Legasi Kepimpinan Tun Dr. Mahathir Terus Menyinar dalam PERKIM

Setelah 19 tahun menerajui Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) sebagai Yang Dipertua, YABhg Tun Dr. Mahathir Mohamad menyerahkan mandat kepimpinan kepada Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg dalam satu majlis penuh bersejarah pada 10 Mei 2025 bersempena Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan Kali Ke-64 bertempat di Institut Latihan Islam Malaysia, Bangi, Selangor.
Tun Dr. Mahathir kemudiannya dilantik sebagai Penasihat Khas PERKIM oleh Yang Dipertua PERKIM, YAB Datuk Patinggi Abang Johari sebagai kesinambungan kepada sumbangan besar beliau dalam pembangunan dakwah dan kebajikan Islam di Malaysia.
Tun Dr. Mahathir mula memimpin PERKIM sejak 2006, memperlihatkan pendekatan kepimpinan yang strategik, berwibawa dan berpaksikan visi Islam sebagai rahmat untuk semua.
Di bawah bimbingannya, PERKIM bukan sahaja memperkukuh program bimbingan saudara baharu, tetapi turut menjadi platform penting untuk memperjuangkan isu-isu umat dan membentuk masyarakat Islam Malaysia yang inklusif dan progresif.
Antara sumbangan besar beliau termasuk memperkukuh pentadbiran PERKIM dengan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan dan Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan serta Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Kebangsaan (EXCO) secara konsisten sejak 2006 hingga 2025.
Melalui forum-forum ini, pelbagai dasar dan program PERKIM digerakkan dengan lebih sistematik dan berkesan.
Dalam tempoh tersebut, Tun Dr. Mahathir turut menonjolkan kepimpinan dalam menjalin jaringan dakwah dan hubungan strategik dengan pelbagai pihak.
Dalam masa yang sama, beliau turut menyampaikan Anugerah Kehormat PERKIM kepada tokoh ilmuan, agamawan dan kenamaan, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka kepada dakwah dan kebajikan Islam.
Antara acara penting yang telah dirasmikan beliau termasuk Seminar Perpaduan Ekonomi Ummah pada 12 Oktober 2011 dan Muzakarah Tajdid Pemikiran Islam Pembangunan Ummah anjuran Bahagian Pendidikan Islam pada 12 November 2011.
Beliau juga merasmikan Majlis Berbuka Puasa PERKIM dan Anugerah Kecemerlangan Kelab PERKIM Universiti saban tahun, memperlihatkan keprihatinannya terhadap pembangunan generasi muda Islam.
Pada 7 Oktober 2012, Tun Dr. Mahathir turut menjadi tuan rumah bagi ceramah terkenal oleh Dr. Zakir Naik, “Islam’s View on Terrorism and Jihad”, yang mendapat sambutan luar biasa dan membuka ruang dialog antara agama dan budaya bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur.
Tun Dr. Mahathir juga lantang memperjuangkan isu umat Islam Palestin, mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman rejim Zionis terhadap rakyat, wanita dan anak-anak Palestin.
Beliau secara konsisten membawa suara solidariti PERKIM ke peringkat antarabangsa seperti di Asia, Eropah dan Timur Tengah demi membela saudara seagama.
Dalam aspek pendidikan dan pembangunan modal insan, beliau menyampaikan amanat dan syarahan dalam beberapa siri majlis, antaranya Majlis Bual Bicara Dakwah PERKIM (21 Mac 2013), Majlis Bicara Pendidikan (28 Mac 2014) serta Sesi Penerangan Dakwah Bersama Yang Dipertua PERKIM (1 November 2017).
Kehadirannya dalam Majlis Bacaan Yasin bersempena Hari Ulang Tahun PERKIM (8 Februari setiap tahun) juga menonjolkan komitmen beliau dalam menyatukan warga PERKIM.
Satu lagi detik bersejarah ialah pada 30 Ogos 2018, apabila Tun Dr. Mahathir, ketika itu Perdana Menteri Malaysia ke-7, merasmikan International Da’wah Institute PERKIM Kuala Lumpur (IDIPKL) di Bangunan Balai Islam, Jalan Sultan Azlan Shah bagi memperkukuh peranan PERKIM dalam melahirkan pendakwah yang berdaya saing dan berwibawa.
Beliau juga menyempurnakan Pelancaran Buku Meja Kopi Khas Warisan dan Wawasan Jubli Intan PERKIM 60 Tahun pada 17 Mac 2021, sebagai penghargaan terhadap sejarah panjang perjuangan PERKIM.
Pada 30 September 2022, Tun Dr. Mahathir menyampaikan Wacana Dakwah kepada Ahli-Ahli PERKIM Seluruh Malaysia sebelum turut mengikrarkan dua kalimah syahadah bersama 10 saudara baharu pelbagai bangsa dalam satu suasana majlis yang penuh kesyahduan.
Antara inisiatif lain yang diterajui beliau termasuk Persidangan Dakwah Kebangsaan: Cabaran dan Peranan NGO Islam Menjaga Ummah (16 Februari 2023), menyambut kunjungan Pimpinan Korea Muslim Federation (14 September 2023), serta menyertai Majlis Ramah Mesra Bersama Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM (25 Julai 2023).
Tun Dr. Mahathir juga terus mendokong pembangunan pelapis dakwah melalui Program Khas Perkaderan Dakwah dan Persembahan Pelajar Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP) Kota Bharu sempena bulan kemerdekaan pada September 2024, serta menutup kepimpinannya dengan Majlis Amanat Khas Bersama Warga PERKIM pada 20 Februari 2025.
Bangunan PERKIM yang telah siap dibina pada tahun 1980 telah dapat ditebus milik sepenuhnya kepada PERKIM di bawah kepimpinan Tun yang mana bangunan ini merupakan milik Tabung Dakwah Islam Libya Malaysia Berdaftar (LMDIFR) dan pada 20 September 2024, Surau PERKIM telah mendapat kebenaran sebagai surau untuk mendirikan solat Jumaat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Dengan pelantikan beliau sebagai Penasihat Khas PERKIM, legasi dakwah, visi dan kebijaksanaan Tun Dr. Mahathir akan terus membimbing perjuangan PERKIM ke hadapan.
Sumbangan beliau selama hampir dua dekad bukan sahaja mencorak hala tuju organisasi ini, malah menjadi teladan kepada generasi akan datang bahawa kepimpinan Islam yang berprinsip dan berpandangan jauh mampu membina umat yang kuat, berilmu dan berjiwa besar.



