Aktiviti Kebajikan

PERKIM Anjur Program Ziarah Kebajikan Masyarakat Majmuk ke Pusat Penjagaan Fajar Gemilang

ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ

𝐒𝐔𝐍𝐆𝐀𝐈 𝐏𝐄𝐓𝐀𝐍𝐈, 𝟔 𝐒𝐄𝐏𝐓𝐄𝐌𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟓 – Suasana penuh mesra dan harmoni mewarnai Program Ziarah Kebajikan Masyarakat Majmuk yang berlangsung di Pusat Penjagaan Fajar Gemilang (PPFG), Taman Kelisa Ria, di sini pada pagi Sabtu.

Program anjuran bersama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) itu mendapat kerjasama Persatuan Dakwah Islamiah dan Kebajikan Saudara Baru India Se-Malaysia (AL-HIDAYAH) Cawangan Kedah serta PERKIM Cawangan Daerah Kuala Muda.


𝐏𝐞𝐧𝐲𝐞𝐥𝐚𝐫𝐚𝐬 𝐩𝐫𝐨𝐠𝐫𝐚𝐦, 𝐔𝐬𝐭𝐚𝐳 𝐌𝐮𝐡𝐚𝐦𝐦𝐚𝐝 𝐉𝐚𝐢𝐬 𝐌𝐚𝐫𝐢𝐚𝐩𝐩𝐚𝐧 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥𝐥𝐚𝐡 dalam ucapannya mewakili 𝐒𝐞𝐭𝐢𝐚𝐮𝐬𝐚𝐡𝐚 𝐀𝐠𝐮𝐧𝐠 𝐊𝐞𝐡𝐨𝐫𝐦𝐚𝐭 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌 𝐊𝐞𝐛𝐚𝐧𝐠𝐬𝐚𝐚𝐧, 𝐘𝐁𝐡𝐠 𝐃𝐚𝐭𝐨’ 𝐃𝐫 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐌𝐨𝐡𝐚𝐦𝐚𝐝 𝐌𝐚𝐫𝐳𝐮𝐤𝐢 𝐌𝐨𝐡𝐚𝐦𝐚𝐝 𝐎𝐦𝐚𝐫 menzahirkan rasa syukur dan terharu atas kesempatan menziarahi pusat berkenaan.

Katanya, program ziarah ini diadakan sebagai sebahagian daripada inisiatif kebajikan PERKIM Kebangsaan, khususnya di bawah projek menyantuni masyarakat bukan Muslim yang memerlukan, tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama.

Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada PPFG yang telah sudi menerima kunjungannya dan secara tidak langsung memberi peluang kepada kami untuk mendekati dan menyantuni pesakit.

Tambah Ustaz Jais Mariappan, beliau diberi peluang untuk melihat sendiri suasana dan keadaan para penghuni di rumah penjagaan tersebut yang rata-ratanya merupakan individu yang mengalami masalah kesihatan mental serta memerlukan perhatian dan kasih sayang berterusan.

Ia merupakan satu pengalaman yang sangat menyentuh hati dan memberi keinsafan kepada semua ahli rombongan.

“Kami bukan sahaja dapat meluangkan masa untuk beramah mesra dengan penghuni, bahkan juga berpeluang untuk menyantuni mereka dengan penuh kasih sayang dan empati.

“Kami merasa sangat bersyukur kerana dimaklumkan bahawa PERKIM Kebangsaan merupakan antara organisasi yang pertama hadir ke pusat ini untuk menghulurkan bantuan secara rasmi,” ujarnya.

Sebagai tanda keprihatinan dan sokongan moral, PERKIM Kebangsaan telah mengagihkan sebanyak 30 set makanan siap dimakan kepada para penghuni tanpa mengira bangsa atau agama.

Beliau turut menyatakan penghargaan terhadap pengorbanan para petugas PPFG yang menguruskan pesakit mental dengan penuh dedikasi meskipun berdepan cabaran besar dari sudut kewangan dan pengurusan.

