Aktiviti Kebajikan

Program Gotong-Royong, Ziarah Kebajikan PERKIM Semarak Kasih Sayang Di Pusat Jagaan Warga Emas Seri Intan

ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ. ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ

𝐊𝐋𝐔𝐀𝐍𝐆, 𝟐𝟗 𝐍𝐎𝐕𝐄𝐌𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟓 — Semangat sukarelawan dan nilai ihsan terpancar jelas dalam Program Gotong-Royong dan Ziarah Kebajikan anjuran bersama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM Kebangsaan) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Program yang mendapat kerjasama PERKIM Cawangan Kluang serta Pertubuhan Mualaf India SeMalaysia (MIRA) Negeri Johor itu berlangsung di Pusat Jagaan Warga Emas Seri Intan, Taman Intan, dekat sini pada pagi Sabtu.

Program yang bermula seawal jam 9 pagi itu membawa mesej besar mengenai kepentingan memelihara kebajikan golongan tua yang semakin uzur dan dahagakan perhatian.

Ketibaan rombongan PERKIM disambut mesra oleh 𝐏𝐞𝐧𝐠𝐞𝐧𝐝𝐚𝐥𝐢 𝐏𝐮𝐬𝐚𝐭, 𝐒𝐡𝐚𝐫𝐦𝐢𝐥𝐚 𝐁𝐚𝐬𝐤𝐚𝐫𝐚𝐧 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥𝐥𝐚𝐡 yang penuh ketabahan menguruskan pusat kebajikan itu bersama pembantunya, Mercy A/P Radakrishnan.

Kehadiran PERKIM bukan sahaja membawa tenaga untuk kerja-kerja gotong-royong, malah membawa sinar kegembiraan kepada para penghuni warga emas melalui ziarah, doa, dan sentuhan kemanusiaan yang amat dihargai.


𝐏𝐞𝐧𝐲𝐞𝐥𝐚𝐫𝐚𝐬 𝐏𝐫𝐨𝐠𝐫𝐚𝐦, 𝐔𝐬𝐭𝐚𝐳 𝐌𝐮𝐡𝐚𝐦𝐦𝐚𝐝 𝐉𝐚𝐢𝐬 𝐌𝐚𝐫𝐢𝐚𝐩𝐩𝐚𝐧 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥𝐥𝐚𝐡 menjelaskan bahawa penganjuran gotong-royong ini merupakan sebahagian daripada agenda dakwah bil hal PERKIM, yang menekankan penyampaian mesej Islam melalui amalan, bukan hanya kata-kata.

Menurut beliau, kerja-kerja kebajikan bukan sekadar aktiviti rutin, tetapi platform membina masyarakat penyayang dan peduli terhadap insan yang memerlukan.

Ustaz Jais Mariappan berkata program ini memberi peluang kepada peserta program untuk turun padang, memahami kesukaran golongan warga emas serta merasai sendiri tanggungjawab besar dalam mengurus individu uzur yang sering kali terpinggir.

Katanya lagi, kerja-kerja gotong-royong ini bukan hanya menyumbang kepada keselesaan fizikal tetapi juga membina rasa hormat dan kasih sayang terhadap warga emas yang semakin dimamah usia.

Beliau turut menjelaskan bahawa sambutan menggalakkan daripada para peserta, termasuk saudara baharu yang membuktikan bahawa masyarakat semakin celik terhadap keperluan kerja kebajikan.

Program sebegini, katanya, secara tidak langsung membentuk sahsiah murni terutama dalam kalangan belia dan mualaf yang sedang membina kefahaman tentang nilai ihsan dalam Islam.

Selain itu, usaha ini menjadi ruang memperkukuh hubungan antara masyarakat pelbagai kaum serta mempromosikan mesej Islam sebagai agama kasih sayang kepada seluruh alam.

Lebih 25 peserta hadir memeriahkan program, menggabungkan tenaga melakukan kerja-kerja pembersihan seperti menyapu sampah, mengemop lantai, memotong rumput, memangkas pokok, mengecat pagar dan dinding serta menghias kawasan pusat jagaan.

Beberapa saudara baharu turut serta dengan menjadikannya platform integrasi yang baik antara mereka dengan masyarakat setempat. Suasana harmoni menjadikan pusat jagaan itu kelihatan lebih ceria dan teratur berbanding sebelumnya.


Menurut Sharmila, pusat jagaan itu kini menempatkan 30 penghuni, terdiri daripada masyarakat Cina, Melayu, India, Portugis dan Singh.

Seramai 16 orang merupakan penghuni tetap, manakala selebihnya dihantar secara harian oleh ahli keluarga mereka.

