PERKIM Kebangsaan Serah 3 Buah Van Kepada PERKIM Bahagian Negeri Perak, Kedah dan Wilayah Persekutuan
berita/foto: UMI MUSFIRAH ABDUL GHANI
KUALA LUMPUR – 23 Mac 2022 : Aktiviti dakwah, kebajikan dan pendidikan kepada saudara baharu atau mualaf PERKIM Bahagian-bahagian bertambah mudah dan lancar lagi setelah menyerahkan tiga buah van penumpang.
Tiga buah van berjenama Foton View CS2 yang memuatkan 18 orang penumpang itu diserahkan kepada tiga PERKIM Bahagian iaitu PERKIM Bahagian Negeri Perak, Kedah dan Wilayah Persekutuan.
Penyerahan tersebut disempurnakan oleh Setiausaha Agung Kehormat PERKIM Kebangsaan, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor bertempat di parkir kereta aras 3, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah.
Gimik pelancaran, Tan Sri Dr Yusof Noor memotong riben sambil menyerahkan kunci replika kepada Setiausaha Kehormat PERKIM Bahagian Negeri Perak, Mahathir M. Razi diikuti Setiausaha Kehormat PERKIM Bahagian Kedah YBhg. Tuan Haji Turdey Abdullah dan Setiausaha Kehormat PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan, Ustaz Abdul Rani Mohamed Daud.
Pengangkutan tersebut telah dipersetujui sebulat suara oleh Mesyuarat Majlis Kebangsaan PERKIM Bil 1/59 yang bersidang secara maya pada 23 Oktober 2020 lalu memandangkan PERKIM Bahagian Negeri tiada kemudahan pengangkutan van.
Van jenama yang sama juga akan diserahkan oleh Tan Sri Dr Yusof Noor kepada PERKIM Bahagian-bahagian lain secara berperingkat dalam masa terdekat.
Diharapkan dengan adanya van tersebut, ia dapat memudahkan kerja serta membantu dalam memudahkan usaha dakwah di peringkat PERKIM bahagian masing-masing.
Van yang diserahkan dibawa ke negeri masing-masing untuk kerja-kerja dakwah, kebajikan dan pendidikan.