Aktiviti KebajikanBerita PERKIM Bahagian & Cawangan

PERKIM Perkukuh Jalinan Harmoni Bersama Komuniti Portugis Melalui Program Mahabbah

ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ. ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ

𝗠𝗘𝗟𝗔𝗞𝗔, 𝟭𝟭 𝗝𝗨𝗟𝗔𝗜 𝟮𝟬𝟮𝟲 – Semangat perpaduan, kebersamaan dan keharmonian masyarakat majmuk terus diperkukuhkan apabila Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menganjurkan Program Mahabbah Komuniti Masyarakat Majmuk Portugis di Kampung Portugis, Ujong Pasir dekat sini hari ini.

Program yang dilaksanakan dengan kerjasama PERKIM Bahagian Negeri Melaka dan PERKIM Cawangan Ujong Pasir itu merangkumi aktiviti gotong-royong, ziarah mahabbah serta sukaneka yang melibatkan penyertaan penduduk setempat daripada pelbagai lapisan umur.

Walaupun berdepan cabaran hujan lebat sejak awal pagi, program tetap diteruskan dengan penuh semangat oleh para sukarelawan dan penduduk kampung.

Aktiviti gotong-royong yang dijadualkan bermula pada pukul 9 pagi terpaksa ditangguhkan sebelum dimulakan sekitar pukul 10.30 pagi di Rumah Pangsa SUK Blok B, Kampung Portugis.

Para peserta berganding bahu membersihkan kawasan persekitaran flat, koridor, tangga, kawasan pembuangan sampah serta Surau Ar-Rasul Rumah Pangsa SUK Ujong Pasir.

Kerja-kerja pembersihan melibatkan penyapuan, pencucian lantai menggunakan sabun, penggunaan mesin pancutan air bertekanan tinggi (water jet) serta pemotongan rumput di kawasan Dewan Terbuka Ujong Pasir.


𝗣𝗲𝗻𝘆𝗲𝗹𝗮𝗿𝗮𝘀 𝗣𝗿𝗼𝗴𝗿𝗮𝗺, 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱 𝗙𝗮𝗿𝗵𝗮𝗻 𝗧𝗲𝗲 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵 berkata, program berkenaan merupakan sebahagian usaha PERKIM dan MAIWP dalam menyemarakkan nilai kemanusiaan, kebersamaan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama.

Menurut beliau, selain gotong-royong, pihak penganjur turut melaksanakan sesi ziarah mahabbah melibatkan 50 keluarga masyarakat Portugis di sekitar Flat SUK Blok B dan kawasan perumahan Kampung Portugis.

“Program ini memberi peluang kepada kami untuk mendekati masyarakat setempat secara lebih dekat serta memahami kehidupan mereka. Walaupun cuaca tidak mengizinkan pada sebelah pagi, semangat para sukarelawan dan penduduk untuk menjayakan program ini amat membanggakan.

“Sepanjang sesi ziarah, kami telah menyampaikan sumbangan bakul makanan, barangan keperluan harian dan bahan pencuci kepada 50 keluarga yang terdiri daripada warga emas, orang kurang upaya (OKU), individu uzur serta keluarga yang memerlukan bantuan,” kata Ustaz Farhan Tee yang merupakan Eksekutif Dakwah PERKIM Kebangsaan.

Beliau berkata, sambutan yang diterima daripada masyarakat Portugis amat menggalakkan dan mencerminkan hubungan baik yang terjalin antara PERKIM dengan komuniti setempat.

Sementara itu, 𝗣𝗲𝗻𝗴𝗲𝗿𝘂𝘀𝗶 𝗝𝗮𝘄𝗮𝘁𝗮𝗻𝗸𝘂𝗮𝘀𝗮 𝗞𝗲𝗺𝗮𝗷𝘂𝗮𝗻 𝗱𝗮𝗻 𝗞𝗲𝘀𝗲𝗹𝗮𝗺𝗮𝘁𝗮𝗻 𝗞𝗮𝗺𝗽𝘂𝗻𝗴 (𝗝𝗞𝗞𝗞) 𝗞𝗮𝗺𝗽𝘂𝗻𝗴 𝗨𝗷𝗼𝗻𝗴 𝗣𝗮𝘀𝗶𝗿, 𝗜𝗴𝗻𝗶𝘁𝗶𝘂𝘀 𝗚𝗲𝗿𝗮𝗹𝗱 𝗗𝗮𝗻𝗸𝗲𝗿 bersama 𝗔𝗵𝗹𝗶 𝗝𝗮𝘄𝗮𝘁𝗮𝗻𝗸𝘂𝗮𝘀𝗮 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗖𝗮𝘄𝗮𝗻𝗴𝗮𝗻 𝗨𝗷𝗼𝗻𝗴 𝗣𝗮𝘀𝗶𝗿, 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱 𝗛𝗮𝗶𝗸𝗮𝗹 𝗝𝗮𝗺𝗲𝘀 turut berperanan sebagai juru pandu sepanjang sesi ziarah dari rumah ke rumah.

