚 𝐀𝐠𝐮𝐧𝐠 𝐊𝐞𝐡𝐨𝐫𝐦𝐚𝐭 𝐏𝐞𝐫𝐭𝐮𝐛𝐮𝐡𝐚𝐧 𝐊𝐞𝐛𝐚𝐣𝐢𝐤𝐚𝐧 𝐈𝐬𝐥𝐚𝐦 𝐌𝐚𝐥𝐚𝐲𝐬𝐢𝐚 (𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌), 𝐘𝐁𝐡𝐠. 𝐃𝐚𝐭𝐨’ 𝐃𝐫. 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐌𝐨𝐡𝐚𝐦𝐚𝐝 𝐌𝐚𝐫𝐳𝐮𝐤𝐢 𝐌𝐨𝐡𝐚𝐦𝐚𝐝 𝐎𝐦𝐚𝐫 bersama 𝐁𝐞𝐧𝐝𝐚𝐡𝐚𝐫𝐢 𝐊𝐞𝐡𝐨𝐫𝐦𝐚𝐭 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌, 𝐘𝐁𝐡𝐠. 𝐃𝐚𝐭𝐮 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐌𝐞𝐫𝐬𝐚𝐥 𝐀𝐛𝐚𝐧𝐠 𝐑𝐨𝐬𝐥𝐢 mengadakan kunjungan hormat sulung ke Pejabat PERKIM Bahagian Negeri Kelantan di Taman Laksamana, di sini, petang Rabu.

Ketibaan kedua-dua pemimpin tertinggi PERKIM Kebangsaan itu pada jam 2.00 petang disambut mesra oleh 𝐒𝐞𝐭𝐢𝐚𝐮𝐬𝐚𝐡𝐚 𝐊𝐞𝐡𝐨𝐫𝐦𝐚𝐭 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌 𝐊𝐞𝐥𝐚𝐧𝐭𝐚𝐧, 𝐓𝐮𝐚𝐧 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐌𝐨𝐡𝐚𝐦𝐚𝐝 𝐍𝐚𝐳𝐢𝐫 𝐂𝐡𝐞 𝐈𝐛𝐫𝐚𝐡𝐢𝐦 bersama barisan warga kerja dan ahli jawatankuasa PERKIM Kelantan.

Dalam sesi pengenalan, Haji Nazir memperkenalkan barisan kepimpinan serta kakitangan PERKIM Kelantan, sekali gus mencerminkan hubungan erat dan semangat kekeluargaan antara kepimpinan kebangsaan dan negeri.

Kunjungan hormat tersebut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh hala tuju dakwah, pengurusan kewangan serta pembangunan strategik PERKIM di peringkat negeri dan kebangsaan selaras dengan cabaran semasa masyarakat Islam di Malaysia.

Dato’ Dr. Marzuki dalam ucapannya menekankan realiti cabaran dakwah masa kini yang menuntut pendekatan lebih berhikmah, inklusif dan berkesan dalam membina kepercayaan masyarakat merentas lapisan umur dan latar belakang.

Menurut beliau, kejayaan dakwah tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah semata-mata, sebaliknya melalui keikhlasan usaha serta kesan jangka panjang terhadap pembinaan akidah dan akhlak masyarakat.

Beliau turut berkongsi pengalaman peribadi dalam usaha dakwah dan pengislaman saudara baharu sebagai sumber motivasi dan pengajaran, khususnya dalam memastikan pendekatan dakwah sentiasa berteraskan hikmah, kasih sayang dan kefahaman mendalam terhadap realiti setempat.

Dalam pertemuan itu, Dato’ Dr. Marzuki turut menyentuh potensi pembangunan fasiliti Institut Dakwah Islamiah PERKIM Kota Bharu (IDIP-KB), termasuk cadangan pembinaan asrama lelaki, dewan makan serta masjid yang lebih terbuka kepada masyarakat setempat.

Menurut beliau, langkah tersebut penting bagi memastikan institusi PERKIM benar-benar berfungsi sebagai pusat komuniti, pendidikan dan dakwah yang hidup serta relevan.

Pendekatan integrasi dengan masyarakat luar melalui aktiviti keagamaan, kebajikan dan kemasyarakatan turut ditekankan agar masjid dan kemudahan PERKIM dapat dimanfaatkan secara optimum serta menjadi pemangkin perpaduan dan keharmonian masyarakat.

