Aktiviti DakwahAktiviti Wanita PERKIM

Mesyuarat Agung Tahunan Wanita PERKIM Kali Ke-39

oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

“Wujudnya kita di sini adalah untuk mencantum pemikiran, berganding pelbagai kekuatan dan kemahiran dengan satu tujuan iaitu untuk beramal serta membantu orang-orang yang memerlukan di antara kita,” kata Ketua Wanita Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), YM Tunku Puan Sri Dato’ Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Katanya, walaupun sibuk dengan tugasan harian, Wanita PERKIM tetap menjalankan kerja-kerja amal kebajikan, menyumbangkan idea, berkemahiran memperjuangkan hak-hak wanita terutamanya kepada mualaf khususnya dan masyarakat amnya.


Tunku Noor berkata ketika menyampaikan ucapan dasar Mesyuarat Agung Tahunan Wanita PERKIM Kebangsaan kali ke-39 bertempat di Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 27 hingga 28 April 2019 lalu.

Seramai 300 ahli yang hadir ialah terdiri daripada perwakilan serta pemerhati dari PERKIM Bahagian Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang Terengganu, Kelantan, Sarawak dan Wanita Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA).

Turut hadir ialah Naib Wanita PERKIM, Datuk Seri Hajah Sharifah Mordiah Tuanku Haji Fauzi, Datin Seri Dato’ Shamsiah Mohd. Yassin; Setiausaha Kehormat Wanita PERKIM, Datuk Maznah Dasmi; Bendahari Kehormat Wanita PERKIM, Raja Mazyah Raja Aminuddin.

Ujarnya, perhimpunan ini akan menjadi medan untuk menebar budi kebaikan pada seluruh umat manusia dan menjadikan kita suri tauladan terbaik, umat terbaik dan wanita terbaik.

Sebagai Wanita PERKIM, kita mestilah prihatin terhadap golongan yang memerlukan dengan menziarahi dan mengenal pasti keadaan mereka serta memberikan sumbangan keperluan sedikit sebanyak meringankan beban yang mereka hadapi.

Amalan bersedekah dan memberi makanan untuk berbuka kepada orang yang berpuasa turut menjadi amalan setiap kali menjelangnya Ramadan kerana sabda Rasulullah SAW: “Jagalah kalian dari neraka, meskipun hanya dengan separuh kurma.” (Hadis Bukhari)

Selain itu, penerapan ilmu kepada mualaf juga penting bagi meningkatkan kefahaman agama Islam kepada mereka supaya dapat mengadaptasikan Islam sebagai cara hidup di samping mengenal pasti permasalahan yang dihadapi sekali gus menyelesaikan dengan kadar masa yang singkat melalui bengkel Rundingan Meja Bulat yang dijalankan.

Keprihatinan yang mulia ini dapat membuka mata masyarakat betapa pentingnya usaha dakwah dan kebajikan kepada golongan terbabit serta mengharapkan semata-mata ganjaran daripada Allah SWT.

“Mengikut laporan tahunan ini, jelas menunjukkan Wanita PERKIM sentiasa mempertingkatkan aktiviti dari semasa ke semasa di peringkat bahagian mahupun cawangan,” kata Tunku Noor yang juga Tengku Puan Temenggong Kelantan Darul Naim.

“Saya mengharapkan pada pemilihan pada kali ini, para perwakilan dapat memilih Ahli Majlis Kebangsaan yang memberikan komitmen dan sumbangan penuh kepada Wanita PERKIM.

Biarlah kemenangan itu menjadi titik permulaan kepada mereka untuk menajamkan akal fikiran, menggenggam erat tangan demi membantu dan giat membimbing mereka yang memerlukan.

Pemilihan ini memberi hak memilih untuk menentukan siapakah yang sebaiknya dapat menjalankan tanggungjawab dan amanah bagi menghiasi halaman pergerakan Wanita PERKIM.

Mereka yang terpilih adalah untuk menyambung kesinambungan perjuangan terdahulu dan pergerakan Wanita PERKIM hendaklah sentiasa faham dan fasih tata cara Wanita PERKIM di dalam landasan yang betul, mengikut peraturan serta perlembagaan yang telah ditetapkan.

Tunku Noor turut mengucapkan terima kasih di atas sumbang bakti ,pengorbanan masa, penat lelah serta menginfak wang ringgit yang diberikan selama dua tahun lalu. Semoga ianya akan menjadi saham akhirat nanti.

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi auliya’ (penolong) bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (at-Taubah :71)

Sebelum itu diadakan sesi ceramah kesihatan kepada ahli Wanita Perkim bertajuk ‘Pemahaman Strok di kalangan Rakyat Malaysia’ disampaikan oleh Dr. Mohd. Suffian Adenan yang merupakan Pakar Neurologi Hospital Kuala Lumpur manakala Dr. Sarinah Basro selaku Pakar Perunding  Payudara dan Pakar Bedah Endokrin Pusat Perubatan Avisena Shah Alam menyampaikan tajuk ‘Kesedaran dan Pencegahan Kanser Payudara’.