Mereka membantu memperkenalkan para sukarelawan kepada penduduk setempat selain menyampaikan bakul makanan dan menjemput mereka menghadiri Program Dialog Harmoni yang turut menjadi sebahagian daripada pengisian Program Mahabbah Komuniti Masyarakat Majmuk Portugis.


Menurut 𝗘𝗸𝘀𝗲𝗸𝘂𝘁𝗶𝗳 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗕𝗮𝗵𝗮𝗴𝗶𝗮𝗻 𝗡𝗲𝗴𝗲𝗿𝗶 𝗠𝗲𝗹𝗮𝗸𝗮, 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱 𝗛𝗮𝘇𝗶𝗾 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵 𝗧𝗵𝗮𝗻𝗶, program seumpama itu menjadi platform terbaik untuk mengeratkan hubungan antara masyarakat pelbagai kaum dan agama.

“Melalui aktiviti gotong-royong, ziarah serta sukaneka, kita dapat membina hubungan yang lebih rapat dengan masyarakat Portugis di Ujong Pasir. Kehadiran semua pihak pada hari ini membuktikan bahawa semangat perpaduan dan keharmonian sentiasa subur dalam masyarakat kita,” katanya.

Menurut beliau, program tersebut turut memberi peluang kepada para peserta untuk berkongsi pandangan, bertukar pengalaman serta membina jaringan persahabatan yang lebih erat.


Dalam pada itu, 𝗦𝗲𝘁𝗶𝗮𝘂𝘀𝗮𝗵𝗮 𝗪𝗮𝗻𝗶𝘁𝗮 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗖𝗮𝘄𝗮𝗻𝗴𝗮𝗻 𝗨𝗷𝗼𝗻𝗴 𝗣𝗮𝘀𝗶𝗿, 𝗔𝘄𝗮𝗺𝗶 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵 melahirkan rasa syukur kerana keseluruhan program berjalan lancar walaupun berdepan keadaan cuaca yang kurang baik.

Katanya, sambutan yang diberikan oleh penduduk Kampung Portugis amat menggalakkan dan menunjukkan penerimaan positif terhadap usaha yang dilaksanakan oleh PERKIM dan MAIWP.

“Penduduk menyambut baik kehadiran kami dan amat menghargai bantuan yang disampaikan. Program seperti ini bukan sahaja memberi manfaat kepada penerima, malah mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara masyarakat pelbagai kaum dan agama,” katanya.

Pada sebelah petang, suasana bertambah meriah apabila pelbagai acara sukaneka diadakan di Dewan Terbuka Ujong Pasir yang melibatkan penyertaan kanak-kanak, remaja serta ibu bapa.

Antara acara yang dipertandingkan ialah belon beracun, tiup belon sehingga pecah, mencari gula-gula dalam tepung dan muzik belon yang mencetuskan suasana ceria serta penuh gelak tawa dalam kalangan peserta.


𝗣𝗲𝗹𝗮𝗷𝗮𝗿 𝗟𝗮𝘁𝗶𝗵𝗮𝗻 𝗜𝗻𝗱𝘂𝘀𝘁𝗿𝗶 𝗨𝗻𝗶𝘃𝗲𝗿𝘀𝗶𝘁𝗶 𝗦𝗮𝗶𝗻𝘀 𝗜𝘀𝗹𝗮𝗺 𝗠𝗮𝗹𝗮𝘆𝘀𝗶𝗮 (𝗨𝗦𝗜𝗠) 𝗱𝗶 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮𝗮𝗻, 𝗨𝗺𝗺𝘂𝗹 𝗠𝘂𝗿𝘀𝗵𝗶𝗱𝗮 𝗠𝗮𝘁 𝗦𝗵𝘂𝗾𝗶 berkata, pengalaman menyertai sesi ziarah tersebut membuka ruang untuk beliau memahami kehidupan masyarakat Portugis dengan lebih dekat.

