Pengumuman

6 Pegawai Tadbir Terima Surat Kenaikan Pangkat Daripada SUA PERKIM

Foto: UMI MUSFIRAH ABDUL GHANI

KUALA LUMPUR, 13 JANUARI 2023 – Setiausaha Agung Kehormat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor telah menyerahkan surat kenaikan pangkat kepada enam Pegawai Tadbirnya bertempat di Bilik Mesyuarat Tingkat 6, Ibu Pejabat PERKIM Kebangsaan, Jalan Sultan Azlan Shah dekat sini.


Sebelum penyerahan, Dr Yusof Noor dalam ucapannya merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih di atas sumbangan dan prestasi kerja cemerlang yang dilaksanakan oleh para pegawai sehingga dipilih untuk dinaikkan pangkat.

Katanya, keputusan enam pegawai yang dipilih itu telah dipersetujui oleh Jawatankuasa Penilai PERKIM daripada 10 pegawai seluruh negeri yang telah menjalani Temuduga Bagi Urusan Eksasais Kenaikan Pangkat Berdasarkan Kecemerlangan pada 9 Disember 2022 yang lalu.

Walaupun terdapat di kalangan pegawai yang akan menamatkan perkhidmatannya tidak lama lagi, namun jawatan ini merupakan satu penghargaan PERKIM kepada mereka.

Tambah Dr Yusof Noor, pegawai masing-masing telah menunjukkan komitmen yang terbaik tetapi masih banyak lagi perlu diperbaiki mutu dan prestasi kerja mereka.

Beliau berharap supaya para pegawai dapat menaik tarafkan tahap prestasi mereka dan memberi contoh yang terbaik kepada kakitangan yang lain.

Perkhidmatan PERKIM juga perlu diremajakan dari semasa ke semasa tetapi mereka perlu bergantung dengan tindakan dan idea daripada orang yang berpengalaman.

“Dakwah ini mestilah berdasarkan kepada sukses,” kata beliau sambil memetik pesanan Yang Dipertua PERKIM, YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad ketika pertemuan beberapa hari lalu.

“Jika kita tidak mencapai kejayaan, kita tidak boleh meyakinkan orang dengan Islam,” ujarnya.

Beliau turut berpesan supaya pegawai dapat menjaga kehadiran dan berusaha untuk meningkatkan kualiti kerja.

Dr Yusof Noor berharap jawatan diberikan itu akan menjadi suntikan semangat dan azam baharu buat mereka sekali gus pencapaian tersebut menjadikan ikutan kepada kakitangan yang lain.

Beliau meminta supaya pegawai dapat menumpukan fokus kepada bimbingan saudara baru dan sekiranya mereka belum Islam, pegawai perlu mendekati mereka dengan cara yang berhikmah.

Dakwah kepada golongan atasan juga perlu diberikan tumpuan kerana apabila ketua mereka memeluk Islam, orang bawahan juga akan mengikutinya seperti mana dakwah kepada Orang Asli, sekiranya Tok Batin memeluk Islam, seluruh penduduk kampung akan mengikut jejak langkahnya.

Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Mohamad Nordin Ibrahim dalam ucapannya turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada enam Pegawai Tadbir yang dilantik.

PERKIM memilih pegawai baharu sebagai pelapis dengan menghargai jasa, kejayaan dan kecemerlangan yang ditunjukkan selama beberapa tahun di PERKIM.

Kata Dato’ Nordin, berkemungkinan pada masa yang lalu ada di antara mereka tidak dilantik dan pada kali ini kita bersyukur kerana Allah SWT telah mengurniakan rezeki untuk mereka.

Kita bersyukur kerana PERKIM merupakan organisasi yang diurus secara kerajaan, mempunyai bangunan yang tinggi, kakitangan yang ramai, struktur gaji yang berterusan, aset dan harta yang banyak.

Tambah Dato’ Nordin lagi, kita akan terus melangkah ke hadapan sebagai pengganti kepada pegawai yang akan tamat perkhidmatannya dalam menguruskan amanah PERKIM.

“Saya yakin dengan kenaikan pangkat ini akan menjadikan pembakar semangat kepada para pegawai untuk terus bergerak ke hadapan dengan maju jaya,” ujar Dato’ Nordin.

Setiausaha Kerja Pentadbiran dan Program, YBhg Tuan Haji Mamat Che Chik turut menzahirkan rasa syukur dan tahniah di atas kurniaan kenaikan pangkat kepada Pegawai Tadbir PERKIM.

Beliau turut berterima kasih kepada Dr Yusof Noor dan Jawatankuasa Pemilihan PERKIM kerana telah membuat keputusan yang terbaik dalam pelantikan enam Pegawai Tadbir Kumpulan A.

Majlis diserikan lagi dengan penyerahan surat lantikan disampaikan oleh Dr Yusof Noor kepada Pegawai Tadbir PERKIM Bahagian Negeri Melaka, Rokiah Sungip; Pegawai Tadbir PERKIM Bahagian Negeri Kelantan, Nordin Abdullah @ Noraden Anuraksas; Pegawai Tadbir PERKIM Bahagian Negeri Johor, Mohamad Nizam Abd. Razak serta Pegawai Tadbir PERKIM Kebangsaan, Hamidah Ismail, Mohd Syahril Rosdi Ahmad Zahudi dan Fatin Hamizah Ismail.

Turut hadir ialah Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun.


Kepimpinan Tertinggi PERKIM di Majlis Penyerahan Surat Lantikan Pegawai Tadbir.


6 Pegawai Tadbir baharu mendengar ucapan Tan Sri SUA.


Dr Yusof Noor menyampaikan ucapan sebelum penyerahan surat lantikan.


Dato’ Nordin merakamkan ucapan tahniah kepada enam pegawai baharu.


Tuan Haji Mamat menzahirkan ucapan tahniah kepada enam pegawai di atas kurniaan kenaikan pangkat.


Dr Yusof Noor menyampaikan surat lantikan Pegawai Tadbir kepada Rokiah Sungip.


Hamidah Ismail menerima surat lantikan Pegawai Tadbir daripada Dr Yusof Noor.


Nordin Abdullah (kanan) menerima surat lantikan Pegawai Tadbir Kumpulan A daripada Dr Yusof Noor.


Dr Yusof Noor menyerahkan surat lantikan Pegawai Tadbir kepada Nizam Abd Razak (kanan).


Tan Sri SUA menyerahkan surat lantikan Pegawai Tadbir kepada Syahril Rosdi (kanan).


Fatin Hamizah menerima surat lantikan Pegawai Tadbir Kumpulan A daripada Dr Yusof Noor.


Kepimpinan PERKIM bergambar kenang-kenangan bersama enam pegawai baharu selepas penyerahan surat lantikan.


Enam Pegawai Tadbir mengucapkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Kepimpinan Tertinggi PERKIM di hari bersejarah mereka sambil menunjukkan isyarat ibu jari tanda terbaik.

Related Articles

Back to top button