Para penghuni berusia antara 60 hingga 98 tahun, kebanyakannya menghidap penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan beberapa masalah kesihatan kronik lain. Sebahagian mereka juga merupakan warga emas terlantar yang memerlukan penjagaan rapi.

Sharmila dan pembantunya, Mercy, menguruskan keperluan harian penghuni merangkumi penyediaan makanan, membantu mereka makan, menjaga kebersihan diri, mengurus perubatan, memastikan pengambilan ubat serta memantau mereka yang uzur sepanjang masa.

Mercy selama sembilan tahun berpengalaman dalam penjagaan warga emas, banyak membantu memastikan setiap penghuni diberi perhatian mengikut tahap kesihatan masing-masing.

Turut diadakan majlis perasmian diacarakan oleh 𝐔𝐫𝐮𝐬 𝐒𝐞𝐭𝐢𝐚 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌 𝐊𝐞𝐛𝐚𝐧𝐠𝐬𝐚𝐚𝐧, 𝐅𝐚𝐭𝐢𝐧 𝐀𝐤𝐦𝐚𝐥 𝐀𝐤𝐬𝐚𝐡.

Ia disusuli dengan ucapan aluan disampaikan oleh 𝐏𝐞𝐧𝐠𝐞𝐫𝐮𝐬𝐢 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌 𝐂𝐚𝐰𝐚𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐊𝐥𝐮𝐚𝐧𝐠, 𝐔𝐬𝐭𝐚𝐳 𝐌𝐨𝐡𝐝 𝐙𝐚𝐛𝐫𝐢 𝐊𝐚𝐦𝐝𝐢.


Ustaz Zabri dalam ucapannya berkata, gotong-royong itu bukan sahaja menceriakan kawasan pusat, tetapi menguatkan semangat kebersamaan antara masyarakat pelbagai latar belakang.

Beliau memohon maaf sekiranya terdapat kekurangan atau kekangan dalam penganjuran program dan bersyukur kerana segala perancangan dapat dilaksanakan dengan baik.

Ustaz Zabri sekali lagi menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah terlibat dalam menjayakan program, khususnya usaha membersihkan pusat warga emas yang kini kelihatan lebih ceria berbanding sebelum ini.

Dalam ucapan perasmian, 𝐄𝐤𝐬𝐞𝐤𝐮𝐭𝐢𝐟 𝐃𝐚𝐤𝐰𝐚𝐡 𝐊𝐚𝐧𝐚𝐧 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌 𝐊𝐞𝐛𝐚𝐧𝐠𝐬𝐚𝐚𝐧, 𝐘𝐁𝐡𝐠 𝐃𝐚𝐭𝐨’ 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐑𝐚𝐳𝐚𝐥𝐢 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐒𝐡𝐚𝐡𝐚𝐛𝐮𝐝𝐢𝐧 menegaskan bahawa bantuan yang dibawa PERKIM adalah mengikut kemampuan.


Beliau yang berucap mewakili Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Dr Haji Mohamad Marzuki Mohamad Omar berkata, walaupun tidak banyak, beliau berharap ia dapat meringankan beban pusat jagaan serta memanfaatkan para penghuni.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada PERKIM Cawangan Kluang atas komitmen tinggi dalam kerjasama ini dan menegaskan bahawa hubungan ukhwah antara PERKIM Kebangsaan dan PERKIM cawangan akan terus diperkukuh.

Menurutnya, setiap usaha kebajikan walaupun kecil tetap menjadi amal jariah yang kekal selepas seseorang meninggal dunia.

Dato’ Razali turut menjelaskan bahawa Islam tidak pernah mengajar mana-mana mualaf memutuskan hubungan dengan keluarga bukan Islam. Sebaliknya, Islam menggalakkan kasih sayang, penghormatan dan hubungan kekeluargaan.

Beliau mengajak semua pihak mendoakan kesihatan Sharmila dan suaminya serta memuji keberanian mereka menjaga warga emas tanpa mengira bangsa dan agama selari dengan konsep Islam sebagai rahmatan lil ‘alamin.

Seusai ucapan, Dato’ Razali diiringi Ustaz Zabri berkesempatan menziarahi para penghuni sambil bertanyakan khabar dan menyampaikan sumbangan makanan seperti oat, biskut dan susu.

Majlis turut diserikan dengan penyampaian plak cenderamata PERKIM serta buku Warisan dan Wawasan 60 Tahun PERKIM oleh Dato’ Razali kepada Sharmila sebagai tanda penghargaan.

Manakala Ustaz Zabdi turut menyerahkan saguhati PERKIM Cawangan Kluang bagi membantu pengoperasian pusat jagaan tersebut.

