Aktiviti Dakwah
Taklimat Sanitasi Beri Kesedaran Staf PERKIM HQ

26 JUN – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan telah mengadakan Taklimat Sanitasi Bangunan PERKIM khusus kepada kakitangan PERKIM Kebangsaan di Bilik Mesyuarat Tingkat 4, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah, Kuala Lumpur.
Taklimat tersebut telah disampaikan oleh Encik Nor Hisham Badri dari syarikat Envirocon Pest Management bagi menerangkan proses sanitasi dengan menggunakan bahan-bahan penyah kuman mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Selain itu, Hisham juga menerangkan kepada kakitangan PERKIM mengenai bahaya COVID-19 dan meggesa supaya mengamalkan penjarakan sosial 1 meter, menjalani proses saringan suhu badan, sentiasa memakai pelitup muka, kerap mencuci tangan dengan hand sanitizer bagi memutuskan rantaian wabak COVID-19.
Kata Hisham lagi, beliau bersama pasukannya akan melakukan proses sanitasi di Bangunan PERKIM pada hari Sabtu dan Ahad bermula di tingkat 6, 5, 4, kawasan tangga dan termasuk enam lif
Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr. Yusof Noor mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan yang sudi hadir.
“Mencegah lebih baik daripada merawat.” Kata-kata hikmah ini sebenarnya berasal dari salah satu kaedah dalam Usul Fiqh. Kata-kata ini diplagiat oleh pihak Barat dengan menyebutnya sebagai ‘Prevention is better than cure’.
Kata Tan Sri lagi, kita ini badan dakwah, jadi eloklah kita ikhtiarkan untuk mengaplikasikan kata-kata ini. Walaupun kerja sanitasi bangunan tidak dapat mencegah sepenuhnya penularan wabak COVID-19, namun kita harus berusaha untuk menghindari wabak ini.
Ujarnya, kita telah berbincang dengan penyewa di Bangunan PERKIM ini untuk kerja sanitasi di setiap premis dan mereka berpendapat mereka boleh melakukan pengamalan sanitasi di premis mereka sendiri memandangkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak mewajibkan proses sanitasi.
Oleh itu, kerja sanitasi akan dijalankan di premis Pejabat PERKIM sahaja iaitu di tingkat 4,5 dan 6. Kita perlu mengambil berat terhadap mereka yang berkunjung ke Bangunan PERKIM ini kerana mereka terdiri daripada pelbagai jenis kategori.
Mereka boleh berkunjung ke mana-mana tingkat atau premis. Satu perkara lagi yang perlu dititik beratkan ialah kita tidak mengetahui siapa pembawa virus ini. Ada yang terkena wabak ini tanpa menunjukkan sebarang simptom. Kita boleh bertawakal kepada Allah SWT di samping berikhtiar untuk mencegah wabak ini.
Selain itu, kerja-kerja dakwah perlulah diteruskan di samping kerja-kerja pentadbiran yang dilaksanakan kerana tugas utama kita berdakwah. Seperti yang telah saya maklumkan dalam Mesyuarat Pengurusan Eksekutif (MPE) yang lepas, saya ingin mengucapkan tahniah sekali lagi kepada semua kakitangan Ibu Pejabat PERKIM yang terlibat menyertai Pasukan Kebajikan PERKIM bagi mengagihkan Bantuan Khas COVID-19 kepada lebih 1,000 asnaf dan mualaf sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada semua ahli pasukan ini kerana berani berkhidmat dalam tempoh yang berisiko berkenaan. Bantuan diagihkan di sekitar Wilayah Persekutuan dan Selangor kerana bantuan disalurkan secara terus dari Ibu Pejabat PERKIM dan tidak dapat diagihkan ke seluruh negara kerana halangan rentas negeri semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Majlis diakhiri dengan bacaan doa oleh Ustaz Muhammad Jais Mariappan Abdullah.
Turut hadir ialah pimpinan PERKIM, Bendahari Kehormat, YBhg Tan Sri Dato’ Dr Muhammad Rais Abdul Karim; Penolong Setiauasaha Agung Kehormat, YBhg Datuk Haji Hasbullah L. Isa; Pengarah Pembangunan dan Aset, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa; Pengarah Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM, YBhg Dr Suariza@Hidayah Muhammad serta Doktor Pusat Pemulihan Komuniti Strok (SCORE), Dr Fatimah Abdullah.
– UMI MUSFIRAH ABDUL GHANI


