Sementara itu, Datu Mersal pula menumpukan perbincangan kepada aspek pengurusan kewangan dan dana dakwah yang mampan serta patuh syariah.

Beliau berkongsi pengalaman menginstitusikan pembayaran zakat syarikat di Sarawak melalui kerjasama dengan badan berautoriti, selain kaedah memanfaatkan dana zakat secara berhemah bagi tujuan dakwah dan kebajikan.

Menurut beliau, pendekatan kebajikan seperti pelaksanaan program “food bank” yang merentasi agama dan kaum terbukti berkesan dalam memperlihatkan keindahan ajaran Islam serta memperkukuh kefahaman dan keharmonian dalam masyarakat majmuk.

Beliau turut mengemukakan cadangan mewujudkan satu platform bersepadu PERKIM Kebangsaan bagi mengurus kutipan sumbangan, zakat dan wakaf di seluruh negara melalui sistem pembayaran digital (payment gateway) yang telus, berpusat dan diaudit.

Cadangan tersebut bertujuan meningkatkan keyakinan penderma, memudahkan pemantauan, memastikan pematuhan syariah serta mengelakkan ketirisan dana.

Dalam konteks itu, PERKIM Kebangsaan dicadangkan sebagai penyelaras utama, manakala hasil kutipan diagihkan secara adil dan teratur kepada negeri-negeri berkaitan mengikut keperluan dan keutamaan masing-masing.

Keseluruhannya, pertemuan berkenaan mencerminkan kesepakatan dan iltizam kepimpinan PERKIM dalam memperkukuh tadbir urus organisasi, memantapkan strategi dakwah berasaskan realiti semasa serta membina ekosistem kewangan yang mampan, telus dan berintegriti demi kelangsungan misi dakwah dan kebajikan PERKIM di peringkat negeri dan kebangsaan.

Sebagai tanda penghargaan dan kemesraan, pertemuan tersebut turut diserikan dengan hidangan istimewa berupa mi goreng, bihun goreng, makaroni goreng, pulut durian, kuih-muih tradisional Kelantan serta buah-buahan tempatan yang melambangkan keunikan budaya dan adat setempat.

Turut hadir ialah Naib Pengerusi 2 PERKIM Kedah, Haji Turedy Abdullah; Ahli Majlis Wanita PERKIM Kebangsaan, Hajah Norizan Ismail; Pengarah Pentadbiran PERKIM Kebangsaan, YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad; Eksekutif Pentadbiran PERKIM Kebangsaan, Ahmad Hasaidi Said; Eksekutif Kewangan PERKIM Kebangsaan, Mohd Aizat Rosli, Eksekutif PERKIM Kelantan, Ustazah Wan Zubaidah Wan Yusoff dan warga kerja PERKIM Kelantan.

 


Bangunan PERKIM Bahagian Negeri Kelantan terletak di Jalan Mahmood, Kota Bharu.

 

 


Setiausaha Agung Kehormat dan Bendahari Kehormat PERKIM mengadakan lawatan sulung mereka ke PERKIM Kelantan.

 


Dato’ Dr Marzuki dan Datu Mersal beramah mesra bersama Ahli Jawatankuasa dan warga kerja PERKIM Kelantan.

 

 


Haji Nazir (empat dari kiri) mengalu-alukan kehadiran kepimpinan baharu PERKIM Kebangsaan ke PERKIM Kelantan.

 

 


Datu Mersal (kiri) menumpukan perbincangan kepada aspek pengurusan kewangan dan dana dakwah.

 

 


Dato’ Marzuki (memakai topi) menekankan realiti cabaran dakwah masa kini yang menuntut pendekatan lebih berhikmah, inklusif dan berkesan.

 

 


Haji Nazir menyampaikan cenderahati PERKIM Kelantan kepada Dato’ Marzuki.

 

 


Datu Mersal menerima cenderahati PERKIM Kelantan daripada Haji Nazir.

 

 


Haji Nazir menyampaikan cenderahati PERKIM Kelantan kepada Dr Suariza.

 

 


Rombongan PERKIM Kebangsaan bergambar kenang-kenangan bersama Ahli Jawatankuasa dan Warga Kerja PERKIM Kelantan di akhir kunjungan.

Related Articles

Back to top button