Ustaz Jais Mariappan yang juga Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan PERKIM Kebangsaan mengulas, sumbangan yang diamanahkan itu walaupun tidak seberapa, tetapi diharap mampu meringankan beban pusat dan memberi manfaat kepada pesakit.

“Semoga usaha kecil ini menjadi pembuka jalan kepada lebih ramai pihak luar untuk sama-sama menghulurkan sokongan kepada PPFG,” katanya.

Ujarnya lagi, ziarah ini bukan sahaja memenuhi matlamat kebajikan PERKIM tetapi juga memperkukuh semangat perpaduan dan keharmonian antara masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia.

Kami percaya bahawa usaha kecil seperti ini, jika dilakukan secara berterusan dan ikhlas, mampu memberi impak yang besar dalam membina masyarakat yang lebih prihatin dan penyayang.

Beliau berharap semoga segala usaha murni ini diberkati dan dirahmati Allah SWT serta menjadi asbab kebaikan kepada semua pihak yang terlibat.

Program ziarah kebajikan ini bukan sahaja memperkukuh ukhuwah antara masyarakat majmuk malah memberi mesej jelas bahawa kepedulian dan kasih sayang adalah kunci dalam membela insan yang memerlukan.


𝐒𝐡𝐚𝐟𝐢𝐳𝐚𝐡 𝐀𝐛𝐮 𝐁𝐚𝐤𝐚𝐫, 𝐏𝐞𝐦𝐛𝐚𝐧𝐭𝐮 𝐏𝐞𝐧𝐠𝐮𝐫𝐮𝐬 𝐏𝐏𝐅𝐆 pula menegaskan bahawa pesakit mental bukanlah golongan yang perlu dipandang serong kerana dengan rawatan susulan yang betul, mereka mampu kembali stabil.

Menurut beliau, pusat ini menerima pesakit pelbagai kaum dan mendapat sokongan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK). “Saya berharap pusat ini diuar-uarkan agar lebih ramai mendapat manfaat.

“Terima kasih kepada semua kerana sudi hadir dari jauh untuk melihat pesakit dan menyampaikan bantuan,” ujarnya.


𝐑𝐚𝐤𝐚𝐧 𝐤𝐨𝐧𝐠𝐬𝐢 𝐏𝐏𝐅𝐆, 𝐌𝐨𝐡𝐝 𝐍𝐨𝐡 𝐌𝐝 𝐈𝐬𝐚 mewakili Pengurus PPFG, Mohd Yusni Mohammad Desa turut menzahirkan penghargaan atas keprihatinan PERKIM dan rakan kerjasama lain.

Beliau menjelaskan bahawa pusat ini bukan sahaja beroperasi sebagai entiti berbayar, malah menitikberatkan elemen kebajikan bagi memastikan pesakit menerima rawatan yang sewajarnya.

Selain rawatan perubatan dan pengurusan ubat, PPFG turut menyediakan bimbingan kerohanian serta aktiviti bercucuk tanam bagi menambah sumber kewangan.

Sejak beroperasi pada tahun 2014, PPFG telah menjadi pelindung kepada 55 pesakit berusia 24 hingga 68 tahun yang menghadapi pelbagai cabaran mental termasuk skizofrenia dan bipolar. Dengan kos penjagaan sekitar RM950 hingga RM1,500 sebulan, pusat ini berusaha menawarkan perkhidmatan berpatutan berbanding pusat lain.

Tambahnya, PPFG menawarkan perkhidmatan penjagaan 24 jam yang merangkumi pemantauan kesihatan pesakit, pengurusan ubat-ubatan serta susulan rawatan doktor pakar.

Pendekatan ini bukan sahaja memastikan rawatan berterusan, tetapi juga menjamin keselamatan pesakit dalam suasana kondusif.