Program turut diisi dengan santapan rohani seperti qiamulail, tilawah al-Quran, solat berjemaah, serta kuliah Subuh disampaikan oleh pendakwah bebas, Ustaz Zulyadain Mohd. Radzi.

Antara agenda mesyuarat agung ialah meluluskan minit mesyuarat agung tahun lalu, menerima laporan tahunan Wanita PERKIM Kebangsaan, menerima laporan tahunan bahagian-bahagian Wanita PERKIM, meluluskan akaun bagi tahun berakhir 31 Disember 2018, meluluskan anggaran pendapatan perbelanjaan bagi tahun 2020, membincangkan usul-usul dan ucapan penangguhan.

Sebelum itu diadakan Pemilihan Ahli Majlis Kebangsaan Wanita bagi sesi 2019 hingga 2021 dan keputusannya ialah:

Ketua Wanita: YM Tunku Puan Sri Dato’ Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj

Naib Wanita 1: Datuk Seri Hajah Sharifah Mordiah Tuanku Haji Fauzi

Naib Wanita 2: Datin Seri Dato’ Shamsiah Mohd. Yassin

Pengerusi Tetap: Alauyah Abdullah

Timbalan Pengerusi Tetap: Hasnah Mohamed

Setiausaha Kehormat: Datuk Maznah Dasmi

Bendahari Kehormat: Raja Mazyah Raja Aminuddin

Ahli Majlis Kebangsaan:

  • Faiza Bawumi Sayed Ahmad
  • Datin Paduka Norsiah Haron
  • Datin Mawanchik Che Jais
  • Dato’ Latiffa Bee Abdul Rahman
  • Prof Madya Dr. Nur’azah Dato’ Abdul Manaf
  • Dr Suariza Hidayah Muhammad
  • Datin Asmah Md. Rashid
  • Datin Rohani Jamaluddin
  • Norliza Md Yamin
  • Khamshiah Othman
  • Datin Seri Nurzarina Sepran


Sesi pendaftaran bagi Ahli Majlis Kebangsaan, perwakilan dan pemerhati Mesyuarat Agung Tahunan Wanita PERKIM Kali Ke-39.


Meriah…ketika sesi pendaftaran dijalankan.


Ketua Wanita PERKIM, Tunku Noor (kanan) turut menandatangani kehadiran sesi pendaftaran.


Solat subuh berjemaah dipimpin oleh Ustaz Zulyadain Mohd. Radzi


‘Kehidupan di Hujung Usia’ merupakan tajuk kuliah Subuh disampaikan oleh Ustaz Zulyadain kepada ahli Wanita.


Mesyuarat Agung Tahunan Wanita PERKIM Kebangsaan Kali Ke-39 bersidang.


Ustaz Yus Ondri menyampaikan bacaan alunan ayat suci al-Quran ketika pembukaan mesyuarat berlangsung.


Ustaz Zulyadain turut membacakan doa pembuka majlis.


Para perwakilan menadah tangan ketika doa dibacakan.


Tunku Noor menyampaikan ucapan dasar selepas doa dibacakan.


Suasana persidangan Mesyuarat Agung Tahunan Wanita PERKIM Kali Ke-39.


Perwakilan dari Wanita PERKIM Sarawak menyampaikan beberapa usul kepada persidangan mesyuarat.


Bendahari Kehormat Wanita, Raja Mazyah merangkap pemilihan menyampaikan tatacara pemilihan kepada seluruh perwakilan.


Perwakilan memangkah calon yang dipilih dalam Pemilihan Ahli Majlis Kebangsaan Wanita bagi sesi 2019 hingga 2021.


Naib Ketua Wanita, Shamsiah Mohd. Yassin turut membuang undi bagi memilih Ahli Majlis Kebangsaan Wanita bagi sesi 2019 hingga 2021.


Sesi pembuangan undi Pemilihan Ahli Majlis Kebangsaan Wanita bagi sesi 2019 hingga 2021.


Perwakilan Melaka menyampaikan usul-usul ke persidangan mesyuarat.


Antara Ahli Majlis Kebangsaan Wanita yang terpilih bagi sesi 2019 hingga 2021.


Mesyuarat Agung Tahunan Wanita PERKIM Kebangsaan Kali Ke-39 bersidang dengan Ahli Majlis Kebangsaan Wanita yang baharu.


Tunku Noor membuat ucapan penggulungan di akhir mesyuarat.

Related Articles

Back to top button