Program berakhir dengan sesi fotografi dan jamuan makan tengah hari.

Turut hadir sebagai urus setia program ialah 𝐔𝐬𝐭𝐚𝐳 𝐀𝐦𝐫𝐚𝐧 𝐀𝐧𝐛𝐚𝐫𝐚𝐬𝐮 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥𝐥𝐚𝐡, 𝐀𝐳𝐮𝐫𝐚 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥 𝐑𝐚𝐡𝐦𝐚𝐧, 𝐌𝐮𝐚𝐥𝐢𝐬𝐡 𝐒𝐡𝐚𝐡 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐌𝐨𝐡𝐝 𝐀𝐧𝐮𝐚𝐫, 𝐌𝐨𝐡𝐝 𝐒𝐡𝐚𝐟𝐢𝐪 𝐕𝐢𝐣𝐚𝐲𝐚 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥𝐥𝐚𝐡 𝐝𝐚𝐧 𝐌𝐮𝐡𝐚𝐦𝐦𝐚𝐝 𝐑𝐨𝐬𝐲𝐚𝐦 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥𝐥𝐚𝐡.

 

 


Pusat Jagaan Warga Emas Seri Intan Kluang menjadi lokasi aktviti PERKIM bergotong-royong dan menziarahi penghuninya.

 


Ustaz Jais Mariappan bersama penghuni bergotong-royong membersihkan dan memotong pokok liar di luar pusat.

 


AJK PERKIM Kluang memotong rumput di persekitaran pusat jagaan.

 


Ustaz Zabri menanam semula pokok bunga dan menggembur tanah disertai baja.

 


Ustaz Jais Mariappan menebang pokok liar di luar pusat jagaan warga emas.

 


Fatin Aksah membuang sampah setelah menyapu persekitaran pusat.

 


Ustaz Zabri mencantas dan mencantikkan pokok bunga di kawasan pusat.

 


Mualish Shah dan Azura mengecat semula pagar yang telah lama berkarat.

 


Dato’ Razali berkesempatan mengecat pagar pusat warga emas.

 


Ustaz Amran turut membantu mengecat pagar.

 


Sharmila (dua dari kanan) memaklumkan bahawa pusat jagaan itu menempatkan 30 penghuni, terdiri daripada masyarakat Cina, Melayu, India, Portugis dan Singh.

 


Dato’ Razali menziarahi suami Sharmila di antara individu yang membantu mengusahakan pusat ini kini beliau terlantar akibat kencing manis.

 


Dato’ Razali bersama Ustaz Zabri menyampaikan sumbangan barangan makanan kepada penghuni berbangsa Cina.

 


Dato’ Razali dan Ustaz Zabri berkesempatan menziarahi sambil menyampaikan sumbangan makanan seperti bijirin oat, biskut dan susu kepada penghuni.

 


Tanda kasih sayang, Ustaz Jais Mariappan menyuapkan makanan kepada salah seorang penghuni berbangsa Melayu.

 


Dato’ Razali pula turut menyuapkan nasi kepada salah seorang penghuni berbangsa India yang terlantar.

 


Fatin Akmal mengacarakan majlis perasmian selepas aktviti gotong-royong dan ziarah.

 


Menurut Ustaz Zabri, program ini bukan sahaja menceriakan kawasan pusat sekali gus tanda sumbangan dan keprihatinan PERKIM kepada warga emas.

 


Dato’ Razali mewakili Setiausaha Agung Kehormat PERKIM menyampaikan ucapan perasmian pada program tersebut.

 


Menurut Dato’ Razali, setiap usaha kebajikan walaupun kecil tetap menjadi amal jariah yang kekal selepas seseorang meninggal dunia.

 


“Islam menggalakkan kasih sayang, penghormatan dan hubungan kekeluargaan,” kata Dato’ Razali.

 


Dato’ Razali menyampaikan sumbangan barangan makanan kepada penghuni warga emas berbangsa Cina.

 


Warga emas berbangsa India menerima sumbangan barangan makanan daripada Dato’ Razali.

 


Dato’ Razali menyampaikan sumbangan barangan makanan seperti oat, susu dan biskut kepada warga emas.

 


Warga emas yang tidak menetap di pusat jagaan turut mendapat sumbangan barangan makanan daripada Dato’ Razali.

 


Dato’ Razali menyampaikan plak cenderamata PERKIM kepada Sharmila tanda penghargaan.

 


Kepimpinan PERKIM Kebangsaan, PERKIM Kluang bersama saudara baharu berkesempatan bergambar kenang-kenangan bersama penghuni pusat.

Related Articles

Back to top button