Aktiviti Dakwah

Lawatan Kunjungan Hormat PERKIM Cawangan Masjid Tanah Melaka Ke PERKIM Kebangsaan

oleh: SRZ

KUALA LUMPUR, 20 DISEMBER 2023Setiausaha Agung Kehormat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor menerima kunjungan hormat daripada PERKIM Cawangan Masjid Tanah Melaka bertempat di Bilik Mesyuarat, Ibu Pejabat PERKIM Kebangsaan, Jalan Sultan Azlan Shah pada tengah hari, Rabu.


Dr Yusof Noor merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada 42 orang Ahli PERKIM Cawangan Masjid Tanah kerana kesudian berkunjung ke PERKIM Kebangsaan.

Menurutnya, kunjungan hormat itu bertujuan untuk mewujudkan hubungan yang lebih akrab di antara PERKIM Cawangan Masjid Tanah Melaka dengan PERKIM Kebangsaan dan bertukar-tukar pandangan serta idea bagi menggarap usaha dakwah, kebajikan dan pendidikan kepada mualaf di PERKIM Cawangan Masjid Tanah khususnya.

“Usia PERKIM kini telah menjangkau 63 tahun,” kata Dr Yusof Noor kepada ahli cawangan dalam memperingati semula sejarah penubuhan, latar belakang dan kepimpinan PERKIM di awal penubuhan.

Ulas beliau, Pengasas PERKIM, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang juga Perdana Menteri Malaysia pertama pada ketika itu sibuk dalam mentadbir negara dapat menubuhkan PERKIM dengan meletakkan beberapa pimpinan pelbagai kaum di dalam organisasi PERKIM.

Dr Yusof Noor turut menceritakan juga sejarah awal pembinaan Bangunan PERKIM yang menempuh pelbagai ujian dan cabaran hinggalah kini.


Sementara itu, Pengerusi PERKIM Cawangan Masjid Tanah, Tuan Haji Taib Haji Baba dalam ucapannya berkata, PERKIM cawangannya boleh berbangga pada hari ini kerana telah mempunyai bangunannya sendiri yang telah disumbangkan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid  Hamidi.

Jelas beliau, dengan wujudnya bangunan baharu itu, masyarakat telah mula mengenali PERKIM cawangannya dengan lebih dekat di samping berfungsi dalam kegiatan menjalankan kerja-kerja dakwah, kebajikan, pendidikan kepada saudara baharu.

Tambahnya, ahli PERKIM cawangannya kini terdiri daripada 95 orang wanita dan lapan orang lelaki.

Katanya, PERKIM Cawangan Masjid Tanah akan meneruskan siri penjelajahannya di seluruh Malaysia bagi mewujudkan hubungan dengan organisasi Islam sekali gus mendapatkan buah fikiran untuk menaik tarafkan pembangunan insan kepada saudara baharu dan pembangunan cawangannya.

“Kita akan bekerjasama dengan semua pihak sama ada agensi kerajaan atau badan-badan bukan kerajaan yang memberikan kekuatan kepada kami dalam menggerakkan aktiviti dan program dakwah selaras dengan agenda kerajaan serta misi atau visi sejajar dengan objektif PERKIM dalam kebajikan, pendidikan serta kerjasama kepada saudara baharu,” ujar Haji Taib.

Sebelum itu, Pengarah Kanan Dakwah PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin dalam ucapan aluannya berkata, kunjungan dua hala tersebut memberi input-input yang segar bagi merancang serta menjalankan program serta aktiviti dakwah, kebajikan dan pendidikan kepada saudara baharu.

Beliau berharap pertemuan tersebut dapat mempergiatkan lagi program dan aktiviti kolaborasi di antara PERKIM Kebangsaan dan PERKIM Cawangan Masjid Tanah menjelang tahun 2024.

Di akhir lawatan, Dr Yusof Noor turut menyampaikan plak cenderahati kepada Haji Taib Baba manakala Haji Taib Baba menyampaikan cenderahati balas dan buah tangan kepada Dr Yusof Noor.

Turut hadir ialah Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun; Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Mohamad Nordin Ibrahim; Setiausaha Kerja Eksekutif PERKIM Kebangsaan, Zulkefli Arifin serta Pengarah Penerbitan dan Media Baru PERKIM Kebangsaan, Firdaus Lokman Tah.


Dato’ Razali (kanan) menyambut kehadiran rombongan ahli-ahli PERKIM Cawangan Masjid Tanah Melaka ke PERKIM Kebangsaan.


Abdul Qawi Navine Abdullah mengacarakan majlis sekali gus membaca doa.


Seramai 42 ahli PERKIM Cawangan Masjid Tanah menadah tangan ketika doa dibacakan.


Ketibaan Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Yusof Noor.


Dato’ Razali menyampaikan ucapan aluan di majlis tersebut.


Dato’ Razali berharap kunjungan dua hala tersebut memberi buah fikiran bagi merancang serta menjalankan program serta aktiviti dakwah, kebajikan dan pendidikan PERKIM Cawangan Masjid Tanah.


Pengerusi PERKIM Cawangan Masjid Tanah, Tuan Haji Taib Haji Baba menyampaikan ucapan.


Menurut Haji Taib, PERKIM Cawangan Masjid Tanah mempunyai bangunan baharu yang disumbangkan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.


Dr Yusof Noor menyampaikan amanat kepada ahli-ahli PERKIM Cawangan Masjid Tanah.


Dr Yusof Noor menceritakan semula sejarah penubuhan, latar belakang dan kepimpinan PERKIM.


Seramai 42 ahli PERKIM Cawangan Masjid Tanah Melaka mendengar amanat yang disampaikan.


Dr Yusof Noor menyampaikan cenderahati sebuah plak PERKIM kepada Haji Taib selaku Pengerusi PERKIM Cawangan Masjid Tanah.


Haji Taib menyampaikan cenderahati balas sebuah plak PERKIM Cawangan Masjid Tanah kepada Dr Yusof Noor.


Kepimpinan PERKIM Kebangsaan bergambar kenang-kenangan bersama 42 ahli PERKIM Cawangan Masjid Tanah di akhir program.

Related Articles

Back to top button