Lebih daripada sebuah pusat rawatan, PPFG turut menjadi ruang sokongan sosial dan emosi, dengan pengasuh terlatih serta kerjasama rapat bersama pakar perubatan.

Ujar Mohd Noh, bagi keluarga pesakit, pusat ini hadir sebagai solusi penting dalam meringankan beban penjagaan. Keyakinan mereka meningkat apabila insan tersayang berada dalam jagaan yang selamat, profesional, dan penuh perhatian.

PPFG juga berfungsi sebagai jambatan antara pesakit, keluarga, doktor dan masyarakat membuka peluang pemulihan dan mengembalikan fungsi normal dalam kehidupan seharian.

Jelas beliau, kewujudan pusat ini mencerminkan kesedaran bahawa kesihatan mental sama penting dengan kesihatan fizikal.

Dalam jangka panjang, PPFG bukan sahaja memberi sinar harapan kepada pesakit, malah mendidik masyarakat supaya lebih berempati terhadap isu mental. Usaha ini wajar dipuji kerana berani menangani cabaran yang sering terpinggir.

Di akhir ziarah, Ustaz Jais Mariappan menyampaikan plak cenderahati PERKIM kepada Mohd Noh menandakan kunjungan ziarah dan ukhuwwah silaturahim terjalin di antara PERKIM dan PPFG.

Program ini turut disertai urus setia PERKIM Kebangsaan iaitu Azura Abdul Rahman, Norlailialpin Suratman dan Mualish Shah Haji Mohd Anuar, bersama sukarelawan Mohd Firdaus Pompeyo Abdullah.

Hadir sama, Setiausaha AL-HIDAYAH Kedah, Ustaz Mohd Firdaus Abdullah; Bendahari AL-HIDAYAH Kedah, Ustazah Nurasiqin Abdullah; Pengerusi PERKIM Kuala Muda, Ustaz Haji Imran Kochem Haji Ahmad dan Penolong Setiausaha Kehormat PERKIM Kuala Muda, Ustazah Juhana Halimah Johari.

 


Mohd Noh (berkaca mata) meraikan kehadiran urus setia daripada PERKIM Kebangsaan.

 


Ustaz Jais Mariappan mengambil pek makanan yang ingin diagihkan kepada pesakit.

 


Mohd Noh berkongsi mengenai pengoperasian PPFG dan pesakit kepada urus setia PERKIM.

 


Pesakit yang kritikal ditempatkan di dalam pusat dengan keadaan selamat.

 


Shafizah (kiri) selaku Pembantu Pengurus PPFG berinteraksi bersama pesakitnya.

 


Mohd Noh menyampaikan ucapan aluannya mewakili Pengurus PPFG menzahirkan penghargaan atas keprihatinan PERKIM dan rakan kerjasama.

 


Shafizah berharap pusat ini diuar-uarkan agar lebih ramai mendapat manfaat.

 


Ustaz Jais Mariappan dalam ucapannya berterima kasih kepada PPFG kerana di beri peluang untuk menyantuni mereka dengan penuh kasih sayang dan empati.

 


Ustaz Jais Mariappan menyampaikan plak cenderahati PERKIM kepada Mohd Noh tanda penghargaan dan terima kasih.

 


Urus setia PERKIM Kebangsaan dan AL-HIDAYAH merakamkan gambar kenangan bersama pihak PPFG dan pesakit.

 


Ustaz Jais Mariappan menyampaikan sumbangan makanan kepada pesakit.

 


Pesakit menerima sumbangan makanan daripada Ustaz Jais Mariappan.

 


Pesakit yang perlu didekati dan mendapatkan sokongan daripada masyarakat.

 


Antara pesakit yang meminta untuk bergambar.

 


Ustaz Imron Kochem selaku Pengerusi PERKIM Kuala Muda (kanan) yang turut menyertai ziarah kebajikan.

 


Barisan urus setia dan pihak pengurusan PPFG bergambar di hadapan pusat di akhir ziarah.

Related Articles

Back to top button