Aktiviti DakwahAktiviti Wanita PERKIM

Wanita PERKIM Beri Nafas Baru Kepada Mualaf

Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

“Mendapat tentangan, dibuang dan dianiaya oleh ahli keluarga sendiri merupakan cabaran yang dihadapi oleh saudara baharu setelah memilih Islam sebagai agama pilihan mereka,” kata Tengku Puan Temenggong Kelantan, YTM Tunku Puan Sri Dato’ Hajah Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

 Tambahnya, terdapat juga di antara mualaf yang hanya tinggal sehelai sepinggang, hilang tempat bergantung, pekerjaan dan sumber pendapatan setelah mengucap dua kalimah syahadah.



 Tunku Noor berkata ketika menyampaikan ucapan aluan di Majlis Makan Malam sempena Mesyuarat Agung Tahunan Wanita Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kali Ke-39 bertempat di Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Majlis tersebut disertai seramai 300 orang terdiri daripada perwakilan dan pemerhati Wanita PERKIM bahagian seluruh Malaysia serta Wanita Persatuan Islam Seluruh Sabah (USIA).

Turut hadir ialah Naib Yang DiPertua PERKIM, Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim, Datuk Haji Nakhaie Ahmad, Datuk Dr. Mustapha Ma; Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor; Bendahari Kehormat PERKIM, Tan Sri Dato’ Dr. Muhammad Rais Abdul Karim; Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Datuk Hasbullah L. Isa; Naib Wanita PERKIM, Datuk Seri Hajah Sharifah Mordiah Tuanku Haji Fauzi, Datin Seri Dato’ Shamsiah Mohd. Yassin; Setiausaha Kehormat Wanita PERKIM, Datuk Maznah Dasmi; Bendahari Kehormat Wanita PERKIM, Raja Mazyah Raja Aminuddin dan Dato’ Tunku Mukminah Tunku Mohd. Jiwa.

Tunku Noor yang juga Ketua Wanita PERKIM berkata, secara tidak langsung, ia memberi kesan yang negatif kepada mualaf untuk meneruskan kehidupan yang baru dan sekiranya masalah berlarutan tanpa direkodkan atau diambil tindakan serta jalan penyelesaian ianya hanya umpama bak ‘air yang mengalir yang tiada arah tujunya’.

Ucapnya, Wanita PERKIM peringkat bahagian dan cawangan di seluruh Malaysia telah melaksanakan program Strategi Rundingan Meja Bulat Saudara Baharu Wanita PERKIM bagi merungkaikan permasalahan yang menimpa mereka.

Menurut Tunku Noor lagi, program tersebut sedikit sebanyak membantu dalam penyelesaian masalah dalam jangka masa yang singkat serta diekstrakkan secara sistematik dan teratur.

Strategi pengumpulan data yang dilaksanakan akan dianalisis melalui kajian kualitatif dan kuantitatif  turut mendapat sokongan dari Majlis Agama Negeri, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ujar Tunku Noor, Wanita PERKIM membimbing dan membantu mualaf dengan memberi sokongan kepada mereka yang telah mendapat hidayah agar mengikut ajaran Islam secara keseluruhan bagi membentuk penyatuan ummah serta perpaduan umat Islam.

“PERKIM telah diasaskan oleh ayahanda saya AlMarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan didaftarkan pada 19 Ogos 1960 di mana tujuan utamanya ialah untuk menyampaikan seruan dakwah Islam kebajikan dan pendidikan kepada masyarakat,” tambah Tunku Noor.

Beliau turut memetik pesanan ayahandanya: “Walaupun Islam merupakan agama persekutuan Malaysia yang terdiri daripada masyarakat majmuk, kita haruslah menghormati kaum-kaum lain yang menganut dan mengamalkan agama mereka secara bebas, aman, damai serta harmoni.”

Tunku Noor dan Ketua Pegawai Eksekutif Alliance Islamic Bank, Rizal Il-Ehzan Fadil Azim turut menandatangani memorandum persefahaman (MOU) di antara Yayasan Noor Al Syakur, Wanita PERKIM Kebangsaan dengan Alliance Islamic Bank Berhad berkenaan ‘Social Funding Platform’ melalui Global Sadaqah.

