PERKIM Kebangsaan Raikan Setiausaha Agung Kehormat, Bendahari Kehormat Baharu
ᵒˡᵉʰ: ˢᴿᶻ
𝐊𝐔𝐀𝐋𝐀 𝐋𝐔𝐌𝐏𝐔𝐑, 𝟑𝟏 𝐉𝐔𝐋𝐀𝐈 𝟐𝟎𝟐𝟓 – “Kita bersyukur kehadrat Allah SWT kerana diberi peluang dan masa untuk berhimpun dengan satu nada, kesatuan hati dan iltizam untuk meneruskan hala tuju gerak kerja Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM),” kata YBhg Dato’ Dr Haji Mohamad Marzuki Mohamad Omar.
Dato’ Dr Marzuki berkata selepas menandatangani Surat Pengesahan Tugas Setiausaha Agung Kehormat PERKIM yang berlangsung di Aras 5, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah pada petang Khamis.
Upacara tersebut menjadi medan rasmi pengenalan dan penyerahan tugas antara 𝐒𝐞𝐭𝐢𝐚𝐮𝐬𝐚𝐡𝐚 𝐀𝐠𝐮𝐧𝐠 𝐊𝐞𝐡𝐨𝐫𝐦𝐚𝐭 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌 𝐛𝐚𝐡𝐚𝐫𝐮, 𝐘𝐁𝐡𝐠 𝐃𝐚𝐭𝐨’ 𝐃𝐫 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐌𝐨𝐡𝐚𝐦𝐚𝐝 𝐌𝐚𝐫𝐳𝐮𝐤𝐢 𝐌𝐨𝐡𝐚𝐦𝐚𝐝 𝐎𝐦𝐚𝐫 dan mantan Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor yang telah banyak mencurahkan khidmat bakti kepada organisasi dakwah dan kebajikan terawal di negara ini.

Dato’ Dr Marzuki dalam ucapan sulungnya menyatakan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana diberi ruang dan peluang untuk menghimpunkan warga PERKIM dalam suasana penuh ukhuwah.
“Kita berhimpun hari ini bukan sekadar meraikan satu transisi kepimpinan, tetapi juga sebagai satu tanda kesepakatan kita dalam meneruskan perjuangan dakwah, kebajikan dan pendidikan PERKIM.
“Dengan satu nada, satu suara dan satu budaya kerja, insya-Allah kita dapat melanjutkan kesinambungan yang telah dibina oleh mantan Setiausaha Agung Kehormat dan Bendahari Kehormat,” ujar beliau.
Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Dr Yusof Noor dan Dato’ Abdul Hanif atas sumbangan mereka yang tidak ternilai dalam memartabatkan PERKIM sebagai organisasi dakwah berwibawa di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Saya dan 𝐁𝐞𝐧𝐝𝐚𝐡𝐚𝐫𝐢 𝐊𝐞𝐡𝐨𝐫𝐦𝐚𝐭 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌, 𝐘𝐁𝐡𝐠 𝐃𝐚𝐭𝐮 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐌𝐞𝐫𝐬𝐚𝐥 𝐀𝐛𝐚𝐧𝐠 𝐑𝐨𝐬𝐥𝐢 menerima amanah ini dengan penuh rendah hati atas lantikan oleh Premier Sarawak merangkap Yang Dipertua PERKIM, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg,” kata Dato’ Dr Marzuki lagi.
Dato’ Marzuki turut mengimbau kembali keterlibatan awal beliau bersama PERKIM, khususnya berkhidmat di Harakah Islamiah Malaysia (HIKMAH) pada tahun 2008 yang juga badan gabungan PERKIM.
Beliau ketika itu memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung HIKMAH bermula tahun 2012 dan sentiasa mengikuti perkembangan semasa PERKIM termasuk era peralihan kepimpinan Yang Dipertua PERKIM antara Allahyarham Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud kepada YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2006.
Pengalaman luas beliau dalam pelbagai organisasi dakwah Islam serantau turut memberi nilai tambah kepada PERKIM termasuk dalam kapasiti beliau yang juga selaku Setiausaha Agung Kehormat Majlis Da’wah Islamiah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) yang turut beribu pejabat di Bangunan PERKIM.
“RISEAP merupakan satu organisasi Islam serantau yang memberikan tumpuan kepada komuniti minoriti Islam di Asia Tenggara dan Pasifik. Ia bertujuan memupuk persefahaman, kerjasama dan perkongsian amalan terbaik.
“Saya percaya PERKIM dan RISEAP boleh menjalinkan sinergi strategik dalam pelbagai aspek,” tambahnya.
Beliau menyatakan hasrat untuk memperluas kerjasama dengan dua institusi pendidikan utama PERKIM iaitu Institut Dakwah Islamiah PERKIM Kota Bharu (IDIP-KB) dan Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIP-KL) bagi memperkukuh pembangunan modal insan dalam kalangan saudara baharu dan mualaf.
Majlis tersebut turut menyaksikan momen bermakna apabila Dr Yusof Noor menyerahkan warkah pelantikan rasmi Setiausaha Agung Kehormat PERKIM kepada Dato’ Dr Marzuki menandakan transisi kepimpinan baharu yang rasmi bermula 1 Ogos 2025.
Sebagai tanda penghargaan, Dato’ Marzuki turut menyampaikan sijil penghargaan khas kepada Dr Yusof Noor atas jasa dan khidmat cemerlang beliau sepanjang menerajui pentadbiran PERKIM.
Manakala Dato’ Abdul Hanif menyampaikan warkah pelantikan Bendahari Kehormat PERKIM kepada Datu Mersal disusuli dengan penyampaian sijil penghargaan khas oleh Datu Mersal kepada Dato’ Abdul Hanif sebagai tanda ingatan dan penghargaan di atas kepimpinan beliau yang lepas.
Majlis tersebut bukan sahaja menjadi titik perubahan dalam organisasi tetapi juga memperlihatkan amalan murni PERKIM dalam memuliakan pemimpin terdahulu dan menyambut pemimpin baharu dengan penuh hikmah serta beradab.
Sejurus selesai upacara rasmi, Dato’ Marzuki dan Datu Mersal bersama barisan pimpinan PERKIM telah dibawa ke IDIP-KL bagi meneruskan sesi ramah mesra bersama warga kerja PERKIM Kebangsaan.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Naib Yang Dipertua PERKIM, YBhg Dr Haji Mohd Ridhuan Tee Abdullah.
Dalam sesi tersebut, kedua-dua tokoh baharu diperkenalkan kepada barisan pegawai dan kakitangan pelbagai unit termasuk pentadbiran, kewangan, dakwah, kebajikan, hal ehwal wanita, perhubungan awam dan lain-lain.
Sesi lawatan diakhiri dengan jamuan makan tengah hari dalam suasana penuh mesra, santai dan kekeluargaan.
Ini mencerminkan nilai-nilai teras PERKIM yang sentiasa mengutamakan kebersamaan dan penghargaan terhadap peranan setiap individu dalam organisasi.
Majlis jamuan tersebut juga meraikan dan menghargai khidmat bakti dua tokoh lama, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor dan Dato’ Abdul Hanif Harun yang telah memegang amanah besar dalam menerajui PERKIM.
Dr Yusof Noor turut menyatakan keyakinan warga kerja PERKIM Kebangsaan dalam memberikan kerjasama dan sokongan yang lebih kuat lagi kepada Dato’ Dr Marzuki bagi menjayakan misi dakwah PERKIM, Insya Allah.
Tambahnya, PERKIM diyakini akan terus memperkukuh peranannya sebagai benteng akidah, pusat bimbingan saudara baharu dan wadah dakwah Islamiah yang disegani di peringkat nasional dan antarabangsa.
Hadir sama ialah Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Mohamad Nordin Ibrahim; Pengarah Unit Aset dan Pembangunan PERKIM, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa; Pengarah Kanan Dakwah PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin; Pengarah IDIP-KL, YBhg Tuan Haji Mamat Che Chik; Setiausaha Kerja Eksekutif PERKIM, Zulkefli Arifin; Pengarah Unit Komunikasi dan Media, Firdaus Lokman Tah serta Pegawai dan kakitangan RISEAP.

