Ziarah Kebajikan PERKIM-MAIWP Santuni Penghuni Pusat Jagaan Insan Tersayang
ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ. ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ
𝗦𝗨𝗡𝗚𝗔𝗜 𝗣𝗘𝗧𝗔𝗡𝗜, 𝟮𝟱 𝗝𝗨𝗡 𝟮𝟬𝟮𝟲 – Keprihatinan terhadap golongan memerlukan terus menjadi agenda utama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) apabila menganjurkan Program Ziarah Kebajikan ke Pusat Jagaan Insan Tersayang di SP Heights, dekat sini pada pagi Khamis.
Program hasil kerjasama antara PERKIM Kebangsaan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) itu turut melibatkan PERKIM Bahagian Negeri Kedah, PERKIM Cawangan Daerah Kuala Muda serta Persatuan Dakwah Islamiah dan Kebajikan Saudara Baru India Se-Malaysia (Al-Hidayah) Kedah.
Majlis dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Urus Setia PERKIM Kebangsaan, Muhamad Fardly Johan selaku pengerusi majlis sebelum diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh 𝗣𝗲𝗻𝘆𝗲𝗹𝗶𝗮 𝗣𝘂𝘀𝗮𝘁 𝗝𝗮𝗴𝗮𝗮𝗻 𝗜𝗻𝘀𝗮𝗻 𝗧𝗲𝗿𝘀𝗮𝘆𝗮𝗻𝗴, 𝗦𝘆𝗲𝗱 𝗜𝗸𝗿𝗮𝗺 𝗦𝘆𝗲𝗱 𝗠𝗮𝗵𝗮𝗱𝗵𝗶𝗿.
Menurut Syed Ikram, mengalu-alukan kehadiran rombongan daripada PERKIM Kebangsaan, PERKIM Kedah, PERKIM Kuala Muda dan Al-Hidayah Kedah ke pusat ini.
Jelasnya, pusat jagaan tersebut berfungsi sebagai institusi penjagaan khusus bagi golongan lelaki yang memerlukan pemantauan rapi termasuk pesakit mental yang mempunyai rekod rawatan psikiatri, warga emas, orang kurang upaya (OKU) serta bekas penagih dadah.
“Pusat ini menyediakan persekitaran yang selamat dan kondusif bagi membantu penghuni menjalani kehidupan yang lebih teratur selain menerima pemantauan kesihatan secara berterusan,” ujarnya.

𝗣𝗲𝗻𝘆𝗲𝗹𝗮𝗿𝗮𝘀 𝗣𝗿𝗼𝗴𝗿𝗮𝗺, 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱 𝗝𝗮𝗶𝘀 𝗠𝗮𝗿𝗶𝗮𝗽𝗽𝗮𝗻 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵 dalam ucapannya berkata, kunjungan tersebut merupakan amanah yang digalas oleh PERKIM dan MAIWP dalam memastikan golongan yang memerlukan tidak terpinggir daripada perhatian masyarakat.
Beliau yang mewakili 𝗦𝗲𝘁𝗶𝗮𝘂𝘀𝗮𝗵𝗮 𝗔𝗴𝘂𝗻𝗴 𝗞𝗲𝗵𝗼𝗿𝗺𝗮𝘁 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮𝗮𝗻, 𝗬𝗕𝗵𝗴. 𝗗𝗮𝘁𝗼’ 𝗗𝗿. 𝗠𝗼𝗵𝗮𝗺𝗮𝗱 𝗠𝗮𝗿𝘇𝘂𝗸𝗶 𝗠𝗼𝗵𝗮𝗺𝗮𝗱 𝗢𝗺𝗮𝗿, menzahirkan penghargaan kepada pihak pengurusan pusat jagaan yang telah menunjukkan komitmen tinggi dalam menjaga kebajikan penghuni.
“Pengorbanan yang dicurahkan oleh pengurusan pusat ini amat besar kerana ia bukan sekadar melibatkan tenaga dan masa, bahkan memerlukan kekuatan emosi, kesabaran serta keikhlasan yang tinggi.
“Kehadiran kami hari ini bukan hanya untuk menyampaikan sumbangan, tetapi juga sebagai tanda sokongan dan penghargaan kepada semua petugas yang bertungkus-lumus menjaga penghuni di sini,” kata Ustaz Jais Mariappan.
Beliau turut mendoakan agar semua penghuni diberikan kesembuhan, ketenangan dan kekuatan oleh Allah SWT, manakala para petugas terus dikurniakan kesabaran serta ketabahan dalam melaksanakan amanah yang mulia itu.
Program ziarah tersebut mencerminkan komitmen berterusan PERKIM dan MAIWP dalam memperkukuh agenda kebajikan masyarakat serta menyemarakkan nilai kasih sayang, ihsan dan keprihatinan terhadap golongan rentan tanpa mengira latar belakang.
Usaha seumpama itu dilihat mampu mengukuhkan jaringan kerjasama antara badan dakwah, institusi kebajikan dan masyarakat dalam memastikan kebajikan golongan memerlukan terus terbela serta mendapat perhatian sewajarnya.
Turut hadir ialah Timbalan Eksekutif PERKIM Bahagian Negeri Kedah, Hazirah Azmi; Penolong Setiausaha PERKIM Cawangan Daerah Kuala Muda, Ustazah Juhana Halimah Johari serta Ahli Jawatankuasa PERKIM Cawangan Daerah Kuala Muda, Hajah Siti Meriam Shariff.
Hadir sama dalam program tersebut ialah Setiausaha Al-Hidayah Kedah, Ustaz Mohd Firdaus Abdullah dan Bendahari Al-Hidayah Kedah, Ustazah Nurasiqin Abdullah.