“Program ini memberi peluang kepada kami untuk berinteraksi secara langsung dengan penduduk setempat, mendengar kisah kehidupan mereka dan memahami cabaran yang dihadapi. Ia merupakan pengalaman yang sangat berharga dalam membentuk sifat empati serta keprihatinan terhadap masyarakat,” katanya.


Seorang lagi 𝗣𝗲𝗹𝗮𝗷𝗮𝗿 𝗟𝗮𝘁𝗶𝗵𝗮𝗻 𝗜𝗻𝗱𝘂𝘀𝘁𝗿𝗶 𝗨𝗦𝗜𝗠, 𝗡𝘂𝗿ul ‘𝗜𝘇𝘇𝗮𝗵 𝗦𝗮𝗹𝗶𝗺𝗶 pula berpendapat aktiviti gotong-royong dan sukaneka berjaya mewujudkan suasana mesra serta mengukuhkan hubungan antara sukarelawan dan penduduk kampung.

“Melalui aktiviti seperti ini, masyarakat dapat bekerjasama dalam suasana yang santai dan harmoni. Ia bukan sahaja menceriakan persekitaran, malah menjadi medium terbaik untuk mengeratkan hubungan sesama komuniti,” katanya.

Hadir sama mewakili PERKIM Kebangsaan ialah Timbalan Eksekutif Kewangan II, Mohamad Azrol Mohd. Azmi; Timbalan Eksekutif Pentadbiran, Hashimah Hashim serta Pembantu Tadbir, Fatin Akmal Aksah.

Turut hadir ialah Timbalan Eksekutif PERKIM Bahagian Negeri Melaka, Muhammad Shahril Abdul Rahman; Pembantu Am PERKIM Bahagian Negeri Melaka, Mohd. Zafran Jabbar; Pengerusi PERKIM Cawangan Ujong Pasir, Ciku Hasni Dolmat; Ketua Wanita PERKIM Cawangan Ujong Pasir, Rafedah Othman serta barisan sukarelawan yang menjayakan program tersebut.

Program Mahabbah Komuniti Masyarakat Majmuk Portugis itu membuktikan komitmen berterusan PERKIM dan MAIWP dalam memperkukuhkan hubungan harmoni masyarakat berbilang kaum menerusi pendekatan kebajikan, kemasyarakatan dan dakwah bil hal yang menyentuh hati masyarakat setempat.

 


Farhan Tee bersama PERKIM Melaka dan PERKIM Ujong Pasir membawa pek makanan dalam sesi ziarah penduduk kampung.

 


Penduduk kampung bersama sukarelawan membersihkan koridor Blok B Pangsapuri SUK Ujong Pasir.

 


Lantai yang telah dicuci dibilas dengan penyapu dan air.

 


‘Izzah berkesempatan membersihkan lantai Blok B selepas mencucinya.

 


Pasukan terdiri daripada PERKIM Kebangsaan, PERKIM Melaka, PERKIM Ujong Pasir dan penduduk kampung bergambar selepas selesainya aktiviti gotong-royong.

 


Rombongan menziarahi rumah Ismail Nonice sambil menyampaikan pek makanan di pangsapuri Blok B.

 


Farhan Tee bersama urus setia menyampaikan pek makanan kepada penduduk kampung, Moses Endricks.

 


Wihemina Marsh diziarahi rombongan PERKIM sambil disampaikan pek makanan tajaan MAIWP.

 


Rombongan PERKIM menziarahi sambil menyampaikan pek makanan kepada Dirathy Santa Maria.

 


Wanita berketurunan Portugis diziarahi rombongan PERKIM sambil disampaikan pek makanan.

 


Royce Leofarnell yang mengalami strok diziarahi sambil disampaikan sumbangan makanan oleh Haziq dan Azrol.

 


Gelagat peserta dalam sukaneka acara belon beracun.

 


Acara ‘cari gula-gula dalam tepung’ merupakan sukaneka yang digemari oleh kanak-kanak kampung.

 


Keadaan wajah kanak-kanak selepas acara mencari gula-gula dalam tepung.

 


Pengerusi PERKIM Cawangan Ujong Pasir, Cikgu Hasni Dolmat bersama ahli dan sukarelawan yang bersama-sama menjayakan program ini.

 


Kanak-kanak meniup belon bersungguh-sungguh dalam acara ‘tiup belon sampai pecah’.

 


Muzik belon merupakan sukaneka yang terakhir disertai oleh penduduk kampung dan urus setia.

 

Related Articles

Back to top button