Aktiviti Kebajikan

Premier Sarawak Tinjau Fasiliti IDIP-KB, Ambil Maklum Keperluan Pembangunan Infrastruktur

ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ. ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ

𝗞𝗢𝗧𝗔 𝗕𝗛𝗔𝗥𝗨, 𝟮𝟵 𝗝𝗔𝗡𝗨𝗔𝗥𝗜 𝟮𝟬𝟮𝟲 – Selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sijil Pengajian Islam dan menyampaikan sijil kepada para graduan Institut Dakwah Islamiah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kota Bharu (IDIP-KB), 𝗣𝗿𝗲𝗺𝗶𝗲𝗿 𝗦𝗮𝗿𝗮𝘄𝗮𝗸 𝗺𝗲𝗿𝗮𝗻𝗴𝗸𝗮𝗽 𝗬𝗮𝗻𝗴 𝗗𝗶𝗽𝗲𝗿𝘁𝘂𝗮 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠, 𝗬𝗔𝗕 𝗗𝗮𝘁𝘂𝗸 𝗣𝗮𝘁𝗶𝗻𝗴𝗴𝗶 𝗧𝗮𝗻 𝗦𝗿𝗶 (𝗗𝗿) 𝗔𝗯𝗮𝗻𝗴 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹 𝗥𝗮𝗵𝗺𝗮𝗻 𝗭𝗼𝗵𝗮𝗿𝗶 𝗧𝘂𝗻 𝗗𝗮𝘁𝘂𝗸 𝗔𝗯𝗮𝗻𝗴 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗢𝗽𝗲𝗻𝗴 mengadakan lawatan rasmi ke kampus IDIP-KB di Taman Putra, Pengkalan Chepa dekat sini, petang Khamis.

Dalam lawatan tersebut, Datuk Patinggi Abang Johari bersama Yang Mulia Tengku Puan Temenggong Kelantan merangkap 𝗡𝗮𝗶𝗯 𝗬𝗮𝗻𝗴 𝗗𝗶𝗽𝗲𝗿𝘁𝘂𝗮 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠, 𝗬𝗠 𝗧𝘂𝗻𝗸𝘂 𝗣𝘂𝗮𝗻 𝗦𝗿𝗶 𝗗𝗮𝘁𝗼’ 𝗛𝗮𝗷𝗷𝗮𝗵 𝗡𝗼𝗼𝗿 𝗛𝗮𝘆𝗮𝘁𝗶 𝗧𝘂𝗻𝗸𝘂 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹 𝗥𝗮𝗵𝗺𝗮𝗻 𝗣𝘂𝘁𝗿𝗮 𝗔𝗹-𝗛𝗮𝗷 serta 𝗡𝗮𝗶𝗯 𝗬𝗮𝗻𝗴 𝗗𝗶𝗽𝗲𝗿𝘁𝘂𝗮 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠, 𝗬𝗕𝗵𝗴. 𝗗𝗿. 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗠𝗼𝗵𝗱 𝗥𝗶𝗱𝗵𝘂𝗮𝗻 𝗧𝗲𝗲 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵 meninjau beberapa kemudahan utama institusi berkenaan termasuk kawasan pejabat pentadbiran, bilik-bilik kuliah dan asrama pelajar lelaki.

Beliau diberi taklimat ringkas mengenai operasi harian IDIP-KB, suasana pembelajaran serta kemudahan sedia ada yang digunakan oleh para pelajar dan pensyarah.

Lawatan itu turut memberi peluang kepada kepimpinan tertinggi PERKIM melihat secara dekat persekitaran akademik serta kebajikan pelajar, khususnya melibatkan keperluan ruang pembelajaran dan penginapan yang lebih kondusif.

Lawatan berkenaan merupakan yang pertama bagi Datuk Patinggi Abang Johari ke IDIP-KB sejak menyandang jawatan Yang Dipertua PERKIM.

Beliau menyatakan keperluan untuk menilai sendiri keadaan bangunan dan fasiliti institusi tersebut sebagai asas perancangan penambahbaikan jangka panjang demi kelangsungan pendidikan dan dakwah Islam.

Dalam sesi tersebut, Bendahari Kehormat PERKIM merangkap Pengerusi Jawatankuasa IDIP-KB, YBhg. Datu Haji Mersal Abang Rosli turut mempersembahkan tapak serta pelan cadangan pembinaan asrama lelaki baharu dan surau kepada Datuk Patinggi Abang Johari selain menjelaskan keperluan mendesak terhadap kemudahan tambahan selari pertambahan jumlah pelajar.

Datuk Patinggi Abang Johari mengambil maklum hasrat penambahbaikan infrastruktur IDIP-KB termasuk pembinaan asrama muslimin, surau dan dewan serbaguna, yang disifatkan sebagai keperluan strategik jangka panjang dan memerlukan kerjasama menyeluruh semua pihak termasuk kerajaan negeri dan agensi berkaitan.

Terdahulu pada sebelah pagi, ketika Majlis Penyampaian Sijil IDIP-KB Kali Ke-29, beliau mengumumkan Biro Pendidikan Islam Sarawak akan menyumbangkan dana RM1 juta bagi pembangunan asrama lelaki IDIP-KB sebagai sokongan terhadap kebajikan, keselamatan dan keselesaan para pelajar.

Hadir sama, Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg. Dato’ Dr. Haji Mohamad Marzuki Mohamad Omar; Pengarah Pentadbiran PERKIM Kebangsaan, YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad dan Eksekutif IDIP-KB, Ustazah Noorsaadah Md Hanafi @ Md Zain.

 

 


Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari mengadakan lawatan sulungnya ke IDIP-KB.

 


Datu Mersal (kanan) mempersembahkan tapak serta pelan cadangan pembinaan asrama lelaki baharu dan surau kepada Datuk Patinggi Abang Johari sambil disaksikan oleh Kepimpinan Tertinggi PERKIM.

 


Datuk Patinggi Abang Johari dibawa oleh Datu Mersal meninjau persekitaran fasiliti dan infrastruktur IDIP-KB.

 


Yang Dipertua PERKIM kemudiannya dibawa berjalan menuju asrama lelaki IDIP-KB.

 


Yang Dipertua dan Naib Yang Dipertua PERKIM dibawa melawat asrama lelaki IDIP-KB yang perlu ditambah baik.


Abang Johari melawat ke dalam asrama pelajar mualaf lelaki IDIP-KB.

 


Datuk Patinggi Abang Johari mengambil maklum hasrat penambahbaikan infrastruktur IDIP-KB termasuk pembinaan asrama muslimin, surau dan dewan serbaguna yang disifatkan sebagai keperluan strategik jangka panjang.

 


Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari bersalaman bersama Dato’ Dr Marzuki dan Kepimpinan Tertinggi PERKIM usai lawatannya.

Related Articles

Back to top button