Sementara itu, 𝗣𝗲𝗻𝗴𝗮𝘀𝗮𝘀 𝗣𝘂𝘀𝗮𝘁 𝗝𝗮𝗴𝗮𝗮𝗻 𝗜𝗻𝘀𝗮𝗻 𝗧𝗲𝗿𝘀𝗮𝘆𝗮𝗻𝗴, 𝗞𝗵𝗮𝗶𝗿𝘂𝗹 𝗔𝘇𝗺𝗮𝘁 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹 𝗔𝘇𝗶𝘇 berkata, pusat berkenaan menyediakan pelbagai perkhidmatan penjagaan dan pemantauan harian kepada golongan yang memerlukan perhatian khusus.
Katanya, antara kumpulan sasaran utama ialah pesakit mental yang mempunyai rekod rawatan psikiatri, warga emas yang memerlukan pengurusan harian, golongan OKU termasuk individu autisme dan pesakit terlantar serta bekas penagih dadah yang memerlukan pemantauan susulan dalam suasana terkawal.
“Selain menyediakan tempat perlindungan yang sesuai kepada golongan asnaf dan individu kurang berkemampuan, kami turut membantu penghuni mendapatkan rawatan hospital serta memantau keadaan kesihatan mereka secara berkala.
“Setiap penghuni yang diterima masuk perlu mendapatkan pengesahan psikiatri daripada doktor atau pihak hospital bagi memastikan proses penjagaan dapat dilaksanakan secara sistematik dan selamat,” katanya.
Menurut beliau, pengalaman lebih sedekad dalam bidang pengurusan individu berkaitan kesihatan mental dan psikologi menjadi pemangkin kepada penubuhan pusat tersebut pada tahun 2018.
“Ketika memulakan operasi, pusat ini hanya menempatkan beberapa penghuni sahaja. Alhamdulillah, hari ini kami menjaga kira-kira 60 penghuni yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk enam saudara baharu.
“Kami berusaha mengekalkan kadar bayaran yang berpatutan bagi membantu keluarga yang tidak mampu menyediakan penjagaan sepenuh masa kepada ahli keluarga mereka,” katanya.
Di penghujung program, Ustaz Jais Mariappan telah menyampaikan sumbangan barangan makanan tajaan MAIWP kepada penghuni Pusat Jagaan Insan Tersayang.
Sumbangan tersebut merangkumi keperluan harian seperti susu tepung, oat dan biskut bagi membantu menampung keperluan penghuni pusat jagaan berkenaan.
Sumbangan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan PERKIM dan MAIWP dalam memperkasa agenda kebajikan serta meringankan beban institusi yang memainkan peranan penting dalam menjaga golongan memerlukan, khususnya warga emas, orang kurang upaya (OKU), pesakit mental dan bekas penagih dadah.
Sebagai tanda penghargaan atas komitmen dan dedikasi yang ditunjukkan dalam menguruskan pusat jagaan tersebut, Ustaz Jais Mariappan mewakili Setiausaha Agung Kehormat PERKIM turut menyampaikan plak cenderamata PERKIM kepada Khairul Azmat dan diakhiri dengan sesi fotografi kenang-kenangan.
Turut hadir dari PERKIM Kebangsaan ialah Timbalan Eksekutif Kewangan, Azura Abdul Rahman; Penolong Eksekutif Dakwah 1, Ustaz Haji Amran Anbarasu Abdullah; Penolong Eksekutif Dakwah 2, Siti Fatimah Ladda Abdullah serta Pembantu Tadbir, Fatin Akmal Aksah.

PERKIM Kebangsaan bersama MAIWP memilih Pusat Jagaan Insan Tersayang untuk ziarah dan menyantuni penghuninya.

Pusat Jagaan Insan Tersayang menempatkan penghuni golongan lelaki yang memerlukan pemantauan rapi termasuk pesakit mental, warga emas, orang kurang upaya (OKU) serta bekas penagih dadah.

Fardly Johan memulakan kata-kata aluan selaku pengacara majlis di Pusat Jagaan Insan Tersayang.

Syed Ikram Syed Mahadhir selaku penyelia pusat mengalu-alukan kehadiran rombongan PERKIM Kebangsaan, PERKIM Kedah, PERKIM Kuala Muda dan Al-Hidayah Kedah.

Ustaz Jais Mariappan menyampaikan sumbangan barangan makanan tajaan MAIWP kepada penghuni Pusat Jagaan Insan Tersayang.

Sumbangan tajaan MAIWP merangkumi keperluan harian seperti susu tepung, oat dan biskut bagi membantu menampung keperluan penghuni.

Ustaz Jais Mariappan bersama rombongan menziarahi penghuni di dalam pusat tersebut.

Syed Ikram memaklumkan keadaan penghuni yang ditempatkan di pusat tersebut.

Ustaz Jais Mariappan menyampaikan plak cenderamata penghargaan PERKIM kepada Khairul Azmat.

Rombongan berkesempatan bergambar kenangan bersama penghuni Pusat Jagaan Insan Tersayang diakhir ziarah.

Seusai ziarah, rombongan PERKIM bergambar kenangan di hadapan Pusat Jagaan Insan Tersayang.



