Aktiviti Dakwah

Kunjungan Hormat Persatuan Dayak Muslim Kebangsaan Ke Ibu Pejabat PERKIM Kebangsaan

oleh : MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI


“Hari ini bilangan kaum Dayak Muslim di Malaysia sudah menjangkau puluhan ribu di Semenanjung Malaysia dan jika merangkumi bilangan yang ada di Sabah, Brunei, Singapura dan Sarawak angkanya telah mencecah ratusan ribu,” kata Presiden Persatuan Dakyah Muslim Kebangsaan (PDMK), Norhaza Ahmad Redzuan Abdullah.

Jelasnya, kaum Dayak merupakan kaum peribumi yang tinggal di kepulauan Borneo adalah antara masyarakat yang semakin menerima cahaya hidayah Islam.

Begitu juga masyarakat lain yang dahulunya hidup di dalam bayangan kepercayaan lama (animisme) dan pagan boleh bangkit menjadi bangsa yang hebat dan cemerlang.

Norhaza berkata ketika membuat kunjungan hormat ke Ibu Pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan di Jalan Sultan Azlan Shah, Kuala Lumpur pada 23 April 2019 lalu.

Turut hadir pimpinan PERKIM ialah Penolong Setiausaha Agung Kehormat, Datuk Hasbullah L. Isa; Pengarah Institut Dakwah Antarabangsa, Datuk Abdul Hanif Harun; Pengarah Unit Aset dan Pembangunan, Datuk Ahmad Mustafa; Pengarah Unit Komunikasi dan Media Baru, Datuk Idris Mamat; Setiausaha Kerja, Zulkefli Arifin; Pegawai Pejabat Bendahari Kehormat, Abu Bakar Zakaria; Pegawai Unit Perancangan Penyelidikan dan Pelaksanaan, Sulaiman Ding Yu Zhong, Muhammad Farhan Tee Abdullah; Penasihat Umum PDMK, Fadullah Abdullah serta Setiausaha PDMK, Nur Latifah Ajong Abdullah.

Menurut Norhaza, PDMK tercetus sewaktu Seminar Kepimpinan Dayak Muslim Kebangsaan pada 22 Disember 2017 anjuran bersama Al-Hidayah Sarawak, Persatuan Dayak Muslim Melaka, Persatuan Dayak Muslim Johor, Persatuan Dayak Muslim Selangor dan Rakan Dayak Negeri Sembilan.

Katanya, PDMK telah didaftarkan secara dalam talian pada malam 23 Disember 2017 dan ianya telah diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 15 Januari 2018.

Visi PDMK ialah organisasi peneraju Pembangunan Hal Ehwal Dayak Muslim di Malaysia dan misinya pula ialah memacu transformasi pembangunan Hal Ehwal Dayak Muslim secara menyeluruh kreatif, inovatif, strategik serta kompetitif.

Sejak pendaftaran PDMK pada 11 Mei 2014, persatuan ini menjadi wadah kepada kaum Dayak Muslim saling kenal-kenalan dan bantu membantu antara satu sama lain atas dasar ukhuwah Islamiah.

Walaupun kaum tersebut terkenal dengan budaya bejalai, belelang dan bekuli namun hidayah Allah SWT ia dapat membuka minda dan hati mereka untuk melihat keindahan serta kecantikan Islam sekali gus merasai Islam sebagai rahmat sekalian alam.

Kebangkitan ini adalah kerana mereka menerima Islam sebagai satu cara hidup dan kembali kepada penyembahan Allah Tuhan Yang Esa.

Di samping itu PDMK membantu mereka mempalajari dan menghayati agama Islam dengan lebih baik dan mendalam.

Sebagai sebuah pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) yang berpaksikan Islam, PDMK mendukung kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan Malaysia dan menjunjung Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam.

PDMK percaya dengan skap saling hormat menghormati dan bekerjasama akan membuahkan natijah yang lebih besar di dalam kebangkitan kegemilangan umat Islam.

PDMK ditubuhkan bertujuan sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan Pertubuhan adalah menjadi sebuah organisasi dakwah yang dinamik dan pembela kaum Dayak Muslim di Malaysia.

Selain itu, objektif PDMK ialah memantapkan keupayaan dan profesionalisme tadbir urus; meningkatkan keupayaan pemilikan harta; mengukuhkan kesedaran, kefahaman dan penghayatan Islam Dayak Muslim;  memelihara kebajikan dan memperkasa pendidikan Dayak Muslim serta melahirkan tokoh dalam kalangan Dayak Muslim.

Di Malaysia, Dayak secara umumnya merujuk tiga kumpulan kaum etnik di Sarawak iaitu kaum Iban, Bidayuh dan Orang Ulu dan ia merupakan komponen yang lebih besar meliputih lebih 33 etnik dan 30 bahasa.

Berdasarkan bancian penduduk tahun 2010, kaum Iban adalah kaum Dayak terbesar iaitu seramai 738,700 orang atau 28.9% diikuti kaum Bidayuh seramai 204,800 atau 8% dan Orang Ulu seramai 144,400 atau 5.6%.

