Pengumuman

Ucapan Setiausaha Agung Kehormat PERKIM

Assalamua’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Alhamdulillah, saya bersyukur kehadrat Allah SWT kerana diberi peluang dengan satu nada, kesatuan hati dan iltizam yang tinggi untuk meneruskan hala tuju perjuangan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM).

Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg, Premier Sarawak merangkap Yang Dipertua PERKIM yang telah memberi kepercayaan kepada saya untuk memikul amanah sebagai Setiausaha Agung Kehormat PERKIM.

Lantikan ini saya terima dengan penuh rendah hati dan tanggungjawab. Ini adalah satu penghormatan besar dan saya beriltizam untuk memberikan yang terbaik demi kelangsungan perjuangan PERKIM.

Sebagai sebuah organisasi yang berwawasan, PERKIM berpegang teguh kepada lima objektif utama iaitu dakwah, kebajikan, pendidikan, kerjasama dan lain-lain.

Kejayaan kita hari ini adalah hasil daripada kesepakatan dan komitmen berlandaskan dengan semangat satu suara, satu nada dan satu budaya kerja, insya-Allah kita akan dapat melanjutkan kesinambungan yang telah dibina oleh kepimpinan terdahulu.

Saya mula terlibat dalam PERKIM melalui platform Harakah Islamiah Malaysia (HIKMAH), yang juga merupakan badan gabungan kepada PERKIM dan pada ketika itu, saya diberi peluang untuk memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung HIKMAH untuk mengikuti perkembangan semasa PERKIM dengan lebih dekat.

Saya juga menyaksikan sendiri era peralihan kepimpinan PERKIM daripada Allahyarham Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud kepada YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2006.

Pengalaman tersebut memberikan banyak pengajaran dan perspektif yang berharga dalam memimpin sebuah organisasi Islam yang mempunyai visi besar untuk kebaikan ummah.

Saya juga bersyukur kerana dilibatkan dalam pelbagai organisasi dakwah Islam serantau, salah satunya adalah Majlis Da’wah Islamiah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP), di mana saya kini turut berkhidmat sebagai Setiausaha Agung Kehormat.

RISEAP merupakan sebuah platform yang memberi tumpuan kepada komuniti minoriti Islam di Asia Tenggara dan Pasifik. Organisasi ini bertujuan untuk memupuk persefahaman, kerjasama, dan perkongsian amalan terbaik antara negara-negara serantau, bagi memperkukuh pembangunan umat Islam, khususnya di kalangan saudara baharu dan mualaf.

Pengalaman saya di RISEAP memberi banyak nilai tambah kepada PERKIM dalam membina hubungan dengan organisasi dakwah serantau.

Saya percaya, dengan kerjasama strategik yang lebih erat antara PERKIM dan RISEAP, kita dapat memperkukuhkan lagi pembangunan modal insan, khususnya dalam kalangan saudara baharu atau mualaf yang amat memerlukan perhatian dan sokongan.

Sinergi antara kedua-dua organisasi ini juga akan memperkaya program-program kebajikan, pendidikan, dan dakwah yang dijalankan oleh PERKIM.

Salah satu cabaran besar yang kita hadapi hari ini adalah memperkukuh daya tahan dan jati diri umat Islam, khususnya bagi saudara baharu atau mualaf, agar mereka dapat mengharungi kehidupan dengan lebih baik dan berdikari.

Oleh itu, saya berharap agar kita semua dapat bersama-sama menggembeleng tenaga, menyediakan lebih banyak peluang pendidikan dan memperkasakan jaringan sokongan untuk mereka.

Kerjasama dengan RISEAP dan organisasi-organisasi dakwah yang lain merupakan langkah strategik untuk menggapai matlamat ini.

Saya ingin mengajak semua ahli dan penyokong PERKIM untuk terus bersatu, bekerja dengan penuh dedikasi dan komited dalam menjalankan gerak kerja kebajikan dan dakwah.

Berlandaskan kepada prinsip-prinsip yang kita pegang, saya yakin bahawa kita akan mampu mencapai matlamat besar PERKIM demi kemaslahatan umat Islam di Malaysia dan juga serantau.

Semoga Allah SWT memberi kekuatan kepada kita semua untuk terus berkhidmat dan berjihad di jalan-Nya. Terima kasih.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

𝐘𝐁𝐡𝐠. 𝐃𝐚𝐭𝐨’ 𝐃𝐫. 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐌𝐨𝐡𝐚𝐦𝐚𝐝 𝐌𝐚𝐫𝐳𝐮𝐤𝐢 𝐌𝐨𝐡𝐚𝐦𝐚𝐝 𝐎𝐦𝐚𝐫
𝐒𝐞𝐭𝐢𝐚𝐮𝐬𝐚𝐡𝐚 𝐀𝐠𝐮𝐧𝐠 𝐊𝐞𝐡𝐨𝐫𝐦𝐚𝐭 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌
1 Ogos 2025

 

Related Articles

Back to top button