PERKIM Urus Jenazah Pelajar Kelas, Allahyarham Muhammad Jimmi Ooi
ᵒˡᵉʰ : ᴹᴼᴴᴰ ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ | ᵁᴹᴵ ᴹᵁˢᶠᴵᴿᴬᴴ ᴬᴮᴰᵁᴸ ᴳᴴᴬᴺᴵ
𝐊𝐔𝐀𝐋𝐀 𝐋𝐔𝐌𝐏𝐔𝐑, 𝟏𝟎 𝐒𝐄𝐏𝐓𝐄𝐌𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟓 – Warga Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan berdukacita apabila menerima khabar pemergian seorang pelajar Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan (KPIPK), Allahyarham Muhammad Jimmi Ooi yang menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Chow Kit pada 9 September lalu.

Menurut 𝗣𝗲𝗴𝗮𝘄𝗮𝗶 𝗨𝗻𝗶𝘁 𝗗𝗮𝗸𝘄𝗮𝗵 𝗱𝗮𝗻 𝗣𝗲𝗺𝗯𝗮𝗻𝗴𝘂𝗻𝗮𝗻 𝗜𝗻𝘀𝗮𝗻, 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱 𝗙𝗮𝗿𝗵𝗮𝗻 𝗧𝗲𝗲 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵, Allahyarham merupakan seorang saudara baharu yang memeluk Islam di PERKIM Kebangsaan pada tahun 2022, dikenali sebagai seorang pelajar yang rajin, pendiam dan penuh rasa hormat terhadap guru serta rakan-rakan seperjuangan.
Sebelum mengikuti KPIPK, beliau pernah menuntut ilmu di Kompleks Darul Hidayah, Sentul, di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Menurut rakan-rakannya, arwah telah mengalami masalah kesihatan sejak tiga minggu yang lalu.
Pada 8 September, beliau mendapatkan rawatan di sebuah klinik berhampiran kediamannya dengan bantuan seorang sahabat.
Namun keesokan harinya, telefon bimbit beliau gagal dihubungi sepanjang hari. Seorang rakannya kemudian pergi ke rumah sewanya untuk menghantar makanan, namun mendapati arwah sudah tidak bernyawa.
Perkara itu segera dimaklumkan kepada pihak PERKIM Kebangsaan sebelum Ustaz Farhan Tee menghubungi Balai Polis Chow Kit serta pihak ambulans bagi mendapatkan pengesahan rasmi.
Setelah disahkan meninggal dunia di kediamannya, jenazah Allahyarham dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses lanjut.
Kakitangan PERKIM Kebangsaan, Umi Musfirah Abdul Ghani dan Jamilatun Noor Hashim @ Hamid turut hadir di balai polis bagi membantu memberikan maklumat berkenaan waris Allahyarham.
Hasil semakan, keluarga arwah yang berada di Pulau Pinang dimaklumkan mengenai berita pemergian itu dan terkejut dengan pemergian Allahyarham Jimmi serta meminta pihak PERKIM menguruskan jenazah.
Farhan, yang juga salah seorang tenaga pengajar di KPIPK, menyifatkan Allahyarham sebagai pelajar yang sangat berdisiplin dan sentiasa menunjukkan komitmen dalam pembelajaran.
“Arwah tidak pernah menimbulkan sebarang masalah. Beliau seorang yang tekun, sentiasa hadir ke kelas dan menghormati guru serta rakan-rakan. Kehilangan ini amat dirasai seluruh warga PERKIM Kebangsaan,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, rakan serumah arwah, Muhammad Yusof berkata kali terakhir beliau melihat Allahyarham Jimmi Ooi adalah pada malam sebelum kejadian.
Jenazah kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas solat Isyak untuk urusan forensik.
Pada jam 2.40 petang, dengan kerjasama JAWI yang diketuai Pembantu Hal Ehwal Islam Bahagian Pengurusan Masjid, Ustaz Mohammad Izehar Md Amin, waris terdekat iaitu anak saudara arwah, Ooi Huey Ling hadir ke Unit Forensik HKL bagi proses pengecaman sebelum menuntut jenazah.
Allahyarham kemudiannya dibawa ke Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Selasih untuk dimandikan, dikafankan dan disembahyangkan.
Suasana pilu menyelubungi proses pengebumian apabila hujan renyai turut mengiringi perjalanan terakhirnya.
Rakan-rakan sekelas serta warga PERKIM Kebangsaan dan PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan turut hadir memberikan penghormatan terakhir dengan doa, bacaan al-Fatihah serta surah-surah suci Al-Quran.
Ustaz Izehar turut memimpin talkin, doa dan menyampaikan nasihat kepada hadirin agar mengambil iktibar daripada pemergian seorang sahabat seagama.
Selepas selesai pengkebumian, waris serta rakan-rakan menaburkan bunga di pusara arwah sebagai tanda kasih dan penghormatan terakhir.
Farhan, mewakili seluruh warga PERKIM Kebangsaan, menzahirkan rasa dukacita dan ucapan takziah kepada ahli keluarga.
“Kami amat sedih dengan kehilangan saudara baharu yang bersama-sama kami menimba ilmu sejak beliau memeluk Islam.
“Semoga keluarganya tabah menerima ketentuan Ilahi dan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan hamba Allah yang beriman dan beramal soleh,” ujarnya.
Pemergian Allahyarham Muhammad Jimmi Ooi bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam buat ahli keluarga dan rakan-rakan, bahkan turut dirasai seluruh komuniti mualaf yang selama ini menjadi tempat beliau mengenal Islam, menimba ilmu dan mengukuhkan pegangan agamanya.
Turut hadir ialah Pegawai Dakwah PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan, Ustaz Mohd Jogi Panjaitan Maruli.

JAWI menuntut jenazah Allahyarham Muhammad Jimmi Ooi di Unit Forensik HKL selepas mendapat pengesahan daripada waris.

Waris Allahyarham, Ooi Huey Ling hadir bagi melihat bapa saudaranya disaksikan oleh rakan taulan dan mualaf.

Jenazah Allahyarham yang telah dimandikan dan dikafankan kemudiannya disolatkan di Raudhatul Sakinah.

Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah KL-Karak 2, Taman Selasih.

Jenazah Jimmi Ooi dimasukkan ke dalam liang lahad sambil dibantu oleh petugas dan Ustaz Farhan Tee.

Petugas menimbus tanah bagi menutup lubang kubur dengan menggunakan cangkul dan penyodok.

Ustaz Izehar memimpin bacaan talkin, doa dan menyampaikan nasihat kepada hadirin.

Pegawai Dakwah PERKIM Wilayah Persekutuan, Ustaz Jogi Panjaitan (kiri) hadir bagi memberi penghormatan terakhir.

Rakan-rakan Allahyarham Jimmi Ooi hadir bagi memberi penghormatan terakhir sambil menabur bunga dan menyirami kubur.

Rakan-rakan pelajar yang hadir turut bersedih dengan pemergian Allahyarham Jimmi Ooi.