Tambah Tunku Noor, Social Funding Platform’ bertujuan membantu penerima dengan mewujudkan persekitaran yang selesa dan terbuka di mana individu penerima sumbangan diberi peluang untuk menjadi kuasa ekonomi supaya mereka dapat menyara diri dan tanggungan mereka serta mewujudan kesan positif yang berterusan kepada masyarakat.

Ucapnya lagi, menerusi laman sesawang Global Sadaqah iaitu www.globalsadaqah.com, ia merupakan satu kaedah yang mudah untuk rakan kongsi amal menyalurkan sumbangan kewangan dan zakat daripada orang ramai seluruh dunia kepada penerima-penerima yang dipilih.

Menurutnya, objektif kerjasama dengan ketiga-tiga pihak ialah untuk membantu mereka yang memerlukan modal permulaan perniagaan sehingga mereka dapat berdikari dari segi kewangan serta mengekalkan pendapatan yang stabil sekali gus memperbaiki mutu kehidupan keluarga.

Tunku Noor berharap, jalinan kerjasama itu akan menemui titik perubahan dan memberi sinar baru kepada mualaf dalam meletakkan mereka di luar kotak kemiskinan lebih-lebih lagi dalam mengharungi ibadah Ramadan dan Aidilfitri tidak lama lagi.

“Semoga mereka yang kurang bernasib baik dan memerlukan sumbangan akan terbela dengan projek pembiayaan tersebut memandangkan situasi mereka dalam kekangan ekonomi yang mencabar,” ujarnya.

Semoga Allah SWT melipat gandakan amalan zakat dan derma dari penyumbang-penyumbang yang prihatin di bulan Ramadan yang lebih baik dari seribu bulan ini.

Pada majlis yang sama, Pengerusi Selenggara Timur Sdn Bhd (STSB), Tengku Abdul Rahman Petra Tengku Tan Sri Dato’ Mohamad Rizam dan Tengku Nur Qistina Petri Tengku Tan Sri Dato’ Mohamad Rizam daripada Yayasan Noor Al-Syakur (YANAS) masing-masing menyampaikan replika cek sebanyak RM10,000 kepada Wanita PERKIM.

Hadirin disajikan dengan beberapa buah lagu qasidah serta nasyid persembahan dari 30 pelajar Maahad Tahfiz Darul Pekima, Salimah Mahmood dan kumpulan Dakwah, Arts and Entertainment (Dae).


Majlis diserikan lagi dengan ucapan perasmian disampaikan oleh Timbalan Yang DiPertua Pertubuhan Amal Silaturahim Isteri-Isteri Harapan (KASIH), Datin Seri Shamshida Taharin.

Shamshida dalam ucapannya berkata, satu kebanggaan bagi kaum wanita bila adanya usaha yang telah terbukti menjadi satu lambang keunggulan wanita Malaysia seperti Wanita PERKIM di mana ia telah diiktiraf oleh masyarakat Islam dan bukan Islam serta kerajaan terutama Jabatan Perdana Menteri yang merupakan sebagai sebuah pertubuhan yang aktif dalam kerja-kerja kebajikan dan dakwah.

Wanita USIA juga merupakan badan gabungan PERKIM yang aktif dengan kerja-kerja dakwah, kebajikan dan pendidikan. Setiap aktiviti yang dijalankan menunjukkan kepekaan dan keprihatinan khususnya terhadap keperluan dan masalah warga kota dan desa.

Jelasnya, aktiviti Wanita PERKIM telah sedkit sebanyak membantu tugas kerajaan dengan menampung kekosongan perhubungan dan kemesraan yang diperlukan oleh mereka yang tidak berkemampuan.

Wanita PERKIM turut tidak ketinggalan menyantuni masyarakat Orang Asli, cakna anak yang tidak sah taraf dan pelbagai masalah sosial di seluruh negara.

“Saya bersyukur kerana dapat menjadi sebahagian dari kaum wanita yang mempunyai wawasan dan komitmen tinggi untuk menjalankan kerja-kerja murni seperti Wanita PERKIM,” ujar Shamshida.

“Kerja yang dibuat tanpa meminta upah atau ganjaran dan tidak perlu dipaksa tetapi manfaatnya yang dirasai oleh semua mereka yang memerlukan.