Perkembangan terkini, definisi Dayak merangkumi kaum-kaum pribumi kepulauan Borneo dan sekitar nusantara meliputi  kaum Dayak Melanau, Dayak Kadazan, Dayak Dusun, Dayak Bajau dan lain-lain yangjuga merupakan sub Malay Archipelago.

Kaum Dayah juga telah ramai berhijrah ke Semenanjung Malaysia di pelbagai negeri khususnya Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan lain-lain.

Penghijrahan ini bermula sejak penyertaan Sarawak di dalam Persekutuan Malaysia selepas 1963 sama ada melalui pekerjaan, menyambung pelajaran dan perkahwinan. Penghijrahan ini sesuai dengan adat belelang kaum Dayak yang sangat dibanggakan.

Dianggarkan dengan mengambil kira setiap isi rumah, jumlah kaum Dayak yang berada di Semenanjung (termasuk bekerja ulang alik di Singapura) adalah melebihi 500,000. Daripada jumlah tersebut dianggarkan melebihi 50,000 adalah beragama Islam.

Bagi mengukuhkan kesedaran, kefahaman dan penghayatan Islam dalam kalangan mualaf, PDMK telah menganjurkan Konvensyen Dwi Tahunan Dayak Muslim, Ijtimak Kepimpinan Dayak Muslim, Silaturahim Gawai Dayak, Forum Dayak Muslim, Iftar Perdana Dayak Muslim Kebangsaan, Pemukiman Kepimpinan Dayak Muslim Kebangsaan, Persidangan Dakwah Dayak Muslim Antarabangsa, Tilawah al-Quran Dayak Muslim serta Kursus Profesionalisme Daie Dayak Muslim.

Antara perancangan masa akan datang PDMK ialah mendirikan Masjid Dayak Muslim; menubuhkan Pusat Aktiviti Tarbiyyah Kebajikan Dayak Muslim; menyediakan dana khas untuk khairat kematian Dayak Muslim; mengurus bantuan kebajikan yang diperlukan oleh Dayak Muslim; mengadakan aktiviti bercorak kesenian dan kebudayaan Dayak secara patuh syariah; mengetengahkan ketokohan Dayak Muslim di media elektronok; mencungkil dan menggilap bakat Dayak Muslim yang berpotensi serta menerbitkan tulisan ilmiah atau ceramah audio visual oleh tokoh Dayak Muslim.

PDMK mendapatkan sumber kewangan daripada sumbangan ahli-ahlinya yang terdiri daripada golongan professional dan Johor, Melaka bantuan geran Tabung Baitulmal Sarawak.NGOi

Diharap PDMK memainkan peranan yang lebih agresif di peringkat kebangsaan dan antarabangsa bagi memartabatkan lagi usaha dakwah dan kebajikan Dayak Muslim di Malaysia.


Setiausaha Agung Kehormat  PERKIM, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor
mengalu-alukan kehadiran empat ahli PDMK ke ibu pejabat PERKIM Kebangsaan.

Katanya, PDMK merupakan pertubuhan yang sama perjuangan dan konsepnya dengan PERKIM, Jamiyah Education Centre dan Darul Arqam di Singapura serta Persatuan Islam Tionghoa di Indonesia.

Jelas Dr. Yusof Noor, dengan adanya badan dakwah seperti PDMK, kita fikir untuk menjadikan ia salah satu badan gabungan PERKIM seperti Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Harakah Islamiah (HIKMAH), Persatuan Islam Seluruh Sabah (USIA) dan Darul Fitrah.

“Saya akan memaklumkan kepada Yang DiPertua PERKIM, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan membawa ke Mesyuarat Majlis Kebangsaan PERKIM  hasrat PDMK untuk menjadi badan gabungan PERKIM,” ujarnya.

Beliau turut menyampaikan salam kepada seluruh ahli-ahli PDMK dan berharap dapat berganding bahu dalam bersama-sama berusaha menyebarkan kerja dakwah, kebajikan serta pendidikan kepada mualaf.

Diharap PDMK dapat melaksanakan aktiviti-aktiviti dakwah Dayak Muslim bagi mencapai tujuannya serta jaringan kerjasama meliputi semua agensi, institusi dan badan-badan dakwah.


Dr. Yusof Noor (tengah) mengalu-alukan kehadiran ahli PDMK ke ibu pejabat PERKIM Kebangsaan.

Norhaza selaku Presiden PDMK memperkenalkan dan memberi penerangan mengenai persatuannya kepada PERKIM.


PDMK memberi penerangan melalui kaedah persembahan multimedia.


Penasihat Umum PDMK, Fadullah Abdullah turut menyampaikan pandangan beliau kepada Setiausaha Agung Kehormat, Dr. Yusof Noor.


Dr. Yusof Noor (tengah) menyampaikan plak cenderahati kepada Presiden PDMK dan disaksikan oleh pengurusan PERKIM dan ahli PDMK.

Related Articles

Back to top button