Dr Yusof Noor (kiri) menyambut ketibaan Dato’ Dr Marzuki sebagai Setiausaha Agung Kehormat baharu dan Datu Mersal selaku Bendahari Kehormat baharu.

Setiausaha Agung Kehormat PERKIM baharu, YBhg Dato’ Dr Haji Mohamad Marzuki Mohamad Omar (kiri) dan Bendahari Kehormat PERKIM baharu, YBhg Datu Haji Mersal Abang Rosli.

Pemimpin PERKIM meraikan dua kepimpinan baharu PERKIM setelah dilantik Premier Sarawak merangkap Yang Dipertua PERKIM.

Dato’ Dr Marzuki menurunkan tandatangan pada dokumen penerimaan tugas sebagai Setiausaha Agung Kehormat yang baharu dan disaksikan oleh Dr Yusof Noor.

Dato’ Dr Marzuki dan Dr Yusof Noor menunjukkan dokumen penerimaan tugas Setiausaha Agung Kehormat yang telah ditandatangani.

Dr Yusof Noor menyampaikan warkah pelantikan Setiausaha Agung Kehormat kepada Dato’ Dr Marzuki.

Datu Haji Mersal menandatangani dokumen penerimaan tugas Bendahari Kehormat sambil disaksikan oleh Dato’ Abdul Hanif.

Dato’ Abdul Hanif menyampaikan warkah pelantikan Bendahari Kehormat kepada Datu Haji Mersal.

Pengarah IDIPKL, Haji Mamat Che Chik memeluk Dato’ Dr Marzuki ketika ketibaan Setiausaha Agung Kehormat dan Bendahari Kehormat.

Kepimpinan PERKIM bergambar berlatar belakangkan papan tanda IDIP-KL.

Dato’ Dr Marzuki beramah mesra sambil diperkenalkan anggota kakitangan PERKIM oleh Dr Yusof Noor.

Abdul Qawi Navine mengacarakan majlis disusuli dengan bacaan doa.

Kepimpinan PERKIM menadah tangan ketika doa dibacakan.

Kakitangan RISEAP turut hadir di majlis tersebut.

Pegawai dan kakitangan PERKIM mengaminkan doa yang dibacakan Abdul Qawi dalam tiga versi bahasa.

Warga PERKIM menikmati makan tengah hari.

Jamuan makan tengah hari bagi meraikan ketibaan Setiausaha Agung Kehormat dan Bendahari Kehormat baharu.

Kakitangan PERKIM menjamu selera dengan makanan yang disediakan.