Saya berharap akan banyak lagi pertubuhan diwujudkan mengikut contoh Wanita PERKIM yang mesra dengan masyarakat terutama dengan saudara baharu di mana sahaja mereka berada.

Walaupun dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu dan kewangan yang terhad, Wanita PERKIM masih gagah memberi perkhidmatan kepada masyarakat daripada segi kebajikan seperti derma kasut, pakaian seragam untuk anak-anak sekolah, pendidikan dan aktiviti kelas pengajian kepada saudara baharu dan lain-lain lagi.

Saya melihat usaha Wanita PERKIM mengadakan strategi meja bulat untuk mualaf seluruh negara adalah satu perkara yang amat dipuji dan mudah-mudahan ianya akan menjadi titik permulaan untuk perubahan yang besar untuk kemajuan wanita seluruhnya.

Shamshida turut mengucapkan syabas kepada wanita PERKIM kerana segala jasa, bakti dan pengorbanan mereka perlu dicontohi serta dibanggakan dan perlu diiktiraf sebagai serikandi bunga bangsa.

Timbalan Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Sarawak, Datin Noraini Hussin menyampaikan Anugerah Penghormatan Tokoh Kepimpinan PERKIM Sarawak kepada Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang diwakili oleh anaknya, Tunku Noor di akhir majlis.


Kepimpinan Wanita PERKIM menyambut ketibaan Datin Seri Shamshida Taharin.


Barisan Ahli Majlis Kebangsaan Wanita PERKIM bergambar bersama tetamu kehormat.


Shamshida (kiri) dan Tunku Noor (dua dari kiri) menyaksikan robot melakukan aksi pencak silat dibawakan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM).


Pelajar Tahfiz Darul Pekima mengiringi tetamu kehormat dengan alunan selawat.


Pelajar Maahad Tahfiz Pekima menyampaikan beberapa buah lagu qasidah kepada hadirin.


Tetamu kehormat di Majlis Makan Malam Perasmian Sempena Mesyuarat Agung Tahunan Wanita PERKIM Kali Ke-39.


Yus Ondri menyampaikan bacaan doa pada majlis tersebut.


Tetamu menadah tangan ketika doa dibacakan.


Tunku Noor menyampaikan ucapan aluan dan beberapa amanat kepada perwakilan di majlis makan malam tersebut.


Shamshida menyampaikan ucapan dan merasmikan majlis makan malam sempena Mesyuarat Agung Tahunan Wanita PERKIM Kebangsaan kali ke-39.


Tunku Noor (duduk kanan) dan Rizal Il-Ehzan (duduk kiri) menandatangani memorandum persefahaman (MOU) di antara Yayasan Noor Al Syakur, Wanita PERKIM Kebangsaan dengan Alliance Islamic Bank Berhad sambil disaksikan oleh Dr. Yusof Noor (belakang kiri) dan Shamshida (belakang kanan).


Tengku Abdul Rahman Petra (tengah) menyampaikan sumbangan replika cek sebanyak RM10,000 kepada Tunku Noor (dua dari kanan).


Tunku Noor (dua dari kanan) menerima replika cek sumbangan sebanyak RM10,000 daripada Tengku Nur Qistina (tengah) dari Yayasan Noor Al-Syakur (YANAS).


Tunku Noor (tengah) menyampaikan cenderahati penghargaan kepada Shamshida (kiri).


Zaini Yuhyi selaku pengacara majlis bagi Majlis Makan Malam bersempena Mesyuarat Agung Tahunan Wanita PERKIM.


Salimah Mahmood turut menyampaikan mesej ketuhanan melalui dua buah lagu nasyid.


Kumpulan Dakwah Arts and Entertainment (DAE) membawa empat buah lagu nasyid.


Tunku Noor (kanan) menerima Anugerah Penghormatan Tokoh Kepimpinan PERKIM Sarawak bagi mewakili ayahandanya AlMarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang disampaikan oleh Timbalan Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Sarawak, Datin Noraini Hussin.


Tunku Noor (tengah) berkesempatan bergambar bersama-sama perwakilan Wanita PERKIM Pulau Pinang.


Tunku Noor dan Dr. Yusof Noor bergambar bersama-sama Wanita PERKIM di akhir majlis.

Related Articles

Back to top button