10 Pelajar IPT Kategori Anak Mualaf Terima Sumbangan Wakalah MAIWP
Oleh: SRZ
KUALA LUMPUR, 21 DISEMBER 2023 – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan telah menganjurkan Majlis Simbolik Penyerahan Kewangan Pemegang Wakalah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kepada Pelajar Pengajian Tinggi Anak-anak Mualaf PERKIM bertempat di Dataran Dakwah, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah dekat sini, petang Khamis.
Program yang diadakan kerjasama Pusat Pungutan Zakat MAWIP (PPZ-MAIWP) serta Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Keluarga Harmoni PPR Kampung Baharu Air Panas Setapak (GAMONIS) itu menghimpunkan 50 orang terdiri dari kalangan mualaf pelbagai kaum, anak-anak mualaf serta kakitangan PPZ-MAIWP.
Pengarah Dakwah Kanan PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin dalam ucapannya menyampaikan salam hormat daripada Setiausaha Agung Kehormat PERKIM Kebangsaan, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor kerana tidak dapat hadir disebabkan mempunyai urusan penting di luar.
Beliau mengucapkan rasa syukur dan terima kasih kepada MAIWP kerana telah memilih anak-anak mualaf PERKIM Kebangsaan untuk menerima sumbangan.
Ujarnya, inilah yang dianjurkan oleh Islam kerana tangan yang memberi lebih mulia dan lebih baik daripada tangan yang menerima.
Menurut Dato’ Razali, ia diadakan adalah untuk memberikan bantuan kepada anak-anak mualaf yang sedang mengikuti kursus pengajian di Institut Pengajian Tinggi (IPT) awam atau swasta yang telah dikenal pasti oleh pihak PERKIM Kebangsaan.
Katanya, sumbangan dana kewangan pemegang wakalah MAIWP ini diharap akan mampu meringankan beban pelajar-pelajar yang sedang melanjutkan pelajaran di peringkat institut pengajian tinggi, sama ada di peringkat awam dan swasta.
Dato’ Razali turut merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada 10 anak mualaf kerana telah berjaya terpilih di IPT.
Hari bersejarah ini, kita memberi sumbangan kepada anak-anak mualaf, tetapi suatu masa nanti kita akan melihat mereka pula yang akan menjadi penyumbang zakat.
Saya menyedari bahawa sumbangan dan bantuan yang diberikan oleh MAIWP begitu banyak bagi membantu asnaf, mualaf dan anak-anak mualaf begitu banyak di Wilayah Persektuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
10 orang yang bermula pada hari ini kita akan terus melihat sejauh mana bantuan-bantuan yang boleh kita dapatkan bagi tujuan untuk anak-anak mualaf supaya satu masa kelak mereka akan keluar daripada kepompong penerimaan zakat dan seterusnya menjadi penyumbang zakat di Wilayah Persekutuan.
Beliau turut berterima kasih kepada pihak GAMONIS kerana telah berbesar hati menjalinkan kerjasama dengan pihak PERKIM Kebangsaan sebelum ini untuk mencari sejumlah dana bagi membantu anak-anak mualaf yang juga boleh dikategorikan sebagai asnaf fisabilillah.
Respon yang diberikan oleh pihak PPZ-MAIWP nyata memberikan khabar gembira buat anak-anak mualaf yang sememangnya amat memerlukan dana tersebut dan sekurang-kurangnya dapatlah mereka berbelanja untuk tujuan pembelajaran nanti.
Sebelum itu, Pengerusi GAMONIS, Tuan Haji Razali Abu Kasim dalam ucapannya berkata, melihat daripada aktiviti kebajikan dan pendidikan yang aktif di PERKIM Kebangsaan ia menjadi satu perangsang untuk GAMONIS bekerjasama serta membantu mencari dana kebajikan supaya agihan tersebut dapat disalurkan kepada anak-anak mualaf yang memerlukan.
Matlamat GAMONIS adalah membantu anak-anak daripada warga asnaf yang memerlukan bantuan dari segi kebajikan dan pendidikan serta membantu keluarga asnaf yang memerlukan keperluan asas dapur agar dapat melangsungkan kehidupan sekali gus membantu keperluan kebajikan pelajar-pelajar di IPT yang memerlukan komputer riba dan sebagainya.
Majlis berakhir dengan penyampaian sumbangan kewangan pemegang wakalah MAIWP kepada 10 anak-anak mualaf yang disampaikan oleh Dato’ Razali sambil disaksikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi PPZ-MAIWP, Mohamed Hassan dan Ketua Unit Pengurusan Wakalah Bahagian Agihan Zakat MAIWP, Umar Mukhtar Mohd Noor.
Turut diadakan penyerahan replika cek berjumlah RM10,000 dan cenderahati PPZ-MAIWP disampaikan oleh Mohamed Hassan kepada Dato’ Razali.
Dato’ Razali turut menyampaikan cenderahati balas berupa plak dan Buku Warisan dan Wawasan 60 Tahun PERKIM kepada Mohamed Hassan dan Razali Abu Kasim.
Turut hadir ialah Pengarah Pendidikan dan Pembangunan Insan PERKIM Kebangsaan, YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad serta Pengarah Penerbitan dan Media Baru PERKIM Kebangsaan, Firdaus Lokman Tah.
Muhammad Farhan Tee Abdullah mengacarakan Majlis Sumbangan Kewangan Pemegang Wakalah MAIWP bertempat di Dataran Dakwah, Bangunan PERKIM.
Tetamu kehormat yang hadir di majlis tersebut.
Tuan Haji Razali Abu Kasim selaku Pengerusi GAMONIS menyampaikan ucapan.
Dato’ Razali menyampaikan ucapan mewakili Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.
Dato’ Razali mengucapkan rasa syukur dan terima kasih kepada MAIWP kerana telah memilih anak-anak mualaf PERKIM Kebangsaan untuk menerima sumbangan.
Dato’ Razali berharap anak-anak mualaf yang mendapat sumbangan akan menjadi penyumbang zakat pada suatu masa nanti.
Dato’ Razali menyampaikan sumbangan pemegang wakalah MAIWP kepada anak mualaf yang berjaya ke IPT.
Salah seorang anak mualaf yang mendapat tempat di IPT menerima sumbangan tunai RM1,000.
Penyerahan Sumbangan Kewangan Pemegang Wakalah MAIWP kepada anak mualaf PERKIM.
Mohamed Hassan (dua dari kiri) menyampaikan replika cek berjumlah RM10,000 kepada Dato’ Razali.
Haji Razali Abu Kasim (kanan) menyampaikan plak cenderahati GAMONIS kepada Dato’ Razali.
Dato’ Razali menerima beg cenderahati PPZ-MAIWP daripada Mohamed Hassan.
Dato’ Razali menyampaikan cenderahati balas sebuah plak kepada Mohamed Hassan.
Dato’ Razali membuka Buku Warisan dan Wawasan 60 Tahun PERKIM ketika menyerahkan kepada Mohamed Hassan.
Tetamu kehormat bergambar kenang-kenangan bersama penerima sumbangan di akhir majlis.