Aktiviti Dakwah

PERKIM Fokus Golongan Peluk Islam Di Tahun 2023

Foto: FLT

KUALA LUMPUR, 6 JANUARI 2023 – “Fokus utama pada tahun baharu 2023 ialah kita akan memberikan tumpuan khusus kepada golongan yang baharu memeluk Islam,” kata Setiausaha Agung Kehormat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanatnya di Perhimpunan Bulan Januari 2023 Bersama Warga PERKIM Kebangsaan bertempat di perkarangan lobi Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah dekat sini, Jumaat.

Perhimpunan itu menghimpunkan lebih 50 orang terdiri daripada pimpinan, pegawai dan kakitangan yang merupakan tradisi bulanan PERKIM Kebangsaan pada setiap awal bulan Jumaat untuk mendengar amanat yang disampaikan oleh Setiausaha Agung Kehormat PERKIM.

Ia turut disertai oleh kakitangan Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIP-KL) dan Pusat Pemulihan Komuniti Strok PERKIM (SCORE).

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan PERKIM Pacu Kemajuan dipimpin oleh Pasukan Nasyid PERKIM Kebangsaan.


Dr Yusof Noor dalam amanatnya mengucapkan rasa syukur kepada Allah SWT kerana dapat meneruskan tradisi perhimpunan bulanan yang bermula sejak tahun 2021 hingga ke tahun 2023.

Menurutnya, sambutan awal tahun rasmi sebagai umat Islam ialah pada awal tahun Hijrah iaitu pada tanggal 1 Muharram manakala awal tahun bulan Januari 2023 ini merupakan awal tahun baru pentadbiran.

“Setiba di bulan Januari, kita harus memikirkan apakah agenda kita pada tahun 2023 kerana kita merupakan jentera pentadbiran yang melaksanakan amanah dipandu oleh kepimpinan tertinggi dalam PERKIM bermula daripada Tun Yang Dipertua dan Ahli-ahli Majlis Kebangsaan.

Ujar Dr Yusof Noor, peristiwa besar di dalam kehidupan seseorang itu akan menjadi satu kenangan yang tidak boleh dilupakan antaranya ialah hari kelahiran, pertunangan, perkahwinan, penghargaan dan kematian.

Antara peristiwa paling penting bagi seorang manusia di dunia ini ialah di saat mereka menukar akidah.

Menukar akidah bukanlah satu perkara yang kecil kerana ia merupakan perkara yang sangat penting kerana melibatkan kehidupan dunia dan akhirat.

Kita hendak melihat kesan yang mendalam peristiwa seseorang itu memeluk Islam saat kali pertama mengucapkan dua kalimah syahadah memberikan buat mualaf tersebut.

Pada saat kali pertama seseorang itu mengucapkan dua kalimah syahadah, ia akan memberikan kesan yang mendalam buat mualaf tersebut kerana ia merupakan perkara paling besar dan bersejarah di dalam kehidupan seseorang.

Tambah Dr Yusof Noor lagi, sekiranya mendengar sesorang memeluk Islam di PERKIM walaupun tugasan kita tidak melibatkan di bahagian dakwah, Allah SWT akan memberi ganjaran pahala dengan hanya menyebut Alhamdulillah.

Ucapnya, perisitiwa memeluk Islam merupakan peristiwa berlaku di zaman Nabi Muhammad SAW lagi.

Rasulullah SAW mendekati golongan-golongan pembesar Quraisy sehingga mereka tertarik dan memeluk Islam menerusi dakwah yang disampaikan oleh Baginda.

Mutiara kata orang Arab yang terkenal ialah “manusia ini agama mereka mengikut orang atas.” Jika pembesar mereka menganut Islam, mereka akan mengikutinya.

Antara pembesar-pembesar Quraisy yang awal memeluk Islam ialah Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq, Sayyidina Uthman Affan, Umar bin Al-Khattab dan lain-lain.

Setelah Nabi Muhammad SAW memberi fokus kepada golongan atasan ia memberikan keyakinan dan memudahkan lagi pengikutnya untuk memeluk agama Islam.

“Metodologi dakwah Rasulullah SAW itulah yang ikuti oleh Pengasas PERKIM, YTM Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dalam memperkenalkan PERKIM,” kata Dr Yusof Noor.

Di antara mesej Tunku ialah PERKIM berperanan mengembangkan Islam kepada orang-orang pilihan yang berpengaruh.

Orang-orang atasan yang bersama dengan pencipta PERKIM pada ketika itu ialah YBhg Tan Sri Abdul Mubin Sheppard (Orang Inggeris Muslim), Tan Sri SOK Ubaidullah (India Muslim), Ally Maricar (India Muslim) dan Ibrahim Ma (China Muslim).

Jelas Dr Yusof Noor, eloklah kita tidak lupa mesej asal PERKIM diperkenalkan dan fokus PERKIM dengan tidak menafikan perlunya untuk mengembangkan Islam bukan sahaja golongan atasan malah kepada golongan bawahan.

Tahun ini, kita akan mengadakan sambutan dengan suasana yang diraikan oleh pegawai-pegawai PERKIM beserta ucapan tahniah setelah mereka memeluk Islam.

Katanya, di Malaysia agama yang dianuti oleh orang Islam lebih daripada 60 peratus manakala 35 peratus daripadanya adalah non-Muslim dan ia merupakan satu cabaran kepada badan seperti PERKIM.

Agensi-agensi agama yang lain mungkin sedang berusaha untuk menyebarkan Islam, jika dibiarkan bilangan minoriti begitu sahaja, mereka akan dibawa oleh agama-agama lain.

Ulas beliau, pada akhir Jumaat setiap bulan PERKIM akan mengadakan aktiviti baharu iaitu Siri Kuliah Dakwah Bulanan di IDIP-KL disampaikan oleh tokoh-tokoh ilmuan dakwah.

Beliau berharap tahun baharu 2023 akan lebih bermakna daripada tahun-tahun sebelumnya dan mudah-mudahan Allah SWT memberikan kesihatan yang baik dan dijauhkan daripada wabak penyakit COVID-19 serta memberikan kebaikan kepada PERKIM.

Sebelum itu, Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun dan Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Mohamad Nordin Ibrahim turut menyampaikan ucapan ringkas bersempena awal tahun baharu 2023.

Dr Yusof Noor berkesempatan menyampaikan sumbangan ihsan kepada Penolong Pegawai Kewangan, Hamidah Ismail di atas pemergian suaminya, Allahyarham Mohd Yusop Subuh ke rahmatullah pada 4 Disember 2022 serta Penolong Pegawai Dakwah IDIP-KL, Abdul Qawi Navine di atas pemergian anak syurganya ke rahmatullah, Aisyah Sofea Abdul Qawi pada 26 Disember 2022 lalu.

Beliau turut merakamkan salam takziah dan berharap seluruh ahli keluarga bersabar, tabah dan reda dengan ujian daripada Allah.

Dr Yusof Noor turut mendoakan mudah-mudahan rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beiman serta beramal soleh.

Turut hadir ialah Setiausaha Kerja (Pentadbiran dan Program), YBhg Tuan Haji Mamat Che Chik; Setiausaha Kerja (Bahagian dan Cawangan) PERKIM Kebangsaan, Zulkefli Arifin; Pengarah Unit Aset dan Pembangunan PERKIM, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa; Pengarah Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM – Kuala Lumpur (IDIP-KL), YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad dan Penyelaras Unit Penerbitan dan Media Baru, Encik Firdaus Lokman Tah.


Pegawai PERKIM mengacarakan Majlis Perhimpunan Bulan Warga PERKIM.


Pimpinan tertinggi PERKIM, (dari kiri) Abdul Hanif, Dr Yusof Noor dan Nordin Ibrahim.


Barisan pegawai dan kakitangan PERKIM berhimpun pada setiap awal bulan Jumaat.


Abdul Qawi memimpin bacaan doa majlis.


Pimpinan dan kakitangan PERKIM menadah tangan ketika doa dibacakan.


Warga PERKIM mengaminkan ketika doa dibacakan.


Ucapan ringkas disampaikan oleh Dato’ Nordin Ibrahim.


Pegawai dan kakitangan PERKIM bersemangat dan beriltizam tinggi ketika menghadiri perhimpunan tahun baharu 2023.


Dr Yusof Noor menyampaikan amanat kepada warga PERKIM.


“Tahun baharu ini, PERKIM akan memfokuskan kepada golongan yang baharu memeluk Islam,” kata Dr Yusof Noor.


“Pegawai-pegawai PERKIM akan menyambut  dan meraikan golongan yang memeluk Islam,” ujar Dr Yusof Noor.


Pegawai dan kakitangan PERKIM mendengar amanat yang disampaikan oleh Tan Sri SUA.


Dr Yusof Noor turut menzahirkan ucapan takziah kepada kakitangan PERKIM yang kehilangan ahli keluarga.

Related Articles

Back to top button