Bakal Menantu Pengerusi PERKIM Pahang Peluk Islam

oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI
KUALA LUMPUR, 13 JANUARI 2023 – Kerana kepercayaan dan keyakinan tinggi terhadap Islam, Casey Choong melafazkan dua kalimah syahadah di Bilik Hidayah Ibu Pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah pagi tadi.
Casey Choong, 31 atau nama Islamnya Casey Sulaiman Choong mengikrarkan syahadah di hadapan Pegawai Unit Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan PERKIM, YBrs Ustaz Sulaiman Ding Yu Zhong serta disaksikan oleh Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Hasan Arifin dan Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.
Sebelum itu, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor mengalu-alukan ketibaan YB Dato’ Sri Hasan Arifin bersama 13 ahli keluarganya di majlis pengislaman itu.
Terdahulu, Sulaiman Ding telah memberikan penerangan mengenai dua kalimah syahadah, Rukun Islam, Rukun Iman, perkara asas fardu ain, tugas dan tanggungjawab seorang Muslim, perkara asas halal serta haram kepada Casey Sulaiman yang didengari bersama oleh ahli keluarga Pengerusi PERKIM Pahang.
Bagi menambahkan lagi pengetahuan agama Islam, Sulaiman Ding mengesyorkan Casey Sulaiman supaya menghadiri Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan (KPIPK) yang dibuka pada setiap hari.
“Adalah menjadi satu tanggungjawab kita untuk memberi sokongan dan dorongan kepada Casey Sulaiman yang kini dianggap sebagai saudara dalam agama, terutama dalam bentuk kebajikan, moral serta pendidikan,” pesan Sulaiman Ding kepada tetamu yang hadir.
Casey Sulaiman menetap di Ulu Klang, Selangor merupakan bakal menantu kepada Dato’ Sri Hasan yang akan melangsungkan perkahwinan dengan anaknya, Shahida Hasan tidak lama lagi.
Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor bersama pimpinan PERKIM merakamkan ucapan tahniah dan syukur kepada Casey Sulaiman dan ahli keluarga Dato’ Sri Hasan sambil bersalaman setelah selesai menandatangani borang pengislaman.
Majlis berakhir dengan sesi fotografi dan makan tengah hari meraikan saudara baru Casey Sulaiman Choong.
Turut hadir ialah Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun; Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Mohamad Nordin Ibrahim; Setiausaha Kerja Pentadbiran dan Program PERKIM, YBhg Tuan Haji Mamat Che Chik; Setiausaha Kerja Bahagian dan Cawangan PERKIM, Zulkefli Arifin; Pengarah Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIP-KL), YBhg Dr. Suariza @ Hidayah Muhammad serta Penyelaras Unit Penerbitan dan Media Baru PERKIM, Firdaus Lokman Tah.
Tan Sri Dr Yusof Noor (kanan) mengalu-alukan kehadiran Dato’ Sri Hasan (berbaju melayu merah) ke Ibu Pejabat PERKIM Kebangsaan bersama bakal menantunya.
Seramai 13 ahli keluarga Pengerusi PERKIM Pahang hadir ke PERKIM Kebangsaan untuk menyaksikan pengislaman Casey Choong.
Tan Sri Dr Yusof Noor (kiri) berkenalan dengan ahli keluarga Dato Sri Hasan dan Casey Choong.
Ustaz Sulaiman Ding (kiri) memberi penerangan pengislaman kepada Casey Choong.
Casey Choong melafazkan dua kalimah syahadah di hadapan Sulaiman Ding dan disaksikan oleh Tan Sri Dr Yusof Noor dan Dato’ Sri Hasan Arifin serta ahli keluarga.
Sulaiman Ding mengetuai bacaan doa kesyukuran selepas pengislaman Casey Sulaiman Choong.
Casey Sulaiman Choong menurunkan perakuan tandatangan di borang pengislaman.
Dato’ Sri Hasan Arifin (kanan) menurunkan tandatangan perakuan saksi pertama.
Tan Sri Dr Yusof Noor menandatangani saksi kedua pada borang pengislaman Casey Sulaiman Choong.
Casey Sulaiman Choong mengecop ibu jari kanannya pada borang pengislaman sambil disaksikan oleh bakal bapa mertuanya, Dato’ Sri Hasan.
Pimpinan PERKIM Kebangsaan bersama keluarga Dato’ Sri Arifin bergambar kenang-kenangan selepas selesai majlis pengislaman Casey Sulaiman Choong.
Pimpinan PERKIM Kebangsaan meraikan kesyukuran dengan jamuan makan tengah hari.