Aktiviti Kebajikan

50 Mualaf PERKIM Terima Bungkusan BONDA 2.0

berita/foto: UMI MUSFIRAH ABDUL GHANI

KUALA LUMPUR – 24 Mac 2022 : “Syukur Alhamdulillah dan terima kasih kepada kepimpinan Pertubuhan Badan Kebajikan Orang-Orang Tua dan Asnaf Malaysia (BONDA) kerana ini merupakan kali kedua bersama kami untuk menyantuni mualaf dan asnaf,” kata Setiausaha Agung Kehormat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor

Tan Sri berkata di Majlis Penyerahan Sumbangan Bungkusan BONDA 2.0 bertempat di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat PERKIM Kebangsaan, Jalan Sultan Azlan Shah, ibu negara.

Kali pertama BONDA mengagihkan sumbangannya di sini pada 9 Disember 2020 lalu dengan memberikan 30 sumbangan kepada mualaf dan pada hari ini mereka sekali lagi hadir ke PERKIM untuk memberikan sumbangan kepada 50 penerima.

BONDA telah memberikan sumbangan berbentuk barang keperluan asas makanan seperti beras, gula, susu, tepung, garam, sardin, biskut, teh, minyak masak, pelitup muka serta pensanitasi tangan bagi meringankan beban penerima mualaf dan mereka yang terkesan daripada pandemik COVID-19.

Pengerusi BONDA, YBhg Dato’ Ismail Che Abdullah bersama Tan Sri Yusof Noor turut menurunkan tandatangan di Memorandum Akuan Penyerahan Bungkusan BONDA.

PERKIM dan penerima mengucapkan ribuan terima kasih kerana membantu dan berharap segala amal kebajikan yang dilakukan akan mendapat balasan ganjaran pahala serta keredhaan daripada Allah SWT.

Turut hadir ialah Pengarah Unit Perhubungan Awam, Dalam dan Luar Negara PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun; Setiausaha Kerja Pentadbiran dan Program PERKIM, YBhg Tuan Haji Mamat Che Chik .

Related Articles

Back to top button