Aktiviti Kebajikan

Gotong-Royong PERKIM Eratkan Semangat Mahabbah Bersama Komuniti Masyarakat Majmuk Siam Kampung Behor Gelam

𝙤𝙡𝙚𝙝: 𝙈𝙊𝙃𝘿. 𝙎𝙔𝘼𝙃𝙍𝙄𝙇 𝙍𝙊𝙎𝘿𝙄 𝘼𝙃𝙈𝘼𝘿 𝙕𝘼𝙃𝙐𝘿𝙄

𝗔𝗥𝗔𝗨, 𝟮𝟱 𝗦𝗘𝗣𝗧𝗘𝗠𝗕𝗘𝗥 𝟮𝟬𝟮𝟲 – Semangat kebersamaan dan keharmonian masyarakat majmuk terus disemarakkan menerusi Program Gotong-Royong Mahabbah Bersama Komuniti Masyarakat Majmuk Siam Kampung Behor Gelam, di sini, yang menghimpunkan lebih 50 penduduk kampung bersama sukarelawan dan urus setia Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM).

Program anjuran bersama PERKIM Kebangsaan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) itu berlangsung di persekitaran Dewan Serbaguna Kampung Behor Gelam, bermula jam 4 petang.

Program yang mendapat kerjasama PERKIM Bahagian Negeri Perlis itu bukan sahaja menjadi wadah memperkasa budaya gotong-royong dalam kalangan masyarakat setempat, malah mencerminkan komitmen PERKIM dalam menyantuni komuniti tanpa mengira latar belakang agama dan kaum menerusi pendekatan dakwah bil-hal yang berteraskan nilai mahabbah, kebersamaan dan kemanusiaan.


𝗡𝗮𝗶𝗯 𝗬𝗮𝗻𝗴 𝗗𝗶𝗽𝗲𝗿𝘁𝘂𝗮 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠, 𝗬𝗕 𝗗𝗮𝘁𝗼’ 𝗦𝗲𝗿𝗶 𝗗𝗿 𝗦𝗵𝗮𝗵𝗶𝗱𝗮𝗻 𝗞𝗮𝘀𝘀𝗶𝗺 berkata, program itu mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk Kampung Behor Gelam yang bersama-sama turun padang membersihkan kawasan dewan yang sekian lama terbiar.

“Alhamdulillah, hari ini PERKIM mengadakan gotong-royong di Kampung Behor Gelam bersama masyarakat Siam. Penyertaan orang kampung amat menggalakkan dan mereka bersama-sama membersihkan kawasan ini.

“Kawasan dewan ini asalnya sebuah sekolah yang sudah lama terbiar.

Sebelum ini memang ada usaha untuk memperbaiki tempat ini, namun apabila berlaku perubahan kerajaan, terdapat sedikit masalah.

“Bagaimanapun, kerajaan sekarang sudah memasukkan tempat ini dalam senarai untuk dibina semula dan diperbaiki,” kata Shahidan Kassim.

Menurut beliau, keadaan dewan tersebut sebelum ini amat memprihatinkan apabila terdapat tumbuhan yang sudah mula tumbuh sehingga ke dalam bangunan, sekali gus menjejaskan fungsi kemudahan berkenaan sebagai tempat masyarakat setempat berhimpun dan menjalankan aktiviti kemasyarakatan.

Katanya, masyarakat Siam di kawasan berkenaan memerlukan sebuah lokasi yang sesuai untuk menjalankan pelbagai kegiatan, termasuk mesyuarat dan program komuniti.

“Saya lihat sendiri, sehingga ke dalam dewan pun sudah tumbuh pokok. Ini sesuatu yang tidak wajar berlaku kerana masyarakat di sini tidak mempunyai tempat yang sesuai untuk berkumpul.

“Dahulu, tempat ini menjadi lokasi untuk pelbagai mesyuarat dan aktiviti masyarakat, tetapi apabila tidak dijaga dengan baik, akhirnya keadaan menjadi seperti sekarang.

“Hari ini PERKIM hadir untuk bergotong-royong dan saya mengucapkan terima kasih kepada semua penduduk yang bersama-sama menjayakan usaha ini. Insya-Allah, kita akan pastikan kawasan ini sentiasa bersih dan PERKIM turut menyediakan peralatan gotong-royong untuk membantu masyarakat menjaga kawasan ini,” katanya.

Turut hadir, 𝗕𝗲𝗻𝗱𝗮𝗵𝗮𝗿𝗶 𝗞𝗲𝗵𝗼𝗿𝗺𝗮𝘁 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗕𝗮𝗵𝗮𝗴𝗶𝗮𝗻 𝗡𝗲𝗴𝗲𝗿𝗶 𝗣𝗲𝗿𝗹𝗶𝘀, 𝗧𝘂𝗮𝗻 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗠𝗼𝗵𝗱 𝗔𝗿𝘀𝗵𝗮𝗱 𝗗𝗮𝘂𝗱.


Sementara itu, 𝗣𝗲𝗻𝘆𝗲𝗹𝗮𝗿𝗮𝘀 𝗣𝗿𝗼𝗴𝗿𝗮𝗺, 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱 𝗝𝗮𝗶𝘀 𝗠𝗮𝗿𝗶𝗮𝗽𝗽𝗮𝗻 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵 berkata, aktiviti gotong-royong itu berjaya dilaksanakan hasil kerjasama erat antara PERKIM Kebangsaan, PERKIM Perlis dan masyarakat setempat.

Menurutnya, antara aktiviti yang dilaksanakan termasuk membersihkan dan mencuci dewan, mengemas kawasan sekitar, memotong rumput, menyapu sampah serta mengalihkan longgokan sampah yang telah lama terbiar.

“Alhamdulillah, kami bersyukur kerana kebanyakan penduduk kampung turut serta dalam menjayakan aktiviti gotong-royong ini.

“Kami bersama-sama membersihkan dewan, mengemas dan mencuci kawasan, memotong rumput serta mengangkat sampah yang telah lama dilonggokkan di sekitar kawasan dewan serbaguna ini.

“Program ini sangat meriah kerana mendapat kehadiran dan kerjasama yang baik daripada penduduk setempat,” kata Jais Mariappan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada MAIWP selaku penyumbang utama yang menyediakan dana bagi pembelian peralatan gotong-royong untuk kegunaan program berkenaan.

Katanya, usaha mendekati masyarakat di Kampung Behor Gelam akan diteruskan menerusi beberapa pengisian susulan, termasuk program sukaneka dan ziarah dari rumah ke rumah bagi menyampaikan bantuan berbentuk kit makanan yang ditaja sepenuhnya oleh MAIWP.

“Alhamdulillah, hasil program hari ini amat memberangsangkan. Semangat sukarelawan yang ditunjukkan cukup tinggi apabila mereka sanggup hadir dan bekerjasama tanpa mengira kaum dan bangsa.

“Inilah semangat yang ingin kita pupuk melalui program seperti ini, iaitu kebersamaan, saling menghormati dan membantu antara satu sama lain,” katanya.

Dalam program tersebut, urus setia PERKIM bersama penduduk kampung berganding bahu membersihkan bahagian dalam dan persekitaran dewan, memungut sampah sarap, mencuci bangunan, memotong rumput serta membersihkan longgokan sampah yang terbiar.

Sampah yang dikumpulkan kemudiannya dimasukkan ke dalam tong Roll-On Roll-Off (RORO) yang disediakan bagi memastikan kawasan berkenaan kembali bersih, kemas dan selamat untuk digunakan oleh masyarakat.

Turut menyertai aktiviti gotong-royong itu ialah urus setia PERKIM iaitu 𝗛𝗮𝘀𝗵𝗶𝗺𝗮𝗵 𝗛𝗮𝘀𝗵𝗶𝗺, 𝗔𝘇𝘂𝗿𝗮 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹 𝗥𝗮𝗵𝗺𝗮𝗻, 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗺𝘂𝗯𝗲𝗲𝗻 𝗬𝗮𝗻𝘆𝗮, 𝗙𝗮𝘁𝗶𝗻 𝗔𝗸𝗺𝗮𝗹 𝗔𝗸𝘀𝗮𝗵 dan 𝗡𝗮𝘀𝘇𝗿𝗶 𝗢𝘀𝗺𝗮𝗻.

Program kemudian disusuli sesi ramah mesra antara penduduk kampung dengan Dato’ Seri Shahidan sebelum diakhiri dengan sesi fotografi bersama serta jamuan ringan.

Program berkenaan sekali gus memperlihatkan pendekatan PERKIM dalam memperkukuh jaringan kemasyarakatan melalui aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan, selain menyemai nilai persaudaraan, saling menghormati serta semangat hidup bersama dalam masyarakat berbilang kaum.

 


Penduduk Kampung Behor Gelam bekerjasama memasang banner gotong-royong di hadapan khemah.

 


Urus setia bersama penduduk kampung mengangkat sampah sarap, daun-daun dan rumput kering ke dalam plastik sampah.

 

 


Jais Mariappan membuang sampah yang disodok ke dalam roro manakala yang lain mencangkul timbunan sampah sebelum dibuang.

 


Penduduk kampung membersihkan dan mencuci ruang dalam dewan yang dipenuhi habuk dan sampah sarap.

 


Urus setia PERKIM mengutip daun-daun kering yang telah disapu ke dalam plastik sampah.

 


Timbunan sampah telah dibersihkan dengan kerjasama penduduk Kampung Behor Gelam.

 


Jais Mariappan menyambut Naib Yang Dipertua PERKIM, Dato’ Seri Shahidan Kassim ke tapak gotong-royong.

 


Dato’ Seri Shahidan Kassim meluangkan masa bertemu dan menyantuni penduduk kampung.

 


Selesai gotong-royong, Dato’ Seri Shahidan Kassim bergambar bersama-sama penduduk Kampung Behor Gelam.

 


Urus setia PERKIM Kebangsaan dan PERKIM Perlis juga tidak ketinggalan bergambar bersama Dato’ Seri Shahidan Kassim sambil menunjukkan ‘mini love’.

 

Related Articles